Halaman

26 September 2011

Terengganu bina kompleks RM9 juta untuk persatuan pesara guru

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri akan membina sebuah kompleks bernilai RM9 juta di Kampung Telemong, Hulu Terengganu untuk kegiatan Persatuan Guru-Guru Bersara Negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, projek yang dinamakan Kompleks Desa Taqwa itu ialah untuk menyediakan tempat bagi pesara guru menjalankan aktiviti terutama dalam bidang keagamaan.

"Apabila siap kelak ia akan dijadikan pusat pembelajaran dalam bidang keagamaan yang berkonsepkan sekolah pondok," katanya ketika berucap pada majlis Jasamu Dikenang untuk meraikan 272 pesara guru di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Guru-Guru Bersara negeri Terengganu, Datuk Abdul Rashid Ngah.

Tambah Ahmad Razif, kompleks yang dijangka siap pada akhir tahun depan itu boleh dijadikan sebagai tempat menimba ilmu dan pengalaman di kalangan guru-guru bersara kelak.

Majlis Perasmian Hari Potensi Kanak-Kanak KEMAS



KLIK FOTO UNTUK LIHAT VIDEO

TDM sumbang RM87,000 wujud kelas maya

Oleh FAUZI MOHD

Dalam usaha membantu mempertingkatkan kualiti dan keberkesanan sistem pelajaran yang lebih bersepadu di sekolah, TDM Plantation Sdn. Bhd. baru-baru ini menyumbang RM87,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kubu di Kemaman untuk mewujudkan tiga kelas maya di sekolah tersebut.

Ia merupakan sumbangan yang keempat oleh syarikat terbabit yang merupakan anak syarikat milik TDM Berhad, kepada sekolah-sekolah rendah di Terengganu menerusi usaha tanggungjawab sosial korporatnya.

Awal tahun lalu, SK Paya Bunga, SK Telok Kalong dan SK Kompleks Seberang Takir telah pun menerima sumbangan bagi tujuan yang sama.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab. Halim Yusof, dengan membantu sekolah menubuhkan kelas maya, ia akan meningkatkan lagi minat belajar di kalangan murid dan mendidik mereka mengenai pentingnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pembelajaran.

"Penubuhan kelas maya sebegini di sekolah-sekolah dapat mempertingkatkan kualiti dan keberkesanan pelajaran di mana komputer akan digunakan sebagai sokongan kepada proses pembelajaran yang lebih bersepadu antara guru dan pelajar sekolah," kata beliau.

Inisiatif seperti ini juga dapat meningkatkan mutu pelajaran di kalangan anak-anak pekerja TDM Plantation.

"Seterusnya, ia mampu mewujudkan satu persekitaran yang kompetitif kepda kanak-kanak estet supaya turut cemerlang dalam proses pembelajaran mereka," katanya.

Ab. Halim menjelaskan bahawa adalah menjadi sebahagian dari tanggungjawab korporat TDM agar sentiasa membantu masyarakat sekeliling di mana mereka beroperasi.

Katanya,dengan menghulurkan sokongan dalam pelbagai cara terutama dalam menangani isu-isu pelajaran dan pembasmian kemiskinan.

Kelas maya adalah integrasi ICT melalui perisian, perkakasan dan prasarana dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah.

Ia melibatkan penggunaan jaringan Wi-fi , 'Interactive Smart Board' dan e-book dalam bilik darjah, melibatkan guru dan murid berinteraksi antara satu sama lain.

"Kami akan terus membantu sekolah-sekolah lain untuk menubuhkan kelas-kelas maya di masa hadapan," ujarnya.

108 anak yatim di Asrama Perkya Besut diraikan Pejabat Pengguna

Oleh: Mohammad Ishak

YB Ramlan (dua dari kiri) menyampaikan duit raya kepada anak yatim di di Asrama Perkaya Besut

Penghuni anak yatim yang tinggal di Asrama Perkaya Besut, Kampung Kerandang dekat Jertih, diraikan dalam satu majlis sempena sambutan Aidilfitri yang diadakan di asrama berkenaan malam tadi.

Program Familliarisasi Kepenggunaan Bersama Anak Yatim itu dianjurkan oleh Pejabat Pengguna Dalam Negeri Cawangan Besut sebahagian tanggungjawab sosial jabatan berkenaan bersama komuniti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi Ramlan Ali, merasmikan program berkenaan serta menyampaikan sumbangan duit raya kepada 108 anak yatim yang tinggal di asrama berkenaan.

