Halaman

13 August 2011

Terengganu terima pelaburan industri bioteknologi RM2 bilion.

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELLA SABERI



Kerajaan negeri yakin pelaburan industri berasaskan bioteknologi bernilai RM2 bilion di Zon Ekonomi Khas (SEZ), Taman Polimer Kertih, Kemaman, akan memainkan peranan penting bagi memperbaiki sosio ekonomi rakyat dan pembangunan keseluruhan negeri Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, pengumuman CJ Cheiljedang Corporation dari Korea Selatan dan Arkema SA dari Perancis untuk menubuhkan satu logi biometionina yang pertama di dunia itu bakal menggalakkan aktiviti ekonomi baru.

Menurutnya, program yang dimajukan dalam kawasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu turut melibatkan pembinaan platform tiokimia yang pertama di Asia yang dijangka menjana kira-kira RM20 bilion dari segi jualan kumulatif menjelang tahun 2020.

“Loji pengeluaran 80,000 tan metrik biometionina dan platform tiokimia itu akan dibina di atas tapak seluas 70 hektar bermula tahun depan dan dijangka beroperasi pada 2013.

“Di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada hamper 500 pekerja mahir dan separa mahir, projek itu akan menjadi rangsangan yang signifikan kepada ECER khususnya ekonomi Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pembahagian zakat kepada 131 peneroka di Ladang Ketengah Jaya, Seri Bandi, Kemaman.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Dato’ Hamzah Ngah.

Dalam majlis itu, Dato’ Seri Ahmad Said turut menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 430 peneroka dan pekerja Ladang Ketengah Jaya.

Tambah Menteri Besar, CJ Cheiljedang adalah peneraju pengeluar produk berasaskan penapaian seperti asid amina makanan, monosodium glutamat dan nukleotida dengan mempunyai operasi pengeluaran dan perniagaan global di enam benua.

Manakala Arkema katanya, adalah syarikat kimia global dan peneraju pengeluar kimia dari negara Perancis.

“Pelaburan terbaru itu sudah pasti bakal memberi impak positif kepada perkembangan ekonomi hiliran di sekitar kawasan berhampiran seperti Kemaman dan Dungun.

“Bagi pihak rakyat dan kerajaan negeri, saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat dan Perdana Menteri kerana bersetuju melaksanakan projek kerjasama penting ini yang akan meningkatkan lagi pembangunan ekonomi Terengganu dan ECER secara keseluruhannya,” ujarnya.