Halaman

24 August 2011

Orang muda jangan tunjuk hebat di jalan raya

Oleh; Esah Abdullah

Penunggang motosikal diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya serta memandu secara berhemah ketika pulang berhari raya ke kampung masing-masing yang akan bermula minggu depan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Perhubungan Terengganu, Encik Saiful Bahari Dato’ Baharuddin berkata, setiap tahun penunggang motosikal menjadi penyumbang terbesar terhadap kemalangan yang berlaku.

“Bila sebut penunggang motosikal, ia akan dikaitkan dengan orang muda yang lebih selesa menggunakan kenderaan berkenaan untuk pulang ke kampung halaman setiap tibamusim perayaan atau cuti umum,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, kemalangan boleh dikurangkan jika setiap individu itu sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak terburu-buru untuk cepat sampai ke detinasi.

Beliau kemudiannya melahirkan rasa kesal kerana masih ramai yang tidak mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku di mana ramai yang jadi korban di jalan raya.

“Saya menyeru orang muda agar berhati-hati ketika memandu serta tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk mempamirkan kehebatan dan ingatlah orang tersayang yang sentiasa mengharapkan kepulangan kita dalam keadaan selamat,” katanya.




77 pegawai KPDNKK Terengganu pantau harga barang

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 77 orang Pegawai Pemantau Harga digerakkan di seluruh negeri bagi membuat pemantauan harga barangan keperluan menjelang hari raya nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr.A. Rahman Mokhtar berkata, seramai tujuh hingga sepuluh orang pegawai berkenaan akan ditempatkan di setiap daerah.

"Kami melantik pegawai-pegawai berkenaan bagi memastikan para peniaga dipantau agar tidak menaikkan harga barangan keperluan raya dengan mudah sehingga membebankan pengguna.

"Terdapat 19 jenis barangan keperluan yang harganya dikawal dan kami berharap bekalan yang disediakan akan mencukupi sehingga raya nanti," jelasnya ketika ditemui sempena Lawatan dan Pemeriksaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP), di Pasaraya Giant Kuala Terengganu, semalam.

Pemeriksaan Skim Kawalam Harga Musim Perayaan yang dijalankan adalah untuk menetapkan harga syiling keperluan harian itu akan berterusan selama dua minggu bermula pada 23 Ogos hingga 16 September ini.

Menurut A. Rahman lagi, pemantauan harga barangan tidak hanya dijalankan ketika musim perayaan sahaja, namun ia berterusan sepanjang tahun bagi memastikan tidak ada peniaga yang menaikkan harga barang dengan sewenang-wenangnya.

"Peniaga yang didapati bersalah melanggar arahan yang telah ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan dikenakan tindakan tegas.

"Mereka yang melanggar peraturan ini akan didenda dibawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," jelasnya lagi.

A. Rahman berharap para peniaga akan terus mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan dan tidak mengambil sebarang kesempatan keatas pengguna.

“Bekalan makanan sepanjang bulan perayaan nanti cukup untuk menampung keperluan pengguna dan jika terdapat sebarang masalah pihak jabatan akan terus berhubung dengan pembekal bagi memastikan hal itu dapat ditanggani,” ujarnya.

Pemuda dan Puteri UMNO Kuala Nerus anjur dua program amal

Oleh: Suriati Ali

Pemuda dan Puteri UMNO bahagian Kuala Nerus akan menganjurkan program Cakna Aidilfitri Bersama Anak Yatim Kuala Nerus dan Kayuhan Sahur Ambang Merdeka di dua lokasi berasingan pada 25 Ogos (esok).

Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Nerus, Encik Apli Yusof, berkata pihaknya prihatin menganjur kedua-dua program amal itu kerana menyedari golongan yang bakal terlibat dengan program terutama anak yatim memerlukan perhatian dan bantuan daripada pelbagai pihak untuk menyambut Hari Raya.

Katanya, seramai 120 anak yatim dan kanak-kanak daripada keluarga miskin di kawasan Kuala Nerus dipilih untuk menyertai program cakna Aidilfitri yang akan diadakan di Pasar Raya Giant, Kuala Terengganu bermula jam 4 petang esok.

“Apa yang istimewanya, kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah itu boleh memilih sendiri kelengkapan raya seperti baju Melayu, baju Kurung, kasut dan tudung sambil dibantu penganjur program.