Hadir sama ADUN Permaisuri, Abd Halim Yusof, Pengarah jabatan itu, Ghazali @ Suhaimi Muhammad dan pegawai-pegawai kanan negeri dan daerah jabatan terbabit.

Ghazali berkata, pihaknya amat prihatin dengan nasib yang menimpa anak-anak yantim berkenaan dan sebagai tanda penghargaan jabatan memilih asrama itu untuk program yang diadakan setiap tahun secara bergilir mengikut daerah.

“Menerusi program ini juga ia diharap dapat mengeratkan hubungan antara kakitangan jabatan itu dengan komuniti setempat,” katanya.

Sementara itu, Ramlan berkata, pengurusan Asrama Perkaya masih memerlukan bantuan dan sumbangan daripada orang ramai bagi membiayai aktiviti dan perancangan pembangunannya.

Beliau berharap, individu, ahli koporat dan jabatan kerajaan tanpil memberi sokongan dan bantuan kepada pertubuhan itu supaya anak yatim terbabit dapat turut serta menikmati kehidupan yang sempurna sama seperti masyarakat lain yang berupaya.



25 September 2011

Hospital Universiti akan dibina di UNiSZA.

Oleh; Esah Abdullah

Sebuah Hospital Universiti (HU) akan dibina di kampus Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA) Gong Badak Kuala Terengganu dan kerja-kerja merata tapak dijangka bermula pada Februari atau Mac tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, hospital berkenaan akan dibangunkan dalam kawasan kampus berkenaan di tapak seluas 40 hektar.

“Perdana Menteri sudah meluluskan 400 buah katil bagi peringkat permulaan daripada 800 buah yang diperlukan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Pengagihan e-Book kepada pelajar Tahun Empat Peringkat Negeri di Stadium Tertutp Gong Badak hari ini.

Katanya, kewujudan HU akan menjadi hospital pendidikan serta sumber rujukan pesakit di negeri ini seperti fungsi Hospital Universiti di Kubang Kerian, Kelantan dan UKM di Bangi, Selangor.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri melaksanakan pendekatan mendidik dengan menubuhkan kelab remaja bermotosikal bagi menarik golongan belia menyertai aktiviti berfaedah.

“Kita akan susun aktiviti untuk golongan ini dengan mengadakan konvoi ke daerah-daerah dan setiap perhentian akan diisi dengan pelbagai aktiviti riadah dan ceramah motivasi,” katanya.

Katanya, kerajaan juga akan menambah lebih banyak pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan pelumba haram di sekitar bandar ini.

“Perkara ini bertujuan merakam setiap aktiviti remaja rempit dan akan memanggil ibu bapa supaya menonton gelagat anak-anak mereka, kerana sebelum ini ada yang tidak boleh terima anak mereka terlibat,” katanya.




Pelajar Tahun Empat mula terima e-Book

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 1038 orang murid Tahun Empat daripada 12 buah sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh menerima pengagihan pertama e-Book daripada Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dalam majlis yang diadakan di Stadium Negeri Gong Badak. hari ini.



Dijangkakan lebih 23,000 murid Tahun Empat seluruh negeri akan menerima e-Book sehingga akhir tahun ini sebagai persiapan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun depan.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri akan terus meletakkan sasaran e-Book sebagai pelengkap bagi pendidikan pelajar-pelajar di sekolah rendah di negeri ini.

“Biarpun pelbagai cerita dan spekulasi negatif timbul mengenai e-Book, segala kebaikan teserlah juga akhirnya”, katanya di majlis Pelancaran Penyerahan e-Book Pelajar Tahun Empat Peringkat Negeri dan DUN Tepoh 2011.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Noh dan Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin.

Katanya, jelas sekali pemberian ini, prestasi pembelajaran murid tahun lima dan enam terus meningkat di mana Terengganu berjaya mengekalkan juara dalam keputusan peperiksaan awam (UPSR dan PMR).

“Cakap-cakap dan spekulasi yang timbul hanya daripada orang-orang yang tidak boleh menerima kebaikan yang telah kerajaan buat untuk meningkat taraf pendidikan pelajar di negerini,” katanya.

Dato’ Sri Haji Ahmad berkata, hanya dengan pendidikan mampu merubah landskap negeri dan negara dan apa yang kerajaan buat semata-mata untuk melihat anak-anak negeri ini setanding dengan negeri lain.

“Kerajaan membelanjakan lebih RM100 juta untuk e-book dan sehingga ini lebih 72,000 pelajar telah menerimanya dan menjelang akhir tahun akan meningkat kepada lebih 95,000 pelajar,” katanya.

