Halaman

10 August 2011

Ladang Rakyat bayar zakat berjumlah RM521,709.80

Oleh: Suriati Ali


Majlis penyerahan zakat perniagaan oleh Ladang Rakyat disaksikan Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said.

Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (Ladang Rakyat) mengeluarkan zakat perniagaan bagi 2010 berjumlah RM521,709.80 iaitu meningkat sebanyak RM362,175.5 daripada zakat yang dikeluarkan 2009.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata bayaran zakat itu dibayar berdasarkan keuntungan bersih yang diperoleh sebelum cukai berjumlah RM33.59 juta.

Katanya, keuntungan bersih ini adalah yang tertinggi pernah dicatatkan syarikat itu sejak penubuhannya pada 2 Ogos 1977.

“Aktiviti utama syarikat adalah perladangan dan pemprosesan kilang sawit membabitkan tiga kawasan iaitu Cheneh Kemaman; Lembah Bidong, Setiu dan Marang atau kawasan seluas 8,000 hektar.

“Melalui aktiviti itu, Ladang Rakyat mampu menyediakan 1,200 peluang pekerjaan di pelbagai sektor,” katanya kepada pemberita selepas mempergerusikan Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Pengerusi Ladang Rakyat Encik Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, pihaknya akan terus mencari ruang dan peluang untuk mengembangkan lagi perniagaan untuk terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

“Sebanyak RM50 juta keuntungan bersih dijangka diperoleh sekiranya harga pasaran kelapa sawit berada dalam keadaan stabil dan memberangsangkan,” katanya.

Encik Wan Ahmad Nizam kemudiannya menyerahkan bayaran zakat perniagaan berjumlah RM521,709.80 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman sambil diperhatikan Dato’ Seri Haji Ahmad Said.