“Apabila siap membeli kelengkapan yang diiginkan, mereka dijemput untuk berbuka puasa di Restoran T’Cafe D’Muara di Kampung Losong,” katanya.

Manakala program Kayuhan Sahur Ambang Merdeka pula akan bermula di Pulau Duyung, Kuala Terengganu pada jam 11 malam pada hari yang sama.

“Seramai 120 penduduk termasuk semua wakil rakyat di Parlimen Kuala Nerus dan Pemuda Umno Bahagian Kuala Nerus dijangka menyertai program yang julung kali diadakan ini.

“Sebanyak 15 kawasan, termasuk Balai Polis (BP) Tepoh; BP Gong Badak; Polis Gerakan Am, Kubang Badak; Kilang Utusan, Gong Badak dan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Seberang Takir bakal menjadi lokasi singahan peserta program,” katanya.


Hotel tiga bintang di Tasik Kenyir

Oleh FAUZI MOHD

Pembinaan hotel 200 bilik bertaraf tiga bintang di Pulau Bayas, Tasik Kenyir yang bermula bulan depan bakal memberi impak besar kepada industri pelancongan di tasik itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, usaha yang dirintis telah mula menyakinkan sektor swasta untuk bersama-sama membangunkan dengan kos pelaburan keseluruhan dijangka mampu mencecah RM1 billion.

Katanya, Kerajaan Negeri dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) selaku agensi peneraju pembangunan tasik itu telah menggerakkan usaha awal bagi memastikan ia dapat disiapkan menjelang Ogos 2012 sebagai zon bebas cukai.

“Kerajaan Negeri , Ketengah serta agensi-agensi lain optimis bagi memastikan Tasik Kenyir menjadi destinasi pelancongan unggul," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama kepimpinan UMNO negeri di Primula Beach Hotel, petang semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan kepimpinan UMNO negeri.

Pada majlis itu, Dato’ Seri Ahmad turut menyampaikan duit raya kepada 60 orang anak-anak yatim termasuk 40 pelajar dari Asrama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya), Marang.

Tambah Menteri Besar, kawasan bebas cukai di Pulau Bayas sedang dibangunkan dengan peruntukan awal RM100 juta bagi penyediaan prasarana termasuk pembinaan jeti, kompleks persinggahan dan premis perniagaan.

Katanya, Pulau Bayas merupakan pulau terbesar di antara 340 pulau di dalam tasik yang berkeluasan kira-kira 700 hektar dan daripada keluasan itu, sebanyak 400 hektar akan dimajukan pada peringkat awal projek.

9,000 bubur lambuk diagih secara percuma

Oleh: Suriati Ali

Keenakan bubur lambuk Hotel YT Midtown (YT Midtown), Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu pasti dinanti pengguna jalan raya dan pengemar makanan itu setiap kali menjelang Ramadan.

Kebanyakan mereka tidak akan melepaskan peluang mengambil bubur lambuk yang diagih secara percuma di perkarangan hotel itu bermula jam 4.00 petang.

Penolong Pengurus YT Midtown, Puan Nik Roselin Nik Mohd Wawi, berkata sebanyak 9,000 bungkus bubur lambuk akan diagihkan sehingga akhir Ramadan di mana 300 bungkus disediakan untuk orang ramai pada setiap hari.

“Agihan yang dilakukan tiga hingga lima kakitangan itu mendapat sambutan sangat menggalakkan iaitu hanya mengambil masa kira-kira 30 minit.

“Pihak kami tidak ketinggalan melakukan kebajikan sepanjang 13 tahun penubuhan YT Midtown sehingga rata-rata mereka terutama penduduk setempat sudah mengetahui aktiviti ini yang dilaksanakan pada setiap Ramadan,” katanya.

Pengguna jalan raya, Ramdan Ismail, 36, berkata dia tidak akan melepaskan peluang mendapatkan bubur lambur percuma yang diberikan YT Midtown setiap kali menjelang Ramadan.

Katanya, keenakan dan kepekatan bubur lambuk hotel itu sememangnya tersohor sejak dulu lagi. Bagi mereka yang pernah mencuba pasti ingin mencuba buat kali seterusnya.