Katanya, kerajaan juga akan menambah Kelas Maya kepada 32 kelas di 32 buah sekolah seluruh negeri menjelang akhir tahun ini.

“Kita harap semua pelajar di negeri ini mampu menguasai IT apabila memasuki tingkatan satu serta cemerlang dalam pendidikan masing-masing,” katanya.




Aduan pengguna air Terengganu selesai satu hari

Rencana oleh: Kamarudin Mat Akib



Berita baik untuk pengguna air di Terengganu – kira-kira 95 peratus daripada pelbagai aduan berhubung bekalan air di seluruh negeri ini dapat diselesai selewat-lewatnya dalam tempoh tiga hari sahaja.

Malah, sesetengah daripada masalah tersebut ditangani segera dalam tempoh satu hari selepas aduan dibuat melalui Talian Aduan SATU yang diperkenalkan sejak 29 November 2010.

Mengikut perangkaan SATU, sejak talian itu dimulakan bagi tempoh percubaan bermula 29 November tahun lalu hingga bulan Ogos tahun ini, sebanyak 22,157 aduan mengenai bekalan air dikemukakan kepada pihak Syarikat Air Terengganu (SATU).

Daripada jumlah itu, 62 peratus aduan berkaitan paip bocor, gangguan bekalan air (10.3 peratus) dan akaun bil air (9.55 peratus).

Selepas aduan dikemukakan pengguna, pihak SATU berjaya menyelesaikan kira-kira 95 peratus daripada aduan tersebut dalam tempoh tiga hari saja.

Tempoh penyelesaian masalah pengguna air di Terengganu dalam masa yang singkat itu dapat dilakukan melalui pusat khidmat komunikasi pelanggan yang sistematik dan tersusun, yang diperkenalkan oleh SATU dengan kerjasama Syarikat VADS Berhad.

VADS Berhad adalah anak syarikat milik penuh Telekom Malaysia yang mempunyai kepakaran, khususnya dalam memberikan perkhidmatan “Business Process Outsourcing - Contact Center” ataupun Pusat Khidmat Komunikasi Pelanggan.

Secara umumnya, perkhidmatan yang ditawarkan pihak VADS Berhad ini diguna pakai oleh kementerian dan agensi kerajaan, organisasi dan juga syarikat syarikat swasta yang mahu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan mereka.

Majlis menandatangani perjanjian bagi perkhidmatan Talian Aduan SATU antara SATU dan Syarikat VADS Bhd disempurnakan dalam satu majlis di Riyaz Heritage, Khamis lalu.

SATU diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Husain Embong manakala Syarikat VADS Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Ghazali Omar.

Majlis pelancaran perkhidmatan tersebut dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang juga menjadi saksi kepada majlis menandatangani perjanjian antara kedua-dua pihak berkenaan.

Dalam ucapannya, Menteri Besar turut mengingatkan pihak pengurusan Syarikat VADS Bhd tidak memikirkan soal keuntungan semata-mata, tetapi juga menunaikan tanggungjawab sosial mereka terhadap masyarakat negeri ini.

Beliau berkata, pihak kerajaan negeri melalui SATU mengeluarkan perbelanjaan yang agak besar bagi membayar perkhidmatan Syarikat VADS Bhd, bagi memastikan pengguna tidak menghadapi banyak masalah berkaitan penggunaan air.

MAJLIS MERAIKAN BAKAL-BAKAL HAJI DUN KUALA BERANG

Oleh: Mastura Jamal Din

Seramai 45 bakal haji dan hajjah telah diraikan oleh ADUN Kuala Berang YB Haji Mohd Zawawi bin Ismail baru-baru ini dengan kerjasama pejabat Ahli Parlimen Hulu Terengganu.

YB Hj Mohd Zawawi berkata dalam ucapan beliau bahawa program ini merupakan acara tahunan yang menjadi program wajib Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kuala Berang.

Sekaligus program ini akan merapatkan hubungan dan kecaknaan wakil rakyat kepada masyarakat sekeliling.

Bakal-bakal haji diraikan dengan pemberian berbentuk kewangan dan barangan daripada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kuala Berang dan Pejabat Ahli Parlimen.

Turut hadir sama ialah ialah Puan Hajah Noor binti Abu Kassim, isteri kepada YB Haji Mohd Nor bin Othman, Ahli Parlimen Hulu Terengganu.

