Halaman

07 August 2011

Wanita Perkim susun agenda

Oleh; Esah Abdullah

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) menyusun agenda ke arah meningkatkan kecintaan Saudara Kita terhadap ajaran agama Islam serta mengeratkan ikatan silaulrahim antara mereka dan masyarakat sekeliling.

Pengerusi Wanita Perkim, To’ Puan Fatimah Kasma Mokhtar berkata, ketibaan Ramadan, kebiasaannya, pertubuhan mengadakan Kem Ibadah untuk Saudara Kita mendalami serta memahami fadilat yang terkandung dalam bulan berkenaan.

“Sempena Ramadan kali ini, kita tambah aktiviti seperti kelas jahitan, jahitan manik dan lawatan ke rumah ahli yang sakit,” katanya.

Katanya, program ini mendapat sambutan ramai kerana ia menjurus kepada minat wanita yang sedang membuat persiapan menjelang hari raya.

“Ilmu dan maklumat berkait dengan kemahiran banyak mendedahkan mereka kepada kepelbagaian yang dilalui oleh seseorang itu dalam memenuhi tuntutan kehidupan,” katanya.

Katanya, tidak lengkap jika hanya hadir pada majlis agama sahaja tanpa diselitkan dengan aktiviti lain yang boleh merehatkan minda.

“Saya yakin kita dapat membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa dalam usaha memantapkan pertubuhan di samping menarik lebih ramai Saudara Kita khususnya golongan wanita pada masa akan datang,” katanya.