Oleh: Esah AbdullahIsteri Perdana Menteri, Datin Sri Siti Rosmah tertarik melihat ikan kering yang dipamerkan di gerai pameran. Foto: Syed Abdul Rahman.Semangat sukarelawan perlu disemarakkan khususnya di kalangan generasi muda dan anak-anak gadis agar ia menjadi amalan murni di samping menghindari sifat individualistik.
Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) yang juga isteri Perdana Menteri, Datin Sri Rosmah Mansor berkata, jika budaya ini dapat disemai dan diterapkan dalam setiap program Pandu Puteri, ia pastinya juga dapat memperkasakan gagasan 1Malaysia serta melahirkan masyarakat penyayang.
“Untuk mengharungi abad ke-21, negara kita memerlukan generasi baru yang boleh menjana perubahan pada diri sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan program Pandu Puteri Turun Padang di Padang Astaka, Seberang Pintasan Dungun, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua PPPM, Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Haji Za’abar Mohd Adib; Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datin Seri Zalilah Mohd Taib dan Yang Dipertua PPPM cawangan Terengganu, Tengku Datin Seri Ramlah Azizah Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
“Saya menyeru kepada semua supaya menghulur bantuan kepada orang lain agar kita dapat memanfaatkan potensi diri untuk menjadi manusia yang lebih baik dan berguna kepada masyarakat,” katanya.
Katanya, melalui program sebegini mampu menerapkan nilai-nilai sukarelawan dan jati diri di kalangan ahli supaya menjadi warga dunia yang bertanggungjawab tanpa mengira batasan umur, bangsa, agama mahupun kelompok masyarakat.
Datin Seri Rosmah melahirkan keyakinan program turun padang yang dilaksanakan dengan baik dan terancang, berjaya melahirkan anak-anak gadis dan remaja yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat dan juga negara.
“Saya percaya di sinilah landasan kita untuk mengembangkan bakat dan potensi mereka secara optimum supaya mampu bergerak seiring dengan aspirasi negara dan anak-anak gadis kita akan terus terpelihara dan mulia akhlaknya,” katanya.
Selain itu, Datin Sri Rosmah berharap Pandu Puteri terus memain peranan sebagai ‘Duta Kecil’ dalam mempromosi persatuan supaya dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pertubuhan bukan kerajaan lain di negara ini.
“Jika perkara yang baik dan mulia ditunjukkan, maka imej yang baik akan diperlihatkan kepada masyarakat dan kekalkan sikap saling bekerjasama kerana sepakat kita kuat, berpecah kita rebah,” katanya.