Halaman

03 June 2011

Atlet perlu contohi kepahlawanan Megat Panji Alam

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mahu supaya semua atlet yang membawa maruah Terengganu dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 Kuala Lumpur 2 hingga 12 Jun ini mencontohi kepahlawanan `Megat Panji Alam’ dalam diri masing-masing supaya tidak gentar ketika bertempur dengan lawan.

“Sukma Ke-13 Melaka Terengganu kekal juara untuk kali kedua. Sekaligus membuktikan kontinjen kita bukanlah jaguh kampung yang hanya mampu menang di halaman sendiri (Sukma Terengganu Ke-12 2008).
“Saya masih ingat ketika Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam datang ke Terengganu tahun lalu dan mengatakan juara Sukma Ke-13 akan jadi milik Hang Tuah, tetapi saya secara berseloroh mengatakan Megat Panji Alam tidak takut kepada Hang Tuah,” katanya sempena Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Terengganu Sukma Ke-14 Kuala Lumpur 2011, di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat.

Menurutnya, kehebatan Megat Panji Alam dari segi ilmu persilatan tidak boleh dipertikaikan lagi, namun pahlawan terbilang kelahiran Terengganu itu ditikam dari belakang akibat tipu daya musuh yang bersembunyi di sebalik pintu untuk menewaskannya.

Katanya, atlet Terengganu harus menjadikan sejarah itu sebagai teladan dan mencetus semangat dalam diri supaya tidak takut dan gentar ketika berdepan dengan pihak lawan.

“Saya merayu kepada semua atlet kita supaya ketepikan perasaan takut, gentar dan berjuanglah hingga titisan darah yang terakhir,” katanya lagi.

Kontinjen Terengganu mensasarkan 27 emas, 18 perak dan 12 gangsa menerusi penyertaan dalam 17 acara termasuk basikal (trek), bina badan, bola baling, judo, kanu, lawan pedang dan mendayung.

Seramai 214 atlet melibatkan 119 lelaki dan selebihnya wanita akan mempertahankan misi Terengganu yang turun dengan moto `Terengganu Hanelang’ untuk mengekalkan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut selepas menjuarai Sukma Terengganu 2008 dan Sukma Melaka 2010 yang lalu.







Peniaga PBKP tidak menang tangan layan pelanggan

Oleh: Suriati Ali



Ratusan peniaga Pasar Besar Kedai Payang (PBKP), Kuala Terengganu tersenyum lebar setiap kali tiba musim cuti persekolahan berikutan mendapat keuntungan berganda berbanding hari biasa.

Rata-rata mereka tidak menang tangan melayan pelanggan tempatan dan luar Terengganu yang mengunjungi lot kedai masing-masing bagi mendapatkan pelbagai jenis barangan seperti batik, sutera, songket dan makanan tradisional Terengganu

Tinjauan pemberita Teganukita di PBKP mendapati kebanyakan pengunjung yang datang dari pelbagai negeri ghairah membeli produk Terengganu untuk di bawa pulang ke tempat asal masing-masing.

Tidak ketinggalan, barangan tembaga, rantai kunci penyu dan baju-T bertulisan Terengganu turut menjadi pilihan mereka sebagai tanda kenang-kenangan dan cenderamata kepada saudara serta rakan-rakan.

Setiap pelanggan terpaksa berhimpit ketika ingin membeli dan melalui lorong yang mengasingkan peniaga kerana terlalu ramai pelanggan yang berurusan sepanjang minggu itu.

Peniaga batik, Encik Basir Nasir, 41, berkata cuti persekolahan dan cuti umum adalah bonus bagi dia serta rakan niaga lain kerana mendapat keuntungan lebih berbanding hari biasa.

Katanya, dia mengambil kesempatan menjual batik Terengganu secara lelong iaitu 11 helai dengan harga RM100 dan pelbagai jenis barangan lain secara murah.

“Cara berkenaan mampu menarik minat pelanggan untuk mengunjungi lot kedai saya dan rata-ratanya memuji kecantikan batik Terengganu,” katanya.

Pengunjung dari Kedah, Encik Firdaus Ahmad Tarmizi, 34, berkata cukup berbaloi dia dan keluarga mengambil kesempatan menghabiskan masa cuti sekolah di Terengganu kerana pelbagai tempat menarik dapat dilawati.