32 graduan sulung ijazah sarjana muda TATiUC

Oleh FAUZI MOHD

Selepas penubuhannya selama 17 tahun, Kolej Universiti Tati (TATiUC) melakar sejarahnya yang tersendiri apabila berjaya melahirkan 32 graduan sulung peringkat ijazah sarjana muda, semalam.



Rektornya, Dr. Mohd. Rozailan Mamat berkata, kejayaan TATiUC itu cukup membanggakan warga kampus berkenaan yang kini sedang mengorak langkah menjadi universiti penuh tahun 2015 nanti.

Beliau berkata, TATiUC sebelum ini hanya menjalankan kursus peringkat diploma kemahiran dalam pelbagai bidang seperti Diploma Kejuruteraan Pembuatan, Industri Automotif, Rangkaian Komputer, Teknologi Polimer dan Kejuruteraan Kimia.



Katanya, kursus peringkat ijazah pertama itu dijalankan secara sepenuhnya di kampus berkenaan di Telok Kalong walaupun sebelum ini graduan diploma TATiUC melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah di beberapa institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Menurut Rozailan, sehingga kini TATiUC menawarkan 28 program termasuk 11 kursus peringkat ijazah sarjana muda, 13 kursus diploma kemahiran, empat peringkat sijil dan beberapa kursus kemahiran jangka pendek peingkat persijilan.

“Selain itu, bermula tahun ini TATiUC telah memulakan pengambilan pertama pelajar dalam bidang Sarjana Kejuruteraan Mekatronik melalui penyelidikan dan buat permulaan seramai tiga orang pelajar sedang mengikutinya secara sepenuh masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen TATiUC kali kelima di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), semalam.

Pada majlis itu, seramai 404 graduan menerima ijazah, diploma dan sijil masing-masing daripada Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman dan Canselor TATiUC, Tan Sri Dato’ Ir. Wan Abdul Rahman Wan Yookob.

Tambah Mohd. Rozailan, sehingga kini terdapat lebih 2,000 pelajar sedang menuntut di kolej berkenaan termasuk 800 pelajar baru.

“Atas perkembangan itu, TATiUC sedang melakukan penambahbaikan terhadap beberapa kemudahan di kampus berkenaan termasuk sebuah dewan konvokesyen, perpustakaan, asrama pelajar baru dan sebuah kompleks sukan yang dijangka siap menjelang 2014,” ujarnya.



Pada majlis itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pengeluaran, Leong Chin Jye diumumkan sebagai penerima Anugerah Canselor manakala graduan Diploma Kejuruteraan Insudustri Automotif, Wan Muhammad Basyir Wan Mohd. Zaki menerima Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah.

Turut menerima Anugerah Pelajar Terbaik, Muhammad Zulkhairi Ishak dari pengkhususan Diploma Kejuruteraan Pembuatan, Mohd. Ramzi Mamat (Diploma Kejuruteraan Pembuatan), Mohd. Hazimi Abd. Mubin (Diploma Rangkaian Komputer), Muhammad Fahmi A. Razak (Diploma Kejuruteraan Teknologi Polimer), Noratiyah Atirah Norudin (Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia) dan Ummar Farouk Abd. Hamid (Diploma Kejuruteraan Elektrik

Kerepok Lekor, Wau Bulan, Gasing ke Australia

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri akan memperkenal lima jenis produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS)Terengganu pada Perth Royal Show 2011 di Claremont Showground Australia, dari 1 hingga 8 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato' Mohamed Awang Tera berkata, Kerajaan negeri akan diwakili Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) pada pameran itu.

“Kita harap produk terbabit akan menembusi pasaran Australia pada masa akan datang,” katanya baru-baru ini.

Dato' Mohamed berkata, lima produk IKS yang akan diperkenal oleh Kerajaan negeri ialah keropok lekor sejuk beku, keropok kering, kraftangan, tekstil, jus rosel dan ikan sardin.

Beliau berkata, selain barang makanan itu, Terengganu juga membawa beberapa jenis permainan tradisi seperti wau bulan, gasing, sepak takraw bulatan serta demonstrasi batik.

Katanya, penuntut Malaysia di Australia akan digunakan untuk memjayakan demonstrasikan permainan tradisi tersebut.

"Pada masa yang sama Terengganu akan memperkenal industri pelancongan bagi menarik pengunjung ke negeri ini dengan delegasi yang terdiri daripada 13 pegawai, termasuk usahawan.

"Di Australia, khususnya di Perth yang mempunyai lebih 20,000 rakyat Malaysia, merupakan pasaran besar bagi YPU untuk produk IKS," katanya.