Halaman

06 April 2011

JPNT bersikap terbuka dengan media

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) bersikap terbuka terhadap laporan media massa dan elektronik sama ada berita dilaporkan itu berdasarkan fakta, menurut sumber, fantasi dan kurang jelas.

Pengarahnya, Encik Razali Daud, berkata pihaknya menganggap setiap berita mempunyai kualiti tersendiri dan cukup penting untuk disampaikan umum yang ingin mengetahui maklumat terkini.

Katanya, media adalah rakan strategik untuk menyampaikan apa jua maklumat dan amat penting hubungan itu diteruskan kerana JPNT serta media mempunyai kepentingan bersama.

“Kita sebagai kakitangan dan pendidik JPNT tidak perlu takut berdepan dengan warga media sebaliknya perlu memberi kerjasama baik sekiranya mereka inginkan pelbagai maklumat dan sebagainya.

“Pihak kami juga meminta jasa baik media supaya faham dengan etika dan cara kerja di JPNT di mana setiap maklumat yang menyalahi dasar pendidikan, ia tidak dapat disebarkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Mesra Media JPNT, di Hotel Sumai, malam tadi (5 April).

Hadir sama, Ketua Sektor Pengurusan Akademik JPNT Haji Zubir Embong, Pengerusi Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) Encik Ayob Mamat, Ketua Biro Utusan Malaysia Encik Wan Zulkifli Wan Yaakob dan lebih 20 pengamal media cetak dan elektronik.

Majlis anjuran JPNT itu nyata dapat merapatkan hubungan serta berkongsi maklumat positif mengenai tugas dan peranan masing-masing walaupun berlainan agensi.

Encik Razali turut memberitahu JPNT serius melahirkan pelajar Terengganu sebagai insan kuat iman dan taat kepada Allah S.W.T.

Katanya, oleh itu, menjadi kewajipan setiap pelajar Islam di sekolah rendah dan menengah di negeri membaca Muqaddam atau al-Quran sekurang-kurangnya 10 minit pada setiap pagi iaitu sebelum waktu pembelajaran.

“Ketika memperkenalkan kaedah ini dengan menyebarkan maklumat melalui media, saya pernah dipanggil Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menjawab pelbagai keraguan.

“Jawapan saya cukup mudah, Terengganu amat sesuai melaksanakan kaedah ini kerana bersesuaian dengan amalan hidup masyarakat setempat dan yakin tidak akan timbul isu perkauman” katanya.

Menurutnya, apa yang membanggakan semua pemimpin Terengganu menyokongnya kerana menyedari kaedah itu mampu melembutkan hati setiap pelajar terutama yang nakal dan kurang berdisplin.