Halaman

11 August 2011

Lebih 25,000 kanak-kanak dijangka khatam al-Quran

Oleh: Suriati Ali

Lebih 25,000 kanak-kanak yang mengikuti pendidikan awal di institusi kelolaan kerajaan negeri dan Pusat di negeri ini dijangka khatam al-Quran pada tahun ini.


Haji Md Kamaru Al-Amin Ismail


Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Md Kamarul Al-Amin Ismail menyasarkan peningkatan lebih 3,000 orang berbanding tahun lalu yang turut dibantu terutamanya dengan perluasan konsep Pintar al-Quran di tabika Kemas.

Beliau berkata, seramai 7,000 yang khatam itu adalah kanak-kanak pra-sekolah YIT, Kemas dan Jabatan Perpaduan, manakala 18,000 lagi murid sekolah rendah.

''Berbanding dengan negeri lain, jumlah yang khatam di negeri ini mungkin yang tertinggi setiap tahun namun, ia cuma sekitar lebih 20 peratus terhadap keseluruhan murid yang mengikuti kelas KAFA.

''Hasrat kerajaan negeri adalah untuk memastikan semua anak negeri yang berumur antara 6 dan 12 tahun dapat menguasai al-Quran serta mengamalkan perkara-perkara asas seorang Islam," ujarnya.