Halaman

17 April 2011

Pasar Batu Enam makin ceria.


SEBELUM...


SELEPAS..

Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Mohd.Najib Tun Abdul Razak dijangka 'walk about' di Pasar Batu Enam, Jalan Kelantan (Parlimen Kuala Nerus) pada 30 April 2011 di sebelah pagi.

Berbagai persiapan telah dibuat bagi menyambut kedatangan Perdana Menteri, tidak mengira fahaman politik, termasuk oleh peniaga-peniaga di pasar berkenaan.

Kini mereka sedang memperindahkan kawasan peniagaan mereka, termasuk berpindah ke premis baru yang disediakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Ini termasuklah gerai buah-buahan yang agak mencacat pemandangan sebelum ini telah berpindah ke gerai yang selesa.

Baru-baru ini YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said sendiri berjalan kaki dari simpang 'trafic light' Jalan Semarak-Bukit Tunggal, terus ke pekan Batu Enam, meninjau persiapan.

Komitmen Dato' Seri Ahmad begitu tinggi bagi mempastikan segala persiapan dibuat dengan sempurna bagi menjayakan lawatan dan 'walk about' pemimpin nombor satu negara itu ke Batu Enam.

Tinjauan dan gambar oleh: Ruslan AR.

Kemenangan Sarawak semarakkan semangat BN di Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Keputusan Pilihan Raya Umum Sarawak ke-10 amat jelas menunjukkan bahawa rakyat negeri itu mengamalkan konsep berterima kasih kepada kerajaan.

Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya Sarawak semalam menyemarakkan semangat Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu untuk terus bekerja keras, khususnya bagi merampas kembali kerusi yang dimenangi parti pembangkang, pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata keputusan Pilihan Raya Umum Sarawak ke-10 amat jelas menunjukkan bahawa rakyat negeri itu mengamalkan konsep berterima kasih kepada kerajaan yang membantu mereka dalam pelbagai aspek.

“Kita dapati rakyat Sarawak, khususnya di kawasan pinggir bandar dan luar bandar memberi sokongan yang kuat kepada kerajaan dan Insya Allah keadaan ini juga berlaku di Terenganu,” katanya kepada Teganukita ketika diminta mengulas kemenangan BN dengan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya di Sarawak.

Beliau berkata, rakyat negeri itu member sokongan kepada Kerajaan BN kerana mereka sedar hanya BN yang mampu membela nasib mereka dan menyediakan segala keperluan penduduk tempatan.

“Cuma penduduk di kawasan bandar yang memberi sokongan kepada pembangkang menyebabkan mereka menang 15 kerusi,” katanya.



Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, jentera BN mempunyai mekanisme sendiri bagi ‘menjinakkan’ pengundi di kawasan bandar di Terengganu, khususnya di kalangan pengundi Cina.

“Kita yakin pengundi Cina di Terengganu tidak akan menolak BN kerana mereka tahu pembangkang tidak berupaya membantu masyarakat Tionghua,” ujar beliau.

Beliau berkata, pihaknya akan memperkemaskan jentera pilihan raya dan bekerja dengan lebih gigih bukan saja bagi memastikan kemenangan BN, tetapi juga merampas kembali lapan kerusi yang dimenangi oleh Pas pada pilihan raya lalu.



MB lawat pemimpin masyarakat uzur

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Dalam kesibukan dan kepadatan jadual kerja, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, masih sempat meluangkan masa melawat seorang pemimpin masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, yang uzur sejak lebih sebulan lalu.

Sebaik saja selesai program Pembahagian Bantuan Pakaian Sekolah DUN Kijal 2011 di Dewan Sivik Kijal, beliau bersama isteri, To’ Puan Norliza Mahmud, terus bergegas ke Kampung Tengah, Kijal untuk menziarahi Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) kampung itu yang terlantar sakit di rumahnya.

Menteri Besar meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk bertanya khabar Encik Muhammad @ Zakaria Abdullah, 62, yang menghidap penyakit saraf di bahagian belakangnya.

Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada Encik Muhammad dan bergegas ke Majlis Pengagihan Pakaian Sekolah DUN Kijal di Dewan Ketengah Seri Bandi.



JPNT mendepani dua cabaran lahir modal insan

Oleh: Aida Abd Rahman

Dua cabaran utama yang perlu dihadapi Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) selain menguruskan kakitangan, guru dan pelajar yang melebihi 280,000 orang, adalah melahirkan anak bangsa yang taat setia pada negara dan hidup bersatu-padu.

Pengarahnya, Encik Razali Daud, berkata sebagai jabatan yang berperanan besar dalam melahirkan modal insan dan pembangunan sahsiah di kalangan pendidik serta pelajar, pelbagai program sedang dan sudah dilaksanakan bagi mendepani cabaran itu.

“Kita harus mencorakkan pelajar yang mempunyai sifat taat setia dan bersatu-padu, menolak pergaduhan serta melihat realiti dalam kehidupan sebagai masyarakat yang perlu hidup dalam satu rumpun dengan harmoni.

“Aktiviti membaca al-Quran yang dilaksanakan dalam tempoh 10 minit sebelum bermula sesi persekolahan harian pada awal pagi di setiap sekolah adalah antara pendekatan kita bagi melahirkan kekuatan jiwa, rohani dan iman di kalangan pelajar,” katanya pada satu majlis di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Encik Razali berkata, usaha menyuburkan al-Quran dalam jiwa generasi muda serta penekanan serius kepada pembangunan sahsiah seiring dengan kecemerlangan akademik yang dicapai pelajar.

Katanya, bukan hanya di sekolah, program membaca al-Quran juga diperdengarkan kepada pegawai dan kakitangan di JPNT serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh Terengganu bermula jam 8 pagi.

Selain itu, katanya tanggapan segelintir pihak ramai di kalangan guru adalah golongan pembangkang juga menjadi antara cabaran yang perlu dihadapi JPNT. Bagaimanapun, golongan gurulah yang memberi sambutan paling baik setiap kali terdapat program anjuran kerajaan negeri mahupun Pusat yang dilaksanakan di seluruh Terengganu sejak dulu lagi.

Beliau berkata, JPNT juga perlu menguruskan lebih 21,000 guru seluruh Terengganu, selain 250,000 pelajar serta kakitangan (JPNT dan PPD) seramai 4,227 orang yang pastinya tidak lekang dengan masalah dan pelbagai isu berbangkit.

Katanya, kerenah dan perangai pelajar tidak kurang hebatnya yang memerlukan pemantauan dan pengawasan setiap masa khususnya dalam kes salah laku dan aktiviti sosial termasuk masalah ponteng sekolah.

Encik Razali berkata, bukan hanya pelajar, tugas memantau dan menguruskan guru juga bukan mudah apatah lagi mengendalikan kes segelintir guru yang dikategorikan sebagai `nakal’, padahal mereka sepatutnya menjadi model serta contoh terbaik kepada pelajar.





Berpegang teguh kepada ajaran Islam, elak berpecah belah

Oleh: Suriati Ali dan Hazwan Roslee

Umat Islam perlu berpegang teguh kepada ajaran Islam, kekalkan hidup bersatu padu dan dilarang meletakkan diri dalam kategori tertentu sehingga menyebabkan perpecahan dan perbalahan antara kaum sendiri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata masyarakat hari ini sepatutnya menghayati bacaan ayat al-Quran dengan memahami setiap tafsiran demi kekuatan serta perpaduan ummah dan bukannya bertindak menghentam tanpa usul periksa.

Katanya, mereka seharusnya bersyukur kerana memiliki negara aman, makmur dan bahagia berbanding negara lain yang sentiasa dilanda krisis, peperangan dan dicengkam musibah akibat perbuatan khianat sesama sendiri.

“Di Malaysia khususnya Terengganu mempunyai masyarakat majmuk, mereka dapat hidup saling bertolak ansur dan bekerjasama walaupun berlainan kaum dan budaya.

“Kita perlu kekalkan hubungan ini supaya masyarakat luar terutama yang tinggal di negara barat tidak memandang serong,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Tilawah al-Quran peringkat Kemaman 2011 di Felda Kertih 6, Kemaman, baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih, YB Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, Adun Kemasik YB Ir Rosli Othman dan Pegawai Daerah Kemaman Haji Mohammad Kamil Othman.

Qari, Mohd Abd Latiffah Shah Che Yusof, 49, dan qariah Sumayyah Ali @ Awang, 26 masing-masing dinobatkan sebagai johan dan berjaya membawa pulang wang tunai RM 2,000, piala iringan dan piala pusingan.

Dato’ Ahmad Said turut memberitahu orang barat sentiasa mencari silap dan keaiban bagi menjatuhkan umat islam.

“Justeru itu, kita seharusnya bersama-sama berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sebenar supaya tidak mudah berpecah belah,” katanya.




Kolej Sukan Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bercadang menubuhkan Kolej Sukan Terengganu (KST) bagi menempatkan anak tempatan yang cemerlang dalam sukan tetapi tercicir dalam pelajaran, agar mereka dapat meneruskan pengajian di bidang kemahiran menjurus kepada sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat, berkata penubuhan kolej yang pertama seumpama itu di negara ini, tepat pada masanya sebagai satu medium bagi memastikan masa depan atlet muda Terengganu terus terbela dan tidak dipersia-siakan.
Bagi tujuan itu, menurut beliau, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan ahli-ahli akademik dari beberapa universiti seluruh negara, sejak beberapa bulan lalu dan cadangan itu kini dalam proses memuktamadkan perancangannya.

Beliau berkata, kerajaan negeri berhasrat untuk melihat kolej itu dapat dibangunkan selewat-lewatnya dalam tempoh dua tahun lagi.

“Selepas kita memuktamadkan perancangan itu, kita akan mengusulkannya dalam Mesyuarat Mingguan Exco Negeri bagi mendapatkan kelulusan dan tindakan lanjut kerajaan negeri.

“Saya optimis dan amat berharap kolej ini dapat wujud di Terengganu kerana memikirkan masa depan atlet kita yang harus mempunyai tempat terbaik dan kemahiran tertentu apabila habis belajar kelak,” katanya ketika diwawancara Teganukita di pejabat beliau baru-baru ini.

Kolej itu kelak kemungkinan akan menawarkan 22 kursus berkaitan sukan seperti fisioterapi, pemakanan dan mekanik jentera seperti basikal, kereta dan jet ski.

Pihaknya juga memberi jaminan penubuhan kolej itu tidak akan menelan perbelanjaan yang besar kerana operasinya boleh dijalankan di dalam bangunan Kompleks Stadium Gong Badak, Kuala Terengganu yang sudah tersedia dengan ruang yang sesuai serta mampu menampung kapasiti pelajar dalam satu-satu tempoh kelak.

Malah, katanya kos pengajiannya juga dilaksanakan sebagaimana kolej lain di seluruh Malaysia yang memberi kemudahan pinjaman kepada pelajar.

Haji Rozi berkata, idea menubuhkan kolej itu timbul selepas melihat ramai anak Terengganu berkelana ke negeri orang hanya kerana mahu mendapatkan pekerjaan dalam sektor sukan seperti sukan berbasikal.

“Kalau dalam sukan basikal, lebih 10 anak Terengganu berkhidmat dengan pasukan dan kelab ternama di luar negara asing. Namun sayangnya mereka hanya bersandarkan kemahiran semata-mata tetapi tidak memiliki sijil dan kelayakan yang diiktiraf.

“Apabila ada kelayakan dan sijil yang diiktiraf, pastinya mereka ditawarkan gaji yang lebih baik dan menguntungkan mereka. Oleh sebab itulah kita akan menawarkan kursus yang berkaitan yang mampu memberi jaminan kepada masa depan mereka,” katanya.




Isteri PM rasmi program Pandu Puteri Turun Padang

Oleh: Esah Abdullah


Datin Seri Rosmah Mansor

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mempunyai acara berasingan iaitu merasmikan penutup program Pandu Puteri Turun Padang yang akan diadakan di Padang Astaka, Seberang Pintasan, Dungun pada 30 April depan.

Ketua Pesuruhjaya, Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Cawangan Terengganu, Puan Zaini Mohd Nor berkata, program turun padang yang dilaksanakan ini merupakan idea Datin Seri Rosmah yang juga selaku Yang Dipertua PPPM.

Datin Seri Rosmah ke negeri ini kerana mengiringi Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang membuat lawatan kerja sehari ke Terengganu pada tarikh berkenaan.

“Dalam majlis berkenaan, Datin Seri Rosmah akan menyampaikan Anugerah Keluarga Nelayan Contoh yang dipilih dari tiga buah kampung sekitar Bandar Dungun iaitu, Kampung Seberang Pintasan, Balik Bukit dan Teluk Bidara,”.



“20 orang pelajar cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Siji Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dari tiga kampung berkenaan turut menerima penghargaan di majlis itu,” katanya kepada Teganukita.

Sehubungan itu PPPM negeri juga akan membuat penyerahkan 150 tabung kutipan mangsa gempa bumi di Jepun yang diedarkan ke sekolah-sekolah dan tempat awam pada penghujung Mac lalu kepada Datin Seri Rosmah pada majlis berkenaan.



Menurut Puan Zaini, program turun padang yang diadakan sejak sebulan lalu mengadakan pelbagai aktiviti mendekati masyarakat antaranya mengadakan kelas tusyen kepada calun UPSR dan PMR, seminar kekeluargaan, pertandingan memasak, bengkel buat kek dan jahitan manik.






Anjakan paradigma untuk bersaing di pentas global

Oleh: Esah Abdullah

Dalam era yang mencabar ini, pelajar selaku pemain utama perlu melakukan anjakan paradigma agar mampu memberi saingan yang hebat di pentas lokal di peringkat negeri mahupun negara juga di pentas global.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, golongan ini perlu meningkat dan mengekalkan mutu prestasi kecemerlangan dalam akademik dan kegiatan kokurikulum.

