Halaman

10 August 2011

MASJID KAYU SEBERANG JERTIH MERCU TANDA BARU DAERAH BESUT

0leh: Mohammad Ishak


UNIK..Masjid Kayu Seberang Jertih mercu tanda baru syiar Islam di Besut

PEMBINAAN masjid baru Seberang Jertih mencetuskan idea kreatif kini menarik perhatian bukan sahaja di kalangan penduduk setempat malah pelancong asing yang berkunjung ke daerah Besut.

Masjid yang dikenai “Masjid Kayu Seberang Jertih” dibina pada awal 2010 membabitkan kos RM8 juta menjadi mercu tanda baru kepada masyarakat Islam daerah itu kerana seni bina berkonsepkan ciri-ciri Melayu silam.

Pengerusinya, Ayub Jusoh, berkata masjid itu dibina bagi menggantikan masjid lama yang uzur mula digunakan awal bulan ini walaupun kerja-kerja pembinaan belum siap sepenuhnya.

Katanya, umat islam kawasan berkenaan mula memanfaatkan masjid itu sempena mengambil berkat bulan Ramadan.

Menurutnya, masjid itu dianggap unik kerana kerangka bangunan menggunakan 90 peratus kayu cengal dan disesuaikan dengan reka bentuk tradisional Melayu.

Terletak di tepi jalan utama antara Bandar Jertih-Kota Bharu dan Kuala Terengganu, masjid berkenaan sebuah bangunan berbentuk kelasik tetapi kelihatan moden.

Ayub berkata, masjid itu mampu memuatkan kira-kira 800 jemaah dalam sesuatu mangsa lengkap dengan pelbagai kemudahan asas termasuk ruang solat, dewan kuliah,setor dan sebuah kolah besar untuk menyimpan air di hadapan bangunan berkenaan.

“Sesuai dengan kedudukkannya di kawasan strategik pihaknya juga menyediakan landskap bagi menghidupkan suasana hijau di kawasan masjid,” katanya.