Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menjalankan operasi sepanjang minggu bertujuan memudahkan umat Islam membuat pembayarakan zakat sepanjang Ramadan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman, berkata pihaknya membuka kaunter di pejabat mereka di seluruh negeri sepanjang Ramadan bagi memudahkan orang ramai membayar zakat.
Menurutnya, orang ramai boleh membuat bayaran di ibu pejabat Maidam di Jalan Sultan Muhammad, Kuala Terengganu dan pejabat Maidam di Marang, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Besut serta Kemaman.
“Bagi pungutan zakat di kawasan umum, Maidam menyerahkan kepada amil yang dilantik dan Maidam hanya membuka kaunter di pejabatnya,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan membuat pembayaran zakat ditempat yang disahkan Maidam dan sekiranya wujud situasi mencurigakan membabitkan pemungut zakat, pihak berkenaan diminta tampil membuat aduan untuk membolehkan tindakan segera diambil.
“Bagi mengelak kesesakan seperti yang pernah berlaku di kaunter pembayaran zakat di Masjid Abidin pada tahun lali sehingga jam 3 pagi, orang ramai dinasihatkan membuat pembayaran lebih awal,” katanya.