Halaman

09 April 2011

Kerajaan bantu pelajar cicir

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan negeri akan membantu para pelajar yang tercicir pelajaran mereka untuk meneruskan pelajaran masing-masing sama ada di peringkat sekolah menengah mahu pun rendah.




Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat daripada pelbagai pihak bagi mengenal pasti murid yang tercicir.

“Kita tidak mahu pelajar berkenaan dinafikan hak untuk mendapat pendidikan di tahap yang lebih tinggi semata-mata disebabkan pelbagai masalah seperti kemiskinan dan kematian ibu bapa,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui baru-baru ini.

Pada bulan lalu, beliau selaku Ahli DewanUndangan Negeri (Adun) SeberangTakir mengambil tindakan menyambung pelajaran dua pelajar yang kematian ibu bapa mereka, ke Sekolah Menengah Kompleks Gong Badak.

Dua beradik tersebut, Nor Suhana Abd Razak, 15, dan adiknya Nor Suriati, 13, dimasukkan ke tingkatan tiga dan satu sekolah itu setelah tidak bersekolah sejak sekian lama selepas kematian ibu bapa mereka.

YB Haji Ahmad Razif berkata, pihaknya akan menyediakan pelbagai keperluan pelajar yang tercicir di seluruh negeri, termasuk pakaian sekolah dan buku teks, bagi membolehkan mereka menyambung pelajaran.

“Selain itu, mereka akan diberi biasiwa mengikut kelayakan dan jika mereka cemerlang dalam keputusan peperiksaan awam, mereka akan dihantar ke pusat-pusat pengajian tinggi sama ada dalam atau luar negeri,” ujarnya.