Halaman

05 April 2011

Tebatan banjir RM8 juta bakal dibina di Dungun

Oleh: Suriati Ali dan Hazwan Roslee


YB Datuk Haji Za'abar menyampaikan Jadual 5A Rancangan Tanah Berkelompok Pertanian kepada peserta di Sekolah Kebangsaan Gong Pasir, Dungun.

Kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM8 juta bagi membina tebatan banjir di perumahan Taman Rakyat, Gong Pasir, Dungun bagi mengelak kejadian banjir terus berulang di lokasi itu pada masa akan datang.

Sebelum ini, kemudahan sama telah dibina dengan kos RM5.6 juta di Taman Perumahan Pusu Tiga, Gong Badak, Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau Abang, Datuk Haji Za’abar Mohd Adib berkata, pihaknya berharap projek itu nanti mampu menangani masalah banjir yang sering melanda kawasan rendah berkenaan apabila musim tengkujuh.

“Keistimewaan tebatan itu, ia mampu menyedut air banjir yang bertangkung sebelum dilepaskan ke sungai berhampiran,” katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Jadual 5A Rancangan Tanah Berkelompok Pertanian di Sekolah Kebangsaan Gong Pasir, Dungun, baru-baru ini.

Seramai 173 individu memperoleh jadual 5A tanah pertanian Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) dan mereka perlu membayar antara RM1,300 hingga RM 1,700 seorang sebelum tanah itu menjadi hak milik dan mempunyai geran.



Datuk Haji Za’abar berkata setiap pemilik atau pewaris dinasihatkan supaya tidak menjual tanah yang diagihkan ini kerana bukan mudah untuk memperolehnya.

Katanya, tanah ini perlu diusahakan sebaik mungkin dengan menanam apa jua jenis tanaman , asalkan mendapatkan hasil dan bukannya dibiarkan dengan penuh semak apabila menjadi hak milik kelak.

“Kebanyakan tanah pertanian RTB ini mula dipohon sejak 1963 lagi, disebabkan mempunyai masalah tertentu dan perlu melalui beberapa prosedur, ia terpaksa ditangguhkan. Apabila semuanya selesai, barulah dapat diagihkan kepada pemilik berkaitan,” katanya.