“Berusahalah untuk menimba sebayak mungkin pengalaman berpersatuan bagi melengkapkan diri untuk menghadapi cabaran yang mendatang,” katanya sempena majlis Anugerah Kecemerlangan Imtiaz dan Pelajar SPM/STPM 2010 di Wisma Darul Iman.

Katanya, kepimpinan pelajar masa kini mengambarkan gaya kepimpinan masa hadapan dan ini bertepatan dengan hasrat dan aspirasi kerajaan untuk melahirkan masyarakat minda kelas pertama dalam merialisasikan hasrat pembangunan modal insan yang syumul dan seimbang.

“Saya sedar, bukan mudah untuk mengapai tangga kejayaan yang seiring dengan matlamat pendidikan negara iaitu seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani,” katanya.

Namun katanya, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan, semua pihak telah memberi komitmen yang tinggi dalam usaha menjana kecemerlangan yang mengekalkan prestasi yang unggul ini.

YB Ahmad Razif mengucapkan syabas kepada semua pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan awam tahun lalu dan kerajaan akan terus memberi komitmen dalam memperkasakan keputusan peperiksaan tahun ini.




16 April 2011

Kakitangan Kemas perlu cemerlang

Oleh: Suriati Ali

Kakitangan Kemas perlu memainkan peranan penting dalam memastikan kekuatan kerajaan meneruskan kelangsungan pembangunan negara mencapai matlamatnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap yang juga Pengerusi Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Asha’ari Idris berkata, sebagai tonggak kepada kerajaan, warga kemas perlu menunjukkan perkhidmatan yang berkualiti dan cemerlang supaya menepati kehendak kerajaan.

Katanya, dengan pelbagai perubahan yang dilakukan secara mendadak terutama dari aspek politik dan sosial, kakitangan Kemas disarankan tidak mudah keliru dan sentiasa terbuka dalam menerima sesuatu perkara.

“Seboleh-bolehnnya tugas mendidik anak bangsa di peringkat tadika akan peneraju dalam membentuk sahsiah dan keperibadian kanak-kanak selain tugasan sampingan yang dipertanggungjawabkan.

“Setiap perubahan perlu diterima secara terbuka termasuk sedia berkhidmat memastikan hasrat dan cita-cita pucuk pimpinan negara dapat disampaikan kepada semua generasi,” katanya.

Menurutnya, selain membantu kerajaan melaksanakan agenda yang dtetapkan, kakitangan Kemas juga perlu memastikan semangat perpaduan terus terjalin di semua peringkat bagi mengukuhkan kekuatan dan peranan orang Melayu.

“Perkara ini cukup penting bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku di negara kita khususnya di Terengganu. Ibarat kata pepatah `jangan menang sorak kampung tergadai,” katanya.





Pasar Bukit Tunggal kekalkan suasana harmoni

Oleh: Suriati Ali

Harga berpatutan dan sikap peramah yang ditonjolkan peniaga Pasar Bukit Tunggal, Kuala Nerus berjaya menambat hati ratusan pelanggan supaya terus `melekat’ dan menjadi pelanggan setia.

Walaupun deretan gerai yang disewa dengan pemilik persendirian itu berdekatan dengan jalan raya, ia tidak menjadi halangan kepada pelangggan untuk mencari pelbagai barangan basah dan keperluan dapur seperti ikan, sayuran, ayam, daging dan sebagainya.

Tinjauan pemberita Teganukita mendapati, kebanyakan peniaga yang mencari rezeki di pasar itu terdiri daripada penduduk tempatan, mereka cukup peramah apabila disapa pelanggan.

Jika sayuran dan pelbagai jenis barang yang diperlukan pelanggan tiada atau sudah habis, mereka tidak `lokek’ mempromosi atau memberitahu barang yang diinginkan itu terdapat di gerai rakan.

Suasana itu cukup harmoni kerana tradisi kerjasama, saling membantu, sepakat dan tolong menolong masih wujud jika dibandingkan di pasar basah lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Bukit Tunggal, Haji Mazalim Endut atau lebih dikenali sebagai Haji Mazlan berkata, hubungan erat antara peniaga masih wujud di pasar ini kerana mereka mempunyai niat sama iaitu mencari rezeki halal dan tidak mahu ada sifat dengki dan busuk hati.

Katanya, faktor itu membuatkan mereka ceria ketika berniaga, secara tidak langsung membuatkan pasar ini terus dikenali ramai dan mendapat sambutan menggalakkan pelanggan tempatan dan luar daerah.

“Saya harap peniaga di pasar basah ini terus mengekalkan tradisi saling maufakat seperti yang diamalkan ini kerana pelanggan cukup selesa dan mengemarinya,” katanya.