Halaman

09 August 2011

Terengganu turut umum bonus raya

Oleh FAUZI MOHD



Kerajaan negeri Terengganu hari ini mengumumkan pemberian bonus kepada kira-kira 20,000 kakitangannya sebelum Hari Raya Aidilfitri ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM10 juta.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika mengumumkan berita baik itu berkata, bonus setengah bulan gaji atau minima RM500 diberikan kepada semua kakitangan awam termasuk daripada badan berkanun negeri dan pesara.

Langkah itu katanya, diambil selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. NajibTun Abdul Razak, yang memberikan bonus sama kepada kakitangan kerajaan Persekutuan, semalam.

“Bonus ini akan dibuat menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti,” kata Ahmad ketika ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa peringkat Daerah Kuala Terengganu di Masjid Kampung Gemuruh, Tepoh, sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Tepuh, Ustaz Haji Muhammad Ramli Nuh dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Katanya, bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negeri.

“Pemberian bonus itu juga diharapkan dapat meringankan beban semua kakitangan dalam membuat persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” ujarnya.