Katanya, dia tidak melepaskan peluang membeli pelbagai jenis makanan tradisional Terengganu, batik dan sutera kerana di negerinya barangan berkenaan sukar diperolehi.

“Jika ada peluang, kami akan mengunjungi kembali Terengganu untuk melawat beberapa destinasi menarik lain seperti Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dan Pulau Redang.

“Cuti kali ini, kami hanya sempat mengunjungi lokasi sekitar Kuala Terengganu saja, iaitu Taman Tamadun Islam, Pantai Batu Buruk dan Pulau Warisan,” katanya ketika ditemui PBKB, hari ini (3 Jun).




02 June 2011

Masyarakat Terengganu mula minat membaca

Oleh: Suriati Ali


Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah

Masyarakat Terengganu terutama golongan belia kini `celik ilmu’ dan mempunyai kesedaran tinggi terhadap pentingnya pendidikan dan membaca.

Berdasarkan perangkaan, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) menerima peningkatan jumlah pengunjung yang memberangsangkan pada setiap tahun.

Dalam tempoh lima tahun iaitu 2006, PPAT menerima seramai 609,247 bilangan pengunjung, 2007 (805,278), 2008 (1,037,934), 2009 (1,155,205) dan 2010 pula kira-kira 1,200,049 pengunjung pelbagai peringkat umur.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata pihaknya bangga dengan peningkatan jumlah pengunjung dan terbukti promosi dan program yang dianjurkan PPAT setiap tahun mendapat sambutan daripada orang ramai.

“Apa yang membanggakan, golongan belia paling ramai mengunjungi PPAT dengan pelbagai tujuan antaranya membaca dan menghadiri program,” katanya ketika dihubungi pemberita Teganukita.

Menurut Puan Hajah Nor Akmal, sebanyak 107 perpustakaan diwujudkan di negeri ini sebagai langkah menarik minat orang ramai supaya celik ilmu dan mendalami betapa pentingnya pendidikan, selain memudahkan masyarakat mendapat maklumat terkini.

“Daripada jumlah itu, perpustakaan desa paling banyak ditubuhkan iaitu 88 buah, perpustakaan daerah (6), perpustakaan bergerak (11) dan perpustakaan pekan serta pusat masing-masing sebuah,” katanya.




LMNT Anjur program menarik sepanjang cuti sekolah

Oleh: Suriati Ali



Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) telah merangka beberapa program untuk menarik minat orang ramai mengunjungi muzium itu sepanjang musim cuti sekolah, antara 29 Mei dan 9 Jun ini.

Penolong Kurator-Perhubungan dan Pemasaran LMNT Mohd Saberi Muda berkata salah satu daripada program itu ialah rampai budaya iaitu satu aktiviti khusus untuk menghidupkan suasana di muzium.

Katanya rampai budaya merupakan satu rangkuman aktiviti demontrasi, permainan, kuiz, persembahan kebudayaan yang diadakan serentak bertempat di perkarangan muzium.

“Aktiviti-aktiviti yang dijalankan bertujuan sebagai penyaluran maklumat dan pengetahuan berhubung dengan aspek sejarah dan budaya tempatan.

"Program ini bertujuan menjadikan muzium Terengganu satu destinasi 'wajib dikunjungi' pada musim cuti persekolahan," katanya.

Mohd Saberi berkata antara aktiviti teras kepada rampai budaya ini adalah persembahan kebudayaan, demostrasi awetan manuskrip, awetan mamalia dan permainan tradisional.

Katanya program rampai budaya edisi kedua ini dijangka akan berjaya menarik lebih ramai pengunjung bebanding edisi pertama yang telah dijalankan pada cuti awal penggal pada Mac lalu.

Mohd Saberi berkata pada edisi pertama rampai budaya telah berjaya menarik hampir 4,000 pengunjung dan untuk program kali ini, pengunjung dijangka meningkat 100 peratus.

Beliau berharap kepada para ibu-bapa dan pelajar-pelajar sekolah tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan rampai budaya ini.


JPJ lelong 37 kenderaan

Oleh: Esah Abdullah

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu buat julung kalinya mengadakan lelongan kenderaan secara pukal di perkarangan pejabat itu semalam.

Pengarah JPJ Terengganu, Encik Abdul Rahman Emang Ayie berkata, lelongan terhadap 37 kenderaan iaitu 17 yang boleh dilesenkan dan 20 tidak boleh dilesenkan berjaya mengumpul RM22,280.

Katanya, kesemua kenderaan berkenaan membabitkan motosikal, kereta dan lori kecil habis dalam tempoh hanya sejam.

Menurutnya, lelongan tertinggi membabitkan dua buah kereta iaitu Savvy dan Proton Wira yang tidak boleh dilesenkan dengan harga RM5,000.

“Jualan secara pukal ini hanya dibuat untuk kenderaan tertentu sahaja dan mungkin merugikan dari segi nilainya tetapi lebih menarik minat pembeli,” katanya kepada pemberita sebaik tamat masa lelongan.

Katanya, dalam lelongan berkenaan terdapat 39 pembida terdiri daripada peniaga dan orang persaorangan yang mengambil bahagian dimana pembida dibuka kepada sesiapa sahaja dan hanya perlu membayar RM50 sebagai pendaftaran.

Selain itu katanya, pembida yang berjaya membuat pembelian bawah RM1,000 perlu menjelaskan bayaran pada hari yang sama manakala bagi harga yang lebih daripada itu perlu menjelaskan 50 peratus sahaja dan baki boleh dibuat dalam masa tujuh hari dari tarikh berkenaan.




Pertandingan pidato bukan Melayu

Oleh: Esah Abdullah

Esok merupakan hari penentuan siapa bakal muncul sebagai pemenang pertandingan pidato yang membawa tema ‘Gagasan 1Malaysia Wadah Perpaduan Nasional’ anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT).

Pengarah JPNT, Hajah Azizah Awang berkata pertandingan ini khusus untuk peserta bukan Melayu yang disertai tujuh orang daripada kaum Cina, India, Dusun dan Iban.

Katanya, pertandingan yang berlangsung di Dewan Binjai, Hotel Seri Malaysia, Kuala Terengganu bermula 10 pagi untuk saringan dan tiga peserta terbaik akan bersaing pada peringkat akhir bermula 5 petang pada hari yang sama.

“Pertandingan ini merupakan usaha kita untuk meningkatkan kefahaman dan pengetahuan masyarakat pelbagai kaum mengenai dasar negara khususnya Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Menurutnya, melalui pertandingan sebegini diharapkan dapat meningkatkan rasa cinta dan patriotisme masyarakat pelbagai kaum terhadap negara tercinta ini.

Katanya, johan pertandingan akan menerima hadiah wang tunai RM1,500, kedua (RM1,000) dan ketiga (RM500) manakala saguhati akan menerima RM200.

Selain hadiah, orang ramai yang hadir berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa barangan elektrik yang disediakan oleh pihak penganjur.

Pengerusi Jawatankuasa Perundustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, YB Toh Chin Yaw akan merasmikan program berkenaan.





UniSZA anjur Icotos 17 Julai depan

Oleh: Aida Abd Rahman

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal menganjurkan persidangan dan latihan Pengurusan Ladang Walit Antarabangsa (Icotos) di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu pada 17 hingga 19 Julai depan.

Program diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menjadi platform mempertemukan ahli akademik, penyelidik dan pengusaha dari pelbagai negara untuk berkongsi kepakaran dalam bidang itu.

Dekan Fakulti Pertanian dan Bioteknologi UniSZA, Prof Dr Mat Zakaria, berkata sebanyak 16 kertas kerja akan dibentangkan oleh pakar dan pemain industri itu termasuk Pengarah JPV, Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin dan Pensyarah Kanan Universiti Pertanian Bogor, Indonesia, Prof Dr Arni Mardiastuti.

Antara pakar lain yang turut membentangkan kertas kerja, Saintis Pusat Salim Ali dari India, Dr Manchi Shirish dan Pengarah Urusan Swiftlet Ecopark Group, Loke Yue Loong.





Dua piala kebanggaan bakal diarak pulang ke Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri berharap Terengganu mampu membawa pulang dua piala kebanggaan rakyat Malaysia menerusi dua pertandingan sukan berprestij negara pada 12 hingga 13 Jun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat, berkata kontinjen Terengganu yang bersaing di kejohanan Sukan Malaysia ke-14 Kuala Lumpur 2011 sepanjang 2 hingga 12 Jun diharap dapat mengulangi kejayaan selaku juara temasya itu sekaligus dapat membawa pulang piala kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut.

