Halaman

10 August 2011

Ketengah sedia RM8.35 juta bina rumah baru

Oleh; Esah Abdullah


Majlis penyerahan zakat Ketengah oleh Dato' Haji Hamzah kepada Maidam diwakili Haji Wan Harujan disaksikan Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said.

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menyediakan peruntukan RM8.35 juta untuk membina 123 unit rumah baru pelbagai jenis bagi menampung pertambahan penduduk dalam wilayahnya.

Pengurus Besar Ketengah, Dato’ Haji Hamzah Ngah berkata , sehingga ini Ketengah telah membina 3,940 unit rumah mampu milik bagi keperluan penduduk di empat bandar di wilayahnya.

“Kita mengambil langkah proaktif ini bagi memastikan masalah perumahan di bandar-bandar Ketengah dapat dikurangkan,” katanya kepada pemberita di majlis Berbuka Puasa Ketengah dan Media di Primula Beach Hotel semalam.

Menurutnya, 44 unit rumah kos sederhana dan kos rendah di empat bandar dalam wilayah Ketengah iaitu Bukit Besi (9 unit), Al Muktafi Billah Shah (AMBS) (19 unit), Ketengah Jaya ( (7 unit) dan Ceneh Baharu (9 unit) yang membabitkan kos RM3.531 juta.

“Kita juga akan membina 79 unit rumah teres mampu milik di AMBS (44 unit) dan Ceneh baharu (35 unit) membabitkan kos RM4.819 juta,” katanya.

Selain itu katanya, pembangunan di sekitar bandar AMBS turut menjadi pemangkin kepada keperluan perumahan termasuk pembinaan Asrama Berkelompok Yayasan terengganu (YT) Kolej Ketengah dan institusi kerajaan seperti Jabatan Pelajaran,Bomba dan Penyelamat, Polis dan Jabatan Pengangkutan jalan (JPJ).

“Bandar Ketengah Jaya pula mempunyai penduduk paling ramai ditambah dengan limpahan industri petroleum dan gas begitu juga di Seri Bandi dan Ceneh Baharu,” katanya.

Sehubungan itu katanya,pembinaan Kompleks Penjara, kampus UiTM serta pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan persimpangan Bukit Besi membawa kesan langsung kepada keperluan perumahan.

“Ketengah akan mempertingkat pembangunan perumahan dari semasa kesemasa bagi memenuhi permintaan penduduk selari dengan usaha pembesaran bandarnya,” katanya.

Katanya, para pelabur, pemaju perumahan dan syarikat termasuk anak syarikat dapat berperanan untuk memajukan bidang perumahan di wilayah Ketengah.