Halaman

09 April 2011

“Harap anak angkat jadi contoh kepada adik-adik mereka”- ibu bapa angkat

Oleh: Aida Abd Rahman
Kebanyakan ibu bapa angkat dalam program `Satu Rumah, Satu Graduan’ mengharapkan anak angkat mereka mampu menjadi contoh kepada anak mereka yang sedang di alam persekolahan supaya menempa kejayaan dalam pelajaran serta mencetus semangat untuk turut sama menempatkan diri di pusat pengajian tinggi.

Seorang peserta yang juga ibu angkat, Normah Mohd Jusoh, 41, dari Kampung Kubang Badak, Kuala Terengganu yang mempunyai tujuh anak dan kebanyakannya masih bersekolah, berharap dua anak angkat, Sameer Ahmad, 25, berasal dari Yaman dan Anuar Awang, 23, dari Kelantan mampu memberi tunjuk ajar serta perangsang kepada anak-anaknya supaya berjaya dalam pelajaran.

“Saya rasa gembira kerana dapat `dua anak’ sekaligus apatah lagi seorang daripada negara asing. Saya akan memastikan mereka selesa dan tidak sabar menyediakan masakan tradisional untuk dinikmati mereka.

“Moga mereka dapat menyesuaikan diri dengan keluarga kami dan berkongsi ilmu serta pengalaman sepanjang di universiti yang boleh menjadi pembakar semangat kepada anak-anak saya,” katanya selepas pelancaran program penyerahan anak angkat kepada keluarga masing-masing, di Balai Raya Kubang Badak, Kuala Terengganu, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman melancarkan program perintis itu.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu, Prof Dr Yahaya Ibrahim dan Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Tajaan) Yayasan Terengganu (YT) , Encik Razali Mahmud.

Sementara pelajar Kejuruteraan Perisian UMT , Sameer begitu gembira kerana dia antara dua pelajar asing yang terpilih mengikuti program julung kali itu dan berharap dapat pengalaman baru bersama keluarga baru nanti.

“Program ini sangat bagus kerana saya akan belajar budaya baru bersama keluarga angkat. Saya pastinya dapat merasai keenakan masakan Melayu dan belajar Bahasa Melayu,”katanya.

Kegembiraan itu turut dikongsi rakannya, Anuar pelajar jurusan Kaunseling. Dia akan membantu adik angkatnya menyelesaikan masalah dalam pelajaran dan berjaya dalam peperiksaan.

Seorang lagi peserta, AJ Kamisah Mustafa, 43, dari Kubang Badak, bertuah kerana mendapat dua anak yang perempuan yang sudah dewasa dalam program itu, memandangkan empat anak-anaknya masih kecil dan sedang bersekolah.

Anak angkat AJ Kamissah, Syuhaida Zulkarnain dan Siti Nurziana Md Salleh, masing-masing berusia 20 tahun, berjanji untuk memberikan bantuan kepada adik-adik angkatnya dalam pelajaran dan memastikan mereka dapat cemerlang sebagaimana orang lain.

Seorang lagi peserta, Abdul Rashid Abdullah, 50, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Tok Jembal, mendapat dua anak angkat, Siti Idayu Zakaria, dari Besut dan Ainul Haryati Ouyop dari Johor, masing-masing penuntut jurusan Kaunseling berusia 22 tahun berharapn hubungan mereka akan tetap berpanjangan sampai bila-bila.

“Saya harap hubungan kekeluargaan yang baru terjalin ini bukan setakat dalam program tiga hari ini sahaja. Kalau saya ke Johor nanti mungkin boleh pergi ke rumah anak angkat saya di Johor,” katanya.

Program kerjasama Pusat Khidmat DUN Seberang Takir, UMT, YT dan Kelab Rukun Tetangga Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir berlangsung tiga hari bermula 7 April lalu melibatkan pelbagai program sampingan termasuk bacaan Yasin dan tahlil, pameran UMT, motivasi dan bengkel persediaan peperiksaan untuk anak-anak keluarga angkat, ibu bapa dan gotong-royong.