Halaman

09 July 2011

Bistari raih tempat ketiga

Oleh: Aida Abd Rahman/Suriati Ali



Pasukan Bistari (Melaka) menumpaskan Baiduri (Perak) dengan mata 3-2 untuk meraih tempat ketiga, dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat pertandingan badminton sempena Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011, yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Tiga regu yang memastikan kemenangan Bistari adalah pasangan Datin Seri Datuk Wira Hajah Asmah Ab Rahman dengan Datin Faridah Abdul Khalid (15-8,15-1); Datin Hajah Ahsenah Haji Othman dengan Datin Wira Hajah Zainun Tun Ghafar (15-12,5-15, 15-5) dan Datin Hajah Hasiah Harun dengan Datin Evelyn Tan Siew Beng (15-4,15-4).

Sebelum itu, pasukan Bakti yang diketuai Datin Paduka Seri Rosmah Mansor menepati ramalan apabila berjaya menumpaskan Baiduri (Perak)3-0, manakala Bakisa menundukkan pasukan Bistari (Melaka) 3-0, di peringkat separuh akhir petang semalam.



Lapan pasukan berentap di peringkat suku akhir melibatkan Sabati tewas di tangan Bakisa dengan mata 1-3, manakala tuan rumah, Serikandi dikalahkan Bistari (1-3), diikuti Bakti mengalahkan Pekerti (3-0) Baiduri memungut tiga mata penuh selepas menumpaskan Kasih (Selangor).

Sebanyak 12 pasukan mula bersaing di peringkat kumpulan di enam gelanggang Stadium Negeri, sejak pagi Khamis lalu.



Sementara itu, penentuan johan dan naib johan antara pasukan Bakti dan Bakisa sedang berlangsung bermula jam 3 petang tadi dan dijangka selesai kira-kira jam 5.30 petang ini.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan badminton dan boling.





MB sertai pertandingan golf

Oleh: Amirullah Othman dan Harun Hassan



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menyertai pertandingan golf di Green Acres Golf & Country Resort, Kuala Ibai, pagi ini sempena Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011 yang berlangsung di Terengganu selama tiga hari mulai 7 Julai lalu.



Turut menyertai pertandingan itu, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan wakil-wakil rakyat.

Wakil-wakil rakyat dari pelbagai negeri di seluruh negara turut menyetai pertandingan tersebut yang dimulakan kira-kira jam 8 pagi.



Pada sebelah petang mereka akan menghadiri majlis penyampaian hadiah program berkenaan di Stadium Negeri yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak.

Pasar tani wanita pertama di Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan pendapatan peserta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Terengganu, termasuk menggalakkan mereka menceburi bidang perniagaan.

Pengarah Fama negeri, Encik Hasan Jusoh berkata Fama dengan kerjasama AIM mewujudkan sebuah pasar tani wanita untuk peserta-peserta AIM di Kuala Telemong, Hulu Terengganu awal Jun lepas.

"Ini merupakan pasar tani wanita yang pertama di Terengganu dan mungkin juga di negara ini," katanya.

Pada masa ini, Encik Hasan berkata seratus peratus peniaga di pasar tani itu terdiri daripada peserta AIM dan kebanyakan mereka mempunyai pengalaman asas dalam bidang perniagaan.

Beliau berkata, Fama membantu peserta-peserta pasar tani itu dengan menyediakan kemudahan asas seperti khemah di samping memberi bimbingan dalam bidang perniagaan manakala AIM pula membantu daripada segi kewangan.

Encik Hasan berkata, Fama memilih kawasan Kuala Telemong untuk mewujudkan pasar tani itu kerana ia merupakan salah satu daripada tiga pusat pertubuhan ekonomi desa di Hulu Terengganu.

Beliau berkata pasar tani wanita itu mungkin dikembangkan ke daerah-daerah lain bagi membolehkan peserta AIM berniaga, sekaligus meningkatan pendapatan keluarga.


Malam Ulek Mayang penuh warna-warni

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan




Malam Ulek Mayang yang menjadi penyeri Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011, diadakan di Dewan Besar Wisma Darul Iman malam tadi, dalam suasana penuh warna-warni.



Yang Dipertua Bakti, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, menjadi tetamu kehormat acara tersebut.

Yang Dipertua Serikandi, To’ Puan Hajah Norliza Mahmud dan barisan jawatankuasa Serikandi menunjukkan kehebatan mereka melalui persembahan tarian Ulek Mayang.




