Golongan muda khususnya kepimpinan puteri diminta bersama-sama perkemas barisan untuk membantu jentera Barisan Nasional (BN) negeri untuk mengekalkan kemenangan serta merampas kembali kawasan yang dikuasai parti pembangkang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, YB Haji Ashaari Idris berkata, kita tidak mahu semangat ahli-ahli itu bermusim terutama ketika menjelang pilihan raya, sebaliknya terus mendokong semangat kerjasama bersama sayap lain termasuk Pemuda dan Wanita.
“Kerajaan memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan sebarang usaha menganggu hak keistimewaan kaum Bumiputera mesti dipertahankan,” katanya di majlis Juara Rakyat Seribu Mawar di Dewan Sivik Sungai Tong, Setiu petang semalam.
Hadir sama, Ahli Parlimen Setiu, YB Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee; Ketua Penerangan Puteri UMNO Malaysia, Puan Nordiana Dato’ Shafie dan Ketua Puteri Bahagian Setiu, Puan Rosnari Awang Ngah.
Katanya, pergerakan Puteri yang mewakili pengundi muda perlu bekerja keras mendekati dan memberi penerangan kepada orang muda yang mungkin tidak begitu menghayati apa yang diperjuangkan oleh pemerintah hari ini.
“Kita yakin hasil kerjasama semua sayap dalam parti, kerajaan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said mendapat sokongan penuh seluruh rakyat yang cintakan keamaman,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri.