Halaman

08 August 2011

Piala Malaysia - Terengganu idam kedudukan lebih baik

Oleh FAUZI MOHD

Skuad Penyu giat mengatur persiapan akhir dalam usaha memburu kedudukan terbaik dalam saingan Piala Malaysia yang bakal membuka tirai perlawanannya pertengahan September ini.


Encik Irfan Bakti Abu Salim

Jurulatih pasukan itu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, kejayaan Terengganu menundukkan pasukan 'The Red Warrior' dalam perlawanan akhir Piala FA pada Jun lalu bukan alasan untuk skuad itu berasa selesa.

Katanya, pasukan itu sedang menunggu 'lampu hijau' daripada pihak pengurusan untuk mendapatkan satu atau dua lagi pemain luar dalam usaha mengukuhkan jentera tengah skuad itu.

"Kita memerlukan percaturan lebih teliti pada bahagian tengah dan perkiraan kita pada kali ini, hanya pemain yang kita rasa perlu saja akan diambil untuk menguatkan setiap barisan dalam perlawanan," katanya di sini hari ini.

Kempen Piala Malaysia musim ini, Terengganu diundi dalam Kumpulan B bersama Negeri Sembilan dan PKNS serta pendatang baru Sime Darby FC.

Mengulas mengenai undian tersebut, Irfan berpuas hati namun tidak akan mengambil mudah kemampuan setiap lawan termasuk juara Liga Perdana, PKNS.

"Kita akan manafaat sebaik mungkin masa yang ada di bulan Ramadan ini untuk memantapkan stamina pemain bagi mengatasi keputusan tahun lepas yang kalah kepada Kedah pada peringkat suku akhir.

"Sebagai juara Piala FA dan naib juara Liga Super musim ini, saya percaya kita mampu mara lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia," ujarnya.


PUSPANITA DAERAH BESUT ZIARAH PESAKIT DI HOSPITAL BESUT

Oleh: Mohammad Ishak


Rohayati (tengah)beramah mesra dengan seorang pesakit di Hospital Besut


PUSPANITA Daerah Besut mendahului pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain di daerah ini dengan mengadakan sesi ziarah pesakit di Hospital Besut, sempena sambutan kehadiran ramadan tahun ini.

Pengerusinya, Rohayati Mustaffa yang juga isteri Pegawai Daerah Besut,A Rahim Jusoh, bersama 15 ahli jawatankuasanya memilih Hospital Besut, untuk menemui pesakit sambil menyampaikan hamper.

Katanya, program pertama anjuran Puspanita itu selepas mengadakan mesyuarat agung tahunan awal bulan ini bertujuan mendekatkan pertubuhan ini dengan komuniti selain membantu mereka yang memerlukan bantuan.

Menurutnya, kunjungan ke HB sambil menemui pesakit di wad perempuan dan kanak-kanak dapat meningkatkan semangat pesakit selain memberi keinsafan kepada jawatankuasa sendiri.

Rohayati pengerusi baru yang dipilih pada mesyuarat agung tahunan pertubuhan itu merancang lebih banyak program berbentuk kemasyarakatan dan agama sepanjang bulan Ramadan ini.

Sempena lawatan ke HB beliau turut menyampaikan sumbangan hamper kepada 27 pesakit masing-masing 16 wanita dan 11 kanak-kanak.

Beliau berharap, dengan adanya sumbangan seumpama itu dapat mengurangkan rasa rindu terhadap keluarga selain merapatkan perhubungan antara ahli jawatankuasa dengan masyarakat setempat.

07 August 2011

TDM tambah ekuiti sektor penjagaan kesihatan

Oleh FAUZI MOHD

Syarikat pegangan pelaburan milik kerajaan negeri, TDM Berhad menambah satu lagi ekuiti dalam sektor penjagaan kesihatan dengan mengambil alih sepenuhnya Taman Desa Medical Centre (TDMC) di Kuala Lumpur.



Pengerusinya, Datuk Mohd. Roslan Awang Chik berkata, dengan pengambil alihan itu, TDM kini mempunyai empat buah hospital bersaiz sederhana termasuk Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTS) , Kuantan Medical Centre dan Kelana Jaya Medical Centre.

Katanya, pengambilalihan TDMC yang bermula sejak April lalu melibatkan kos RM16.5 juta dan TDM memperuntukan kos tambahan sebanyak RM22 juta bagi menaiktaraf kemudahan hospital dalam usaha memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.

"Dengan pengambilalihan ini TDM menjangkakan mampu memberi pulangan yang lebih baik melalui sektor kesihatan dalam masa yang singkat," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama hampir 80 anak-anak yatim Asrama Darul Falah di Dewan Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman II, di sini, semalam.

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-46 tahun ini, TDM telah mengisytiharkan bayaran dividen lebih tinggi sebanyak 13.5 sen bagi setiap syer biasa di akhir tahun kewangan 31 Disember 2010, berbanding 12 sen pada tahun 2009.

Tambah Roslan, TDM akan memperuntukan lebih RM150 juta bagi membina sebuah lagi hospital pakar swasta di negeri ini yang bakal dilengkapi kemudahan teknologi perubatan moden dan terkini.

"Pembinaannya akan bermula tahun hadapan di Batu Buruk melibatkan kemudahan 150 katil dan apabila siap kelak ia mampu menaikkan lagi imej Terengganu serta syarikat kerana berupaya membina banyak hospital swasta di Pantai Timur.

"Justeru perkhidmatan yang ditawarkan di semua hospital milik TDM adalah setanding dengan apa yang terdapat di hospital negara-negara maju," katanya.

Kuih tradisional Terengganu dapat sambutan

Oleh: Suriati Ali

Puluhan kuih tradisional Terengganu seperti nekbat sira, onde-onde, puteri mandi, buah gomok, tepung pusu, asam gumpal, tepung pelita dan akok telur mendapat sambutan mengalakkan setiap kali menjelang Ramadan.

Tinjauan pemberita Teganukita di beberapa bazar Ramadan di kawasan bandar raya Kuala Terengganu mendapati kebanyakan pembeli terutama warga emas tidak melepaskan peluang membeli kuih tradisional itu yang dijual antara RM0.30 hingga RM1.50 sekeping.

Peniaga bazar Ramadan, Rohayu Alias, 26, berkata setiap tahun beliau menjual kuih-muih pada bulan puasa dan antara kuih yang dijual termasuk kuih menganang telur yang diperbuat daripada tepung gandum dan telur.

"Kebiasaannya saya menjual kuih baulu, namun pada bulan puasa kuih menganang telur ini lebih mendapat sambutan dan mendapat permintaan yang tinggi.

"Dalam sehari, saya boleh jual 300 biji menganang dengan harga sebiji RM2.50 malah saya boleh balik sebelum waktu berbuka kerana kuih sudah habis dijual," katanya yang menjual di Bazar Ramadan Batu Buruk sejak dua tahun yang lalu.

Sementara itu, seorang lagi penjual kuih, Nur Masjidil Aina Wahab, 36, berkata selain kuih karipap, apam, dan seri muka, kuih tradisional seperti kuih ulat bulu turut laris dijual kerana keunikan dan keenakan rasanya.

Kuih ulat bulu diperbuat daripada campuran tepung pulut dan tepung pulut hitam manakala bentuknya seperti kuih onde-onde tetapi berbentuk seperti ulat bulu.

Beliau berkata kuih itu boleh didapati dalam pelbagai warna seperti hijau, hitam dan coklat malah terdapat juga inti kacang merah di dalam kuih itu.

Selain kuih tempatan, terdapat juga kuih baru yang jarang ditemui seperti kuih tradisional dari Thailand iaitu kuih Locong.

Menurut penjualnya, Ibrahim Abu Bakar, 42, beliau mendapat bekalan kuih itu daripada seorang temannya berasal dari Thailand yang sudah lama menetap di Terengganu dan menjualnya dengan harga RM1.50 sebungkus.

"Kuih ini diperbuat daripada debu sagu dan air gula di dalamnya terdapat buah kabung atau nangka.

"Cara untuk memakannya ialah seperti cendol dengan berkuahkan santan. Makanan ini lebih sedap dimakan sejuk iaitu meletakkan ais bersama-sama santan sebelum dimakan," katanya.


Maidam buka kaunter zakat sepanjang minggu

Oleh: Suriati Ali

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menjalankan operasi sepanjang minggu bertujuan memudahkan umat Islam membuat pembayarakan zakat sepanjang Ramadan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman, berkata pihaknya membuka kaunter di pejabat mereka di seluruh negeri sepanjang Ramadan bagi memudahkan orang ramai membayar zakat.

Menurutnya, orang ramai boleh membuat bayaran di ibu pejabat Maidam di Jalan Sultan Muhammad, Kuala Terengganu dan pejabat Maidam di Marang, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Besut serta Kemaman.

“Bagi pungutan zakat di kawasan umum, Maidam menyerahkan kepada amil yang dilantik dan Maidam hanya membuka kaunter di pejabatnya,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan membuat pembayaran zakat ditempat yang disahkan Maidam dan sekiranya wujud situasi mencurigakan membabitkan pemungut zakat, pihak berkenaan diminta tampil membuat aduan untuk membolehkan tindakan segera diambil.

“Bagi mengelak kesesakan seperti yang pernah berlaku di kaunter pembayaran zakat di Masjid Abidin pada tahun lali sehingga jam 3 pagi, orang ramai dinasihatkan membuat pembayaran lebih awal,” katanya.


Dana raya akan diagihkan minggu ketiga puasa

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri akan mula mengagihkan bantuan dana khas raya pada minggu ketiga Ramadan untuk memberi peluang rakyat membuat persiapan menjelang hari raya Aidilfitri tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, setakat ini masih dalam peringkat mengemaskini senarai nama mereka yang layak menerima dana berkenaan.

“Kita perlu semak satu persatu nama-nama yang dihantar oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan akan memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja akan menerimanya,” katanya kepada pemberita.

Menurut Dato’ Seri Haji Ahmad, tahun lalu kerajaan membelanjakan lebih RM40 juta untuk diagih kepada 150,000 keluarga di seluruh negeri.

“Tahun ini kita akan tambah 10 peratus peruntukan untuk dana berkenaan kerana ada pertambahan keluarga yang baru mendirikan rumah tangga,” katanya.

Katanya, setiap keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah, warga emas, orang kurang upaya serta ibu tunggal merupakan golongan yang layak menerima bantuan dana hari raya ini.

Dana raya diagihkan dalam tiga peringkat iaitu warga emas (RM200), keluarga miskin dan orang kurang upaya (RM300) serta yang mempunyai ramai tanggungan (RM400).




Masjid Tok Jembal destinasi ke-9 Kembara Ramadan Jalur Gemilang

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 40 warga emas dan golongan berpendapatan rendah menerima sumbangan hamper makanan sempena kunjungan Kembara Ramadan Jalur Gemilang 2011 di Masjid Tok Jembal, petang semalam.


Tazkirah Ramadhan disampaikan oleh pegawai agama Unisza sebelum majlis berbuka puasa.

Ketua konvoi berkenaan, Mustafa Abdul Kadir berkata, Masjid Tok Jembal menjadi destinasi kesembilan kumpulan itu selepas program agihan Jalur Gemilang di Taman Uda Murni, Teluk Ketapang.

Di persinggahan itu katanya, kembara anjuran Jabatan Penerangan Terengganu itu turut mengagihkan Jalur Gemilang kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir.

"Simbolik kepada kunjungan ini, lima pokok Bunga Raya ditanam di perkarangan masjid ini sebagai tanda semarak merdeka ke-54 pada tahun ini," katanya kepada pemberita di sini petang semalam.


YB Haji Ahmad Razif beramah mesra dengan penduduk yang hadir di majlis tersebut.

Hadir menyampaikan sumbangan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman. Turut hadir, Penolong Pengarah Penerangan negeri, Mohd. Iskandar Jaafar.

Tambah Mustafa, konvoi meneruskan perjalanan ke Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi, Teluk Ketapang bagi menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim serta bersahur bersama kumpulan itu.

Wanita Perkim susun agenda

Oleh; Esah Abdullah

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) menyusun agenda ke arah meningkatkan kecintaan Saudara Kita terhadap ajaran agama Islam serta mengeratkan ikatan silaulrahim antara mereka dan masyarakat sekeliling.

Pengerusi Wanita Perkim, To’ Puan Fatimah Kasma Mokhtar berkata, ketibaan Ramadan, kebiasaannya, pertubuhan mengadakan Kem Ibadah untuk Saudara Kita mendalami serta memahami fadilat yang terkandung dalam bulan berkenaan.

“Sempena Ramadan kali ini, kita tambah aktiviti seperti kelas jahitan, jahitan manik dan lawatan ke rumah ahli yang sakit,” katanya.

Katanya, program ini mendapat sambutan ramai kerana ia menjurus kepada minat wanita yang sedang membuat persiapan menjelang hari raya.

“Ilmu dan maklumat berkait dengan kemahiran banyak mendedahkan mereka kepada kepelbagaian yang dilalui oleh seseorang itu dalam memenuhi tuntutan kehidupan,” katanya.

Katanya, tidak lengkap jika hanya hadir pada majlis agama sahaja tanpa diselitkan dengan aktiviti lain yang boleh merehatkan minda.

“Saya yakin kita dapat membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa dalam usaha memantapkan pertubuhan di samping menarik lebih ramai Saudara Kita khususnya golongan wanita pada masa akan datang,” katanya.




84,000 bubur lambuk percuma di Masjid Putih sepanjang Ramadan

Oleh FAUZI MOHD



Dato' Seri Haji Ahmad Said mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai sempena Ramadan di Masjid Abidin (Masjid Putih).

Bubur lambuk Masjid Abidin sememangnya dikenali di kalangan warga bandar raya Kuala Terengganu yang pasti tidak melepaskan peluang untuk mendapatkannya setiap kali ketibaan Ramadan.

Masjid yang lebih dikenali sebagai Masjid Putih itu menjadi tumpuan bermula pukul tiga petang bagi mendapatkan bubur lambuk yang diagihkan secara percuma.

Sejak beberapa tahun lalu, program tajaan kerajaan negeri itu dilaksanakan secara bergotong-royong bagi memeriahkan suasana bulan Ramadan serta merapatkan hubungan sesama anggota masyarakat.

Meskipun ia boleh didapati dengan mudah di mana-mana kedai atau bazar Ramadan dengan harga RM2 sebungkus, namun bubur lambuk Masjid Putih tetap menjadi pilihan ramai.

Bagi Alias Mahmud, 53, yang mengetuai program masakan itu berkata, dengan 20 orang kakitangan sambilan, sebanyak 280 periuk bubur lambuk akan disediakan sepanjang Ramadan ini.

Menurutnya, bagi menyediakan 10 periuk bubur lambuk sehari, ramuan seperti beras, isi ikan selayang, rempah-ratus dan sayur mula dimasak seawal pukul 9 pagi di perkarangan masjid berkenaan secara serentak.

Setiap periuk katanya, 10 kilogram beras akan ditanak selama kira-kira sejam sebelum dimasukkan bahan yang lain seperti lima kilogram isi ikan selayang serta pelbagai jenis sayur termasuklah bayam, serai dan pucuk paku.

"Setiap hari, kami mesti sediakan kira-kira 3,000 bungkus bubur lambur dan sepanjang bulan ini, hampir 84,000 bungkus akan diagihkan secara percuma," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambah Alias, dua minggu sebelum bermulanya Ramadan, pihaknya telah menempah pelbagai jenis sayur dan daun kayu untuk tujuan itu kerana ramuan seperti daun kesom, kemanging dan pucuk paku sukar didapati dalam kuantiti yang banyak.

"Walaupun terpaksa berebut, semua bahan mentah diperolehi dari tempat berdekatan. Sebelum sahur, kita dah tunggu di pasar untuk dapatkan 80 kilogram ikan selayang.

"Ramuan seperti ikan selayang dan daun kayu yang menjadikan bubur itu sedap atau sebaliknya dan keistimewaan bubur lambuk Terengganu terletak pada bahan sampingannya iaitu budu dan pucuk paku," ujarnya.

Selain itu katanya, untuk rasa yang berbeza, pihaknya turut menambah daging tetel atau daging bercampur lemak sebagai bahan asas untuk membuatkan ia lebih berperisa.

Katanya, mereka yang datang sanggup beratur panjang kerana rasa dan aroma keasliannya yang membuatkan orang ramai tertarik untuk menikmati bubur yang menjadi resipi tradisi turun temurun.

"Walaupun kerja tersebut memenatkan apatah lagi ia dilakukan setiap hari di bulan Ramadan, namun sumbangan yang diberikan kepada orang ramai lebih bererti," ujarnya.



PENIAGA PASAR RAMADAN DINASIHAT JANGAN JUAL MAKANAN BASI

Oleh: Mohammad Ishak



YB Dr A Rahman (bersongkok) melayani tetamu yang hadir pada majlis berbuka puasa di kediamannya di Kuala Besut

PENIAGA khususnya penjual di bazar Ramadhan dinasihatkan supaya tidak menjual makanan yang sudah basi ketika menjalankan peniagaan di bazar yang diwujudkan di seluruh negeri.ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar, berkata tindakan sesetengah peniaga yang mencari untung mudah dengan menjual makanan yang sudah basi dan bermalam perlu dihentikan kerana ia menimbulkan masalah kepada pengguna.

Katanya, sikap peniaga yang menyiapkan bahan makanan terlalu awal untuk jualan adalah punca menyebabkan makanan berkenaan mudah basi ketika ia dijual kepada orang ramai menjelang waktu berbuka puasa.

“Peniaga juga perlu mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan dan pihak penguasa tempatan Majlis Daerah bagi menjaga kebersihan makanan dan tempat berniaga sepanjang bulan Ramadan,” katanya .

Dr A Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Pejabat Penyelaras DUN Kuala Besut, di kediamannya semalam.

Kira-kira 1,000 penduduk sekitar kawasan DUN berkenaan menghadiri majlis yang diadakan di pekan Kuala Besut itu.

Hadir sama Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin,Pengerusi MARA, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pegawai Daerah Besut, A Rahim Mokhtar.
Majlis berbuka itu dianggap menarik dan unik apabila penduduk yang menghadiri majlis berkenaan membawa sendiri hidangan makanan seperti nasik, lauk dan kuih sambil bertukar juadah ketika berbuka puasa.

Amalan seperti itu dikatakan menjadi tradisi kepada penduduk tempatan yang sebahagian besarnya nelayan kerana mereka menganggap ia satu kemeriahan selain orang ramai juga dapat menikmati makanan yang berbeza pada majlis itu..