Sebelum itu, katanya kejuaraan dalam perlawanan akhir bola sepak Piala FA antara Terengganu dengan Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 11 Jun ini juga menjadi pertaruhan untuk pasukan Terengganu membawa pulang piala kemenangan itu ke negeri ini.

“Semua rakyat Terengganu harap dapat bawa balik Piala FA dari Kuala Lumpur. Kalau boleh biarlah pada 12 hingga 13 Jun ini dua piala kebanggaan, Piala FA dan Sukma (juara) kita bawa berarak beramai-ramai,” katanya sempena Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Terengganu Sukma Ke-14 Kuala Lumpur 2011, di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Turut hadir melancarkan program itu, Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said; Penasihat Undang-Undang negeri, YB Noorbahri Baharuddin; Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar.

Kontinjen Terengganu mensasarkan 27 emas, 18 perak dan 12 gangsa menerusi penyertaan dalam 17 acara termasuk basikal (trek), bina badan, bola baling, judo, kanu, lawan pedang dan mendayung.

Seramai 214 atlet melibatkan 119 lelaki dan selebihnya wanita akan mempertahankan misi Terengganu yang turun dengan moto `Terengganu Hanelang’ untuk mengekalkan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut selepas menjuarai Sukma Terengganu 2008 dan Sukma Melaka 2010 yang lalu.






01 June 2011

MSC Sarawak minat konsep e-Book dan kelas maya.

Oleh: Suriati Ali



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menerima kunjungan hormat delegasi dari Multimedia Super Corridor Malaysia (MSC) Sarawak di pejabatnya, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, petang ini (1 Jun).

Kunjungan hampir satu jam itu membincangkan pelbagai perkara termasuk berkaitan projek kelas maya dan perlaksanaan penggunaan e-Book di Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif MSC Sarawak, Dr Kamil Fikri, berkata dia kagum dengan konsep yang dilaksanakan Terengganu yang menggunakan e-Book dan kelas maya sebagai bahan penting dalam pembelajaran di sekolah.

“Pihak kami berhasrat menggunakan pendekatan sama dengan menjadikan 200 sekolah rendah di kawasan pendalaman Sarawak sebagai perintis menggunakan kelas maya.

“Pada masa sama, 5,000 murid sekolah rendah di lokasi sama akan diagihkan e-Book secara berperingkat-peringkat,” katanya kepada pemberita Teganukita.

Perjanjian antara MSC Malaysia dan Kerajaan Terengganu berkaitan projek itu akan dijalankan dalam tempoh terdekat.



YPU bantu 1,947 usahawan babitkan kos RM1.7 juta

Oleh: Esah Abdullah

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah mengeluarkan pinjaman kepada 1,947 usahawan membabitkan kos RM1.7 juta bermula 2009 hingga April tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, YB Dato’ Haji Mohamed Awang Tera berkata, pemberian pinjaman ini membabitkan kesemua 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk lapan kawasan yang dikuasai parti pembangkang.

“Kerajaan tidak pernah pilih bulu dan menyifatkan semua rakyat berhak mendapat peluang yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.

Katanya, sejak 2009 hingga April 2011, YPU telah melulusan pinjaman berjumlah RM622,500 kepada usahawan kecil dan sederhana (IKS) dalam lapan DUN yang dikuasai parti pembangkang manakala RM1.1 juta bagi 24 DUN Barisan Nasional (BN).

“Ini menunjukkan kita tidak memilih parti untuk membantu, sebaliknya bantuan diberi berdasarkan kelayakkan seperti golongan miskin yang ingin berdikari serta memulakan perniagaan,” katanya.

Selain bantuan dalam bentuk modal perniagaan, YPU juga menyediakan kursus, seminar serta khidmat nasihat terutama kepada mereka yang baru menceburkan diri dalam bidang usahawan.

“Khidmat bimbingan usahawan dan peluang-peluang pemasaran serta penjenamaan barangan yang dikeluarkan, pendek kata semua kita sediakan bagi memastikan usahawan terbabit mampu berdaya maju dalam bidang yang diceburi,” katanya.