Halaman

06 April 2011

MENINGKATKAN PENGELUARAN SEKTOR PERTANIAN

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Bagi menyediakan sokongan kepada kemajuan sektor pelancongan, kerajaan negeri di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Haji Ahmad Said telah memberikan suntikan semangat dalam bidang pertanian.

Pandangan jauh kepimpinan negeri telah memberikan kesedaran dan tanggapan baik rakyat terhadap usaha-usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Golongan petani, penternak dan nelayan akan terus menikmati pendapatan yang bertambah atas kegigihan dan usaha yang dilakukan. Manakala usaha kerajaan negeri Terengganu menyediakan peruntukkan keseluruhan RM25.76 juta dalam bajet 2011 akan melihat sektor pertanian ini terus berkembang.

Kini terdapat 9,393 orang penanam padi tradisional di seluruh negeri melibatkan 17,196 hektar kawasan termasuk petani yang mengusahakan padi secara tradisional.

Antara daya usaha yang telah digembleng untuk menarik minat rakyat agar terus kekal dan memajukan bidang pertanian ini ialah pengeluaran padi bermutu tinggi, penanaman vitato, kelapa matag, jagung hybrid, “rock melon”, pengeluaran sayur secara berkelompok di Banggol Katong, industri penternakan lebah, penternakan kambing kaprima, burung walit dan sebagainya.

Sebanyak RM1.18 juta telah disediakan untuk Jabatan Pertanian Negeri Terengganu menanam semula dan pemulihan kawasan menerusi Program Pembangunan Industri Kelapa (PPIK). Sebanyak 9,917 pekebun kecil kelapa akan mendapat faedah bagi menggantikan 3,354 hektar kepada tanaman kelapa Matag yang lebih berkualiti dari segi isi dan santannya.

Kawasan penanaman baru untuk kelapa Matag seluas 250 hektar telah dikenal pasti di Setiu. Kelapa Matag ini berbuah lebat 15 hingga 25 biji setandan dan mampu memberikan pulangan yang lumayan. Jabatan Pertanian telahpun mengagihkan 7,068 kelapa kepada pekebun kelapa di negeri Terengganu.

Pada masa yang sama, kerajaan turut menyokong industri akuakultur seperti ikan keli, haruan, patin, kelah dan sebagainya.

Kesemua ini dibuat dan disokong melalui penyelidikan dan pembangunan khusus untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri bagi memakmurkan kehidupan rakyat.

Kita perlu menyediakan bahan makanan kerana ramai pelancong akan datang ke negeri dan akan berlaku peningkatan dalam permintaan bahan makanan.

Justeru sebagai rakyat Terengganu kita hendaklah melihat dari sudut ekonomi dan mengambil peluang ini.

Kerajaan sentiasa melaksanakan perancangan terbaik dalam bidang pertanian ini untuk memberikan peluang pekerjaan dan memastikan ekonomi serta taraf hidup rakyat Terengganu terus meningkat.

Inilah caranya kita dapat membantu masyarakat luar bandar untuk merasai nikmat kemerdekaan. Sebilangan besar rakyat yang terlibat dalam industri asas tani sebenarnya menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan.

Usaha-usaha giat dijalankan oleh kerajaan untuk memberikan kefahaman kepada rakyat bagi memastikan rakyat di sektor pertanian tidak ketinggalan dan dapat terus memajukan bidang ini.

Dengan itu, tanah-tanah terbiar di luar bandar dapat dikurangkan seterusnya dijadikan contoh kepada mereka yang belum lagi mengusahakannya.

Kerajaan telah menggesa semua jentera kerajaan yang terlibat dalam sektor ini untuk turun padang dan mendekati rakyat bagi memastikan penyebaran maklumat dan informasi yang tepat mengenai potensi sektor pertanian sebagai sektor pengeluar pertanian.

Meskipun kemajuan pertanian di bidang penghasilan minyak kelapa sawit sebagai barangan komoditi, industri hiliran perlu diwujudkan bagi memberikan nilai tambah kepada bahan yang telah dikeluarkan dalam negara ini.

YAB Menteri Besar juga telah menyarankan supaya ruang-ruang yang ada di halaman rumah dapat digunakan untuk menanam kelapa sawit. Ironinya, tanah hendaklah dimanfaatkan bagi apa jua maksud pertanian agar tanah tersebut dioptimumkan penggunaannya.

Suatu masa dahulu, pembuatan keropok hanyalah untuk makanan setempat tetapi kini ianya seolah-olah menjadi barangan wajib bagi setiap pengunjung yang datang ke Terengganu, dibeli untuk makan atau sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.

Kemajuan industri keropok telah melahirkan jutawan keropok. Aktiviti yang pada mula hanyalah perusahaan belakang rumah, kini menjadi industri yang bukan hanya menambah pendapatan tetapi telah menyumbang kepada peningkatan ekonomi. Keropok juga telah menjadi antara daya penarik kehadiran pelancong ke negeri ini.

Begitu juga dengan permintaan yang tinggi oleh pengusaha air tebu, tanaman ini telah memberikan sumber pendapatan yang konsisten kepada petani yang telah sekian lama mengusahakan penanaman tebu ini.

Bagi memastikan perkembangan industri pertanian berjalan lancar, petani perlu mempunyai sikap daya saing dan daya juang yang tinggi untuk sentiasa ke depan, berani dan bersedia menanggung risiko, amanah dan telus.

Kemajuan ICT kini memudahkan petani mendapat maklumat terkini tentang teknologi pertanian. Petani sering disaran agar sentiasa bersedia meningkatkan ilmu hingga mencapai kemajuan untuk menguasai bidang bioteknologi.

Sesuatu yang tidak dapat dinafikan apabila kerajaan negeri Terengganu telah mengambil langkah yang bijak melalui program pengagihan e-Book kepada pelajar dan secara langsung atau tidak, sebenarnya turut menyumbang kearah ini.

Kesediaan petani untuk menerima pembaharuan akan memastikan industri pertanian terus tumbuh daan pesat berkembang. Seterusnya hasrat kerajaan untuk menjadikan pelancongan sebagai sumber ekonomi negeri Terengganu tercapai dalam masa yang lebih singkat.

Pelbagai program luar jangka akan dibuat bagi memastikan dasar, strategi dan program yang dilakukan oleh kerajaan negeri dapat disampaikan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Bagi memastikan projek pertanian yang sedang dilaksanakan ini terus melalui proses penambahbaikan secara berterusan, golongan belia dan siswazah terus digalakkan menceburi bidang ini. Penglibatan aktif generasi muda dan cerdik pandai ini sebagai pemangkin proses transformasi pertanian di negeri ini.

Kebanjiran buruh asing ke negara ini disebabkan banyak peluang pekerjaan yang ada tetapi tidak direbut oleh kita. Jika hari ini kita menyemai benih kejayaan, sudah pasti buah kejayaanlah yang akan dapat dituai kelak.