Halaman

20 October 2011

Tahniah, tapi perlu waspada - MB

Oleh; Esah Abdullah

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said melahirkan rasa bangga dengan keupayaan barisan pemain bola sepak Terengganu yang mampu menundukkan Selangor 2-0 dalam perlawanan di tempat lawan Isnin lalu.

“Tahniah dan syabas kerana berjaya membawa bekal selesa untuk perlawanan timbal balik kedua di negeri ini Sabtu ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Wisma Darul Iman semalam.

Sehubungan itu Menteri Besar mengingatkan barisan pemain perlu berwaspada serta jangan leka dan rasa selesa dengan kedudukan itu kerana dalam bola sepak serba kemungkinan boleh berlaku.

Katanya, jika di tempat lawan kita mampu tunjukkan permainan cemerlang, di gelanggang sendiri lebih lagi dan elak daripada rasa terlalu selesa.

Ketika diminta mengulas kekalahan 4-2 pasukan T-Team kepada Negeri Sembilan, Dato’ Seri Haji Ahmad ternyata kecewa dengan kecuaian barisan pertahanan yang gagal mengekang kemaraan pasukan lawan.

“Saya minta pihak pengurusan T-Team lakukan sesuatu kerana masih belum terlambat jika semua pemain dapat ubah sikap dan elak bermain dalam keadaan tertekan,” katanya.

Perlawanan kedua Sabtu ini, Terengganu bertemu Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu manakala T-Team bertemu Negeri Sembilan di Stadium Paroi.

Peminat bola sepak yang tidak berpeluang berkunjung ke stadium boleh mengikuti siaran langsung perlawanan berkenaan melalui Astro (Terengganu vs Selangor) dan TV1 (T-Team vs Negeri Sembilan).




MBKT jemput orang ramai sertai program pembersihan

Oleh: Suriati Ali

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menjemput orang ramai terutama peniaga dan penduduk setempat supaya hadir menyertai program Pembersihan Medan Selera Tanjung, Kuala Terengganu dan persekitarannya pada pagi esok (21 Oktober).

Jabatan Korporat, Kemasyarakatan dan Kualiti MBKT, Mohd Huraizil Nizam Ibrahim, berkata program seumpama itu wajar mendapat kerjasama semua pihak berikutan lokasi program adalah kawasan yang sering dikunjungi orang awam.

“Kerjasama amat diperlukan kerana bukan sahaja mampu mengekalkan kebersihan malah dapat mengekalkan padangan positif dikalangan pelancong tentang keindahan Terengganu,” katanya.



Perayaan Loy Krathong di Sungai Kuala Ibai

Oleh: Suriati Ali



Lebih 10,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan pesta tahunan Perayaan Loy Krathong yang akan diadakan di perkarangan Sungai Kuala Ibai, Chendering, Kuala Terengganu.

Kerajaan Negeri dengan kerjasama Persatuan Tetap Loykrathong Kuala Terengganu menganjurkan pesta itu selama dua hari dan berakhir pada 5 November.

Pelbagai aktiviti sampingan diadakan sempena pesta itu, termasuk pertandingan gerai pameran, ratu Loy Krathong, kereta berhias dan acara melepaskan bunga loy krathong.
Pengerusi persatuan itu, Tuan Chan Tom, berkata pihaknya mengalu-alukan masyarakat pelbagai kaum datang memeriahkan pesta yang sememangnya popular di kalangan masyarakat Thailand.

Katanya, sambutan loy krathong membawa seribu makna terutama berkaitan persefahaman di kalangan masyarakat.

“ Sehubungan itu, unsur kebudayaan sesuatu kaum ini sewajarnya diwarisi daripada genarasi lama kepada genarasi baru,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar di Riyaz-Heritage Resort & Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, malam tadi (19 November).


Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dijangka merasmikan pesta itu dengan melepaskan bunga loy krathong yang reka khas ke Sungai Kuala Ibai.

19 October 2011

JPNT cadang asrama murid Orang Asli

Oleh FAUZI MOHD

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) akan mencadangkan kepada kerajaan negeri penubuhan sebuah asrama khusus untuk murid Orang Asli di Terengganu.

Pengarahnya, Razali Daud berkata, penubuhan asrama seumpama itu penting bagi membolehkan murid Orang Asli menikmati kemudahan pelajaran lebih selesa dalam usaha memperkasakan mutu pendidikan di kalangan komuniti itu.

Beliau memberitahu, pihaknya sedang dalam proses akhir bagi menyiapkan kertas kerja berhubung projek itu sebelum diserahkan kepada Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said dalam waktu terdekat ini.

Menurutnya, asrama tersebut akan ditempatkan di sebuah sekolah menengah yang berdekatan kawasan penempatