Halaman

04 April 2011

TERENGGANU RANCANG JADI HUB PENERBANGAN AIR ASIA PANTAI TIMUR SEMENANJUNG





Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Rancangan untuk menjadikan Terengganu sebagai hub penerbangan Air Asia bagi Pantai Timur Semenanjung adalah suatu langkah yang ke hadapan, terutama bagi menjana industri pelancongan di negeri ini.

Hub merupakan tempat pertemuan atau berkumpul- bermakna apabila pusat berkumpul penerbangan Air Asia bagi Pantai Timur di Terengganu, bermakna Terengganu akan menjadi pintu masuk utama ke negeri-negeri pantai timur seperti Pahang dan Kelantan.

Apatah lagi dengan kedudukan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) yang telah dinaikkan tarafnya sebagai lapangan terbang antarabangsa, sudah tentu apa yang dirancang oleh kerajaan negeri ini dengan sendirinya akan menjadikan LTSM maju dan terkemuka sehingga ke peringkat antarabangsa.

Baru-baru ini Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said mengesahkan bahawa Kerajaan Terengganu merancang menjadikan negeri ini hub penerbangan AirAsia bagi Pantai Timur Semenanjung.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga merancang mengadakan kerjasama dengan Air Asia bagi melatih anak Terengganu menjadi juruterbang dan jurutera.

“Baru-baru ini kita mengadakan rundingan dengan AirAsia bagi menjadikan Terengganu hab penerbangan AirAsia di sebelah pantai timur serta melatih anak Terengganu menjadi juruterbang dan jurutera. Rundingan seterusnya akan diadakan tidak lama lagi,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas merasmikan kejohanan Terengganu World Invitational Jetrace Challenge (TWIJC) 2011 baru-baru ini.
Kegigihan Dato’ Seri Ahmad dalam menjadikan Terengganu maju di bidang pelancongan dan pada masa yang sama penglibatan anak Terengganu dalam sektor penerbangan adalah sebagai menyahut cabaran masa depan negeri ini untuk mampu bersaing.

Memajukan Tasik Kenyir yang bakal menjadi Zon Bebas cukai, dan pada masa yang sama memajukan bidang penerbangan Terengganu adalah satu pakej yang amat serasi kea rah menjadikan pelancongan sebagai sumber pendapatan baru dan utama Terengganu di masa akan datang.
Semoga apa yang dirancang dan diimpikan itu menjadi realiti dan kita akan melihat Terengganu berada dalam lingkungan arus perdana Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020.