Halaman

09 August 2011

JAMUAN BERBUKA IKUT ADAT TRADISI DI MASJID GEMUROH

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Majlis berbuka puasa di Masjid Gemuroh, Tepoh pada hari ini, 9 Ogos yang akan dihadiri oleh Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said diadakan dengan penuh adat dan cara tradisonal.

Sebanyak 100 hidangan lauk tradisional yang dimasak secara di rumah-rumah orang kampung mengikut selera dan kemampuan masing-masing akan dibawa ke masjid secara beramai-ramai, kira-kira jam 5.45 petang ini.



Pegawai Daerah, Haji Wan Nawawi Ismail yang mencetuskan idea ini berkata, dijangka seramai 2,500 orang akan hadir berbuka bersama Menteri Besar bagi daerah Kuala Terengganu itu.

Katanya, tujuan kaedah itu diadakan adalah bagi menghidupkan semula nostalgia lama dalam budaya dan tradisi masyarakat di kampung kita.

Bagaimanana pun lauk dan hidangan berbuka puasa juga dimasak di masjid berkenaan secara gotong-royong selain masakan cara kampung yang disediakan penduduk sekitar.

Dalam majlis itu, Menteri Besar juga dijangka menyampaikan tauliah pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tepoh.