Halaman

10 August 2011

Kesuburan wanita Terengganu melebihi paras nasional

Oleh; Esah Abdullah


Kadar kematian ibu bersalin di negeri ini merupakan antara yang terendah di negara ini.- Dato’ Hajah Aminah Abdul Rahman.

Kadar kesuburan wanita di Terengganu jauh lebih tinggi berbanding paras nasional, kata Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dato’ Hajah Aminah Abdul Rahman.

“Kajian menunjukkan 3.3 anak bagi setiap wanita di negeri ini berbanding 2.3 anak untuk Malaysia,” katanya kepada pemberita sebaik selesai memberi taklimat mengenai Dasar Keluarga Negara (DKN) kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said serta Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman hari ini.

Katanya, kadar ini merujuk kepada purata bilangan anak yang dilahirkan seorang wanita semasa subur dari umur 15 hingga 49 tahun.

“Senario ini berlaku disebabkan keinginan mendapatkan anak yang lebih ramai di kalangan penduduk Terengganu di mana hanya 32.4 peratus sahaja wanita yang berkahwin menggunakan kaedah moden untuk menjarakkan kehamilan,” katanya.


Dato' Hajah Aminah Abdul Rahman


Menurut Dato’ Hajah Aminah, kadar kematian ibu bersalin di negeri ini merupakan antara yang terendah di negara ini manakala kadar kematian bayi bawah usia setahun menunjukkan 9.2 setiap seribu kadar kelahiran hidup berbanding paras nasional 6.3 sahaja.

Katanya, melalui DKN dapat membantu kerajaan untu mengambilkira perspektif keluarga dalam pelan Strategik agenda Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.

“LPPKN akan mengkaji semula dasar-dasar dan peraturan yang tidak mesra keluarga di tempat kerja di samping memberi khidmat sokongan keluarga yang lebih komprehensif terutama dari segi kesihatan wanita dan anak-anak,” katanya.

Katanya, Terengganu merupakan negeri ke-13 yang dikunjungi dalam siri taklimat kepada semua kerajaan negeri mengenai DKN yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 17 Disember tahun lalu.


Puan Nurfarhana Lee Mohd Zukiflee Lee

Hadir sama, Pengarah LPPKN negeri, Puan Nurfarhana Lee Mohd Zukiflee Lee.