“Saya mengharapkan pihak YT Midtown meneruskan tradisi murni ini yang nyata dapat menaikkan imej hotel dan dapat membantu golongan berpendapatan rendah merasai bubur lambuk.


Isi borang sebelum pulang bercuti - Polis

Oleh FAUZI MOHD

Orang ramai dinasihatkan supaya mengisi borang balik kampung bagi memastikan keselamatan rumah mereka sewaktu pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Ketua Polis Terengganu, Dato’ Jamshah Mustapa berkata, ia adalah antara usaha berkesan pihaknya untuk membanteras kegiatan jenayah yang sering berlaku apabila musim perayaan.

"Langkah turun padang untuk bertemu sendiri dengan masyarakat merupakan langkah terbaik kerana kita dapat maklum balas daripada orang ramai.

"Ia juga sebagai satu peringatan tentang betapa pentingnya kerjasama masyarakat dalam menutup ruang dan peluang penjenayah," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, semalam.

Tambah Dato' Jamshah, pihaknya akan membuat rondaan dan pemantauan secara lebih kerap sepanjang ketiadaan mereka.

"Apa yang diharapkan daripada kempen Rumah Selamat yang diadakan setiap kali menjelang musim perayaan, dapat mengekalkan rekod cemerlang seperti kempen-kempen terdahulu.

"Program ini ternyata memudahkan perancangan dan penugasan polis dalam membanteras jenayah sekiranya kerjasama erat masyarakat dan polis kekal terjalin," katanya lagi.

Menurutnya, selain mengisi borang, orang ramai juga boleh memaklumkan ketiadaan mereka di rumah dengan menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berdekatan.

"Borang tersebut juga boleh dimuat turun di laman laman sesawang www.sjalert.com.my dan hantar ke balai berhampiran,” jelasnya.

Sebelum meninggalkan rumah masing-masing katanya, tinggalkan nombor telefon kepada pihak yang dirasakan perlu seperti Rukun Tetangga atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar sebarang kejadian dapat dihubungi dengan segera.

"Saya berharap masyarakat turut menjadi tulang belakang kepada polis dalam usaha membanteras kegiatan jenayah daripada berlaku terutamanya ketika musim perayaan," katanya.

23 August 2011

Semarak Merdeka Daerah Besut dijangka menarik perhatian penduduk

Oleh: Mohammad Ishak


Penduduk daerah Besut membina pintu gerbang sebagai tanda sokongan pogram Semarak Merdeka.

Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke 54 peringkat daerah Besut diangka meriah dan mampu menarik lebih 10,000 penduduk daerah Besut yang akan terbabit sama dalam program berpristej itu.

Program bertambah meriah dan menarik dengan kehadiran empat ekor gajah yang akan berarak mengelilingi sekitar Bandar Jertih

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh berkata, program yang ditetapkan pada 24 September depan membabitkan penyertaan pelbagai pihak termasuk jabatan dan agensi keraaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), komuniti setempat dan penduduk daerah itu.

Katanya, program anjuran bersama dengan Umno Bahagian Besut itu juga membabitkan seratus kenderaan pacuan empat roda dari Kelab Gedut Besut.

Menurutnya, konvoi bermula dari Hulu Besut, Kuala Besut,Kota Putera dan Pekan Jabi akan berakhir di Dataran Jertih Souq.

Sebaik tiba di Bandar Jertih semua peserta akan berkumpul di Kanopi Besar Taman Selera dan akan mendengar ucapan khas dari Yang Berhormat Ketua Umno Bahagian, Datuk Seri Idris Jusoh diikuti semua pemimpin Umno lain.

A Rahim berkata, orang ramai yang hadir juga berpeluang membawa pulang pelbagai jenis barangan berharga secara percuma termasuk motosikal, basikal dan barangan elektrik jika mereka memenangi hadiah menerusi cabutan bertuah.

Beliau berharap penduduk Besut memberi sokongn kepada program itu sebagai membuktikan kesetiaan kepada negara selain menanam semangat patriotik.

Pengguna LPT Dilindungi Insurans

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang mula dibuka sejak semalam tidak perlu bimbang ketika melalui lebuh raya tersebut walaupun ia belum siap sepenuhnya kerana kenderaan mereka dilindungi insurans jika berlaku kemalangan di kawasan tersebut.