Persembahan Ulek Mayang yang merupakan tarian tradisional negeri ini menarik perhatian peserta dari luar Terengganu.



Malam Ulek Mayang diadakan secara tertutup bagi meraikan 14 kontinjen dari seluruh negara yang menyertai Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011 yang bermula 7 Julai dan berakhir hari ini.

Pada malam mini mereka akan menyertai Malam Sentuhan Songket di Taman Tamadun Islam yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak.

Serikandi puas hati

SERIKANDI berpuas hati kerana berjaya menganjurkan Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011, yang berakhir hari ini.

Naib Yang Dipertua Serikandi, To’ Puan Hajah Sabariah Dato’ Muhammad Yusof, berkata pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak, khususnya jabatan-jabatan kerajaan yang turut memberi kerjasama bagi menjayakan program berkenaan.

“Program kali ini sangat berjaya kerana ia mencapai matlamat penganjurannya iaitu mengeratkan hubungan silaturahim antara pasukan-pasukan dan semua kontinjen yang menyertainya,” katanya.

Beliau berkata, Serikandi membuat perancangan rapi sebelum menjadi tuan rumah program itu dan pihaknya banyak mempelajari dari negeri-negeri lain yang pernah menjadi tuan rumah sebelum ini.

“Serikandi sebagai tuan rumah mengucapkan syabas kepada semua ahli kontinjen yang datang ke Terengganu kerana mereka memberi kerjasama baik dalam menjayakan setiap program yang diatur,” tambahnya.


08 July 2011

Produk Terengganu jadi tarikan

Oleh: Suriati Ali

Usaha membuka gerai jualan di lokasi kejohanan Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011 mampu mempromosikan pelbagai produk Terengganu secara dekat kepada peserta program itu.

Peniaga perlu bijak mempromosi produk masing-masing supaya dapat menarik minat pembeli yang kebanyakannya terdiri daripada tetamu luar Terengganu termasuk Sabah dan Sarawak.

Pengusaha gerai yang juga Ahli Jawatankuasa Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI), Marang, Puan Rosmaini Mohd Jantan, berkata dia dan beberapa rakan niaga lain berasa cukup bertuah kerana diberi peluang berniaga di tapak program itu.

“Saya mengambil peluang sepenuhnya untuk mempromosi barangan jualan seperti keropok, bahulu, dodol daun palas, kerepek pisang dan kerepek ubi kepada pelanggan,” katanya.

Peniaga produk batik dan sutera, Cik Noraime Mohd, berkata program seperti ini sewajarnya diteruskan kerana dapat mempromosi pelbagai produk secara dekat kepada pelanggan.
“Mereka tidak perlu pergi jauh dari lokasi kejohanan kerana semuanya boleh didapati di sini seperti pakaian sutera, kain batik dan makanan tradisional,” katanya.

Pengusaha kedai emas, Puan Mahani Mohamed, berkata dia tidak akan melepaskan mempromosi barangan jualan kepada peserta yang sememangnya mempunyai kuasa beli yang tinggi.



Baiduri johan tenpin boling

Oleh: Suriati Ali

Pasukan Baiduri (Perak) muncul juara dalam pertandingan tenpin boling PTIWRBNM yang berlangsung di TERs Kuala Ibai dengan jatuhan pin sebanyak 4,363.

Naib johan bagi pertandingan itu dimenangi pasukan Kasih (Selangor)dengan jatuhan pin sebanyak 3,954 dan tempat ketiga pula dimenangi Bakti (Malaysia) dengan jatuhan pin 3,879.

Manakala bagi kategori individu, Datin Azizah Salleh dari pasukan Baiduri A (Perak) yang berjaya mencatat jatuhan pin terbanyak (200) muncul johan.

Kejohanan tenpin bowling PTIWRBNM yang melibatkan 14 pasukan bertanding berakhir dengan penuh semangat setiakawan, kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam.


Bakti lawan Bakisa di final badminton

Oleh: Aida Abd Rahman/Suriati Ali/Mastura Jamaldin



Pasukan badminton Bakti yang diketuai Datin Paduka Seri Rosmah Mansor menepati ramalan apabila berjaya menumpaskan Baiduri (Perak) di peringkat separuh akhir untuk mara ke peringkat akhir menentang pasukan Bakisa (Sabah), petang esok.

Dalam perlawanan petang ini, Bakti menewaskan Baiduri 3-0, manakala Bakisa menundukkan pasukan Bistari (Melaka) 3-0.

Sementara penentuan tempat ketiga dan keempat menyaksikan persaingan antara Bistari dan Baiduri yang dijadualkan berlangsung pagi esok.



Sebelum itu, lapan pasukan berentap di peringkat suku akhir melibatkan Sabati tewas di tangan Bakisa dengan mata 1-3, manakala tuan rumah, Serikandi dikalahkan Bistari (1-3), diikuti Bakti mengalahkan Pekerti (3-0) Baiduri memungut tiga mata penuh selepas menumpaskan Kasih (Selangor).



Sebanyak 12 pasukan mula berentap pada perlawanan badminton peringkat kumpulan di enam gelanggang Stadium Negeri, sejak jam 10.30 pagi kelmarin.





07 July 2011

Badminton peringkat kumpulan berentap

Oleh: Aida Abd Rahman/ Suriati Ali/ Mastura Jamaldin/ Sh. Mardiah Tuan Azam

Sebanyak 12 pasukan mula berentap pada perlawan badminton peringkat kumpulan,di enam gelanggang, Stadium Negeri, bermula jam 10.30 pagi semalam.

Bakti yang diketuai Datin Paduka Seri Rosmah Mansor berjaya menewaskan pasukan Sabati (Sarawak) dengan kemenangan 4-1.

Manakala Juita (Johor) pula memperoleh kemenangan selepas menewaskan Teratai(Pahang) 3-2, Bistari (Melaka) menang bergaya ketika bertemu pasukan lawan Sejati (Pulau Pinang) 5-0, Kasih (Selangor) melawan Bidara (Kedah) 4-1, Bakisa (Sabah) melawan Pekerti ( Negeri Sembilan) 5-0, Baiduri (Perak) melawan Penawar (Kelantan) 4-1.

Perlawanan bersambung pada jam 3.30 petang dan pada 9 malam sebelum menentukan pasukan yang muncul johan kumpulan dan layak ke peringkat suku akhir.

Persaingan peringkat suku akhir akan berlangsung jam 8.30 pagi ini.



Bakti komited tingkat prestij-MB

Oleh: Aida Abd Rahman/Suriati Ali/ Sh Mardiah Tuan Azam

Inisiatif dan komitmen tinggi Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Datin Paduka Seri Rosmah Mansor menerajui badan itu meneruskan tradisi dan meningkatkan prestij penganjuran Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011, perlu diberi penghormatan dan pujian.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata program tahunan itu menjangkau tradisi dan mencerminkan keakraban persaudaraan antara ahli Bakti yang bukan sekadar bagi tujuan amal serta kebajikan ahlinya, tetapi turut membantu masyarakat.

“Kita bertuah kerana mempunyai ’wanita pertama’ yang sentiasa komited dengan usaha baru bagi membantu pimpinan negara melalui program-program amal dan kebajikan yang memberi impak terus kepada rakyat.

“Ini dapat kita lihat menerusi program Permata Negara yang berjaya melahirkan modal insan yang menjadi aset paling penting untuk memajukan negara,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pembukaan Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Se-Malaysia 2011, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, pagi tadi.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri merangkap Yang Dipertua Bakti, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, Yang Dipertua Serikandi, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud serta isteri Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Yang Dipertua Bakat, Puan Sri Hajah Noorainee Abd Rahman.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Yang Dipertua Badan-Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat BN dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu.

Menteri Besar berkata, komitmen dalam program amal ini jelas membuktikan bahawa seorang wanita berbakti sebagai isteri dan ibu dalam sebuah keluarga, juga mempunyai peranan penting dalam membimbing masyarakat.

Menurutnya, Bakti dan seluruh badan di bawah naungannya di peringkat negeri, telah memainkan peranan yang penting dalam masyarakat kerana sentuhan seorang wanita adalah berbeza dari suaminya.

“Sebagaimana kata pepatah di sebalik kejayaan seorang lelaki, ternyata pendukungnya adalah seorang wanita.

“Kita sebenarnya adalah satu keluarga yang besar dalam Barisan Nasional dan setiap seorang dari kita, termasuk para suami, mempunyai peranan yang besar dalam masyarakat dan negara,” katanya.

Katanya, tujuan kita adalah sama dan murni iaitu beramal melalui program kebajikan untuk kepentingan masyarakat, termasuk program untuk membela nasib insan yang kurang berupaya.

Selain itu, setiap kontinjen, walaupun berbeza dan datang dari seluruh negara, tidak menghalang untuk bersatu menjayakan program ini sekaligus merapatkan silaturrahim yang sudah terbina dan mengukuh setiakawan dalam semangat 1 Malaysia.