Sebahagian daripada LPT2 tersebut mula dibuka kepada orang ramai bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas sempena sambutan Aidilfitri minggu depan.

Perkara ini disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, YB Datuk Haji Za’abar Mohd Adib, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang bersidang hari ini.

Beliau memberitahu sidang dewan bahawa sebahagian daripada LPT2 mula dibuka sejak semalam bagi mengelakkan kesesakan jalan biasa dari Bukit Besi ke Kuala Terengganu, sempena musim perayaan Aidilfitri.

Katanya, jalan yang dibuka itu ialah Persimpangan Bukit Besi – Ajil sejauh 42.4 kilometer, Telemong –Bukit Payong (10.6 kilometer) dan Bukit Payong – Gemuroh (16.3 kilometer).

Terdahulu beliau memberitahu sidang dewan, enam daripada 16 pakej LPT2 ditender semula di mana empat daripada pakej tersebut dimulakan pembinaannya sejak April lalu, satu pakej mula bulan Mei dan satu pakej Julai.

Beliau berkata, apabila siap sepenuhnya lebuh raya tersebut akan mengadakan 10 tol di 10 persimpangan bertingkat.

Pertandingan Pelita Raya 2011

Oleh FAUZI MOHD



Lebih 10,000 biji pelita akan dinyalakan sempena Pertandingan Pelita Raya 2011 yang bakal berlangsung dari 24 hingga 26 Ogos ini di beberapa kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Tepuh.

Penyelaras Pertandingan, Mohd. Saberi Muda berkata, antara yang bertanding ialah Kampung Raja Tepoh, Kampung Baru Tepoh, Kampung Padang Hangus, Kampung Padang Ubi dan Kampung Tokeng, melibatkan 200 peserta.

"Pertandingan ini menawarkan hadiah sebanyak RM1,000 untuk johan, naib johan sebanyak RM750 dan RM500 untuk tempat ketiga, manakala tujuh hadiah saguhati bernilai RM250 disediakan untuk setiap kampung yang bertanding," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pertandingan anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu dengan kerjasama kerajaan negeri dan Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia itu akan berlangsung selama tiga malam.

“ Kemuncaknya pada malam tujuh likur yang bakal menggamitkan nostalgia masyarakat tentang budaya setempat.

“Berdasarkan penganjuran tahun lalu, kemeriahan pertandingan ini turut dikongsi oleh sebilangan besar pengunjung dari dalam dan luar negara dan saya berharap program ini bakal menjadi salah satu produk pelancongan negeri yang bakal diperkenalkan pada masa akan datang," katanya.

Bangunan Asrama Darul Akhyar ditambah tahun depan

Oleh; Esah Abdullah


Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu merancang untuk membesarkan bangunan Asrama Darul Akhyar di bawah kelolaannya yang terletak di Kampung Tanjung Kapal, Batu Rakit, Kuala Terengganu tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, asrama yang menempatkan anak yatim fakir miskin dari seluruh negeri ini mula beroperasi Jun lalu mempunyai dua blok asrama lelaki dan perempuan, kantin, surau dan rumah warden.

“Maidam merancang untuk menambah bangunan blok untuk menempatkan lebih ramai pelajar anak yatim di negeri ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui bersama anak yatim memilih pakaian raya di Pasar Raya Kamdar petang semalam.

Katanya, Maidam membelanjakan RM4.3 juta di bawah Asnaf Fisabilillah bagi menyiapkan bangunan asrama di kawasan seluas dua hektar yang diwakafkan oleh seorang hamba Allah.

Menurutnya, semua kos operasi termasuk elaun 15 kakitangan asrama, perbelanjaan harian pelajar, yuran sekolah, bas, duit saku ditanggung sepenuhnya oleh pihak Maidam.

“Maidam telah membelanjakan RM30,000 sebulan untuk pelbagai keperluan harian pelajar di asrama berkenaan,” katanya.

Katanya, Maidam akan berusaha menambahbaik prasarana termasuk menyediakan perpustakaan, gelanggang sukan serta kawasan riadah bagi menjadikan asrama ini sebuah pusat pengajian dan kebajikan anak yatim yang terbaik.

“Kita juga mengalu-alukan sekiranya terdapat pihak lain seperti badan korporat dan individu untuk menghulur sumbangan bagi membantu mereka mendapatkan pendidikan yang terbaik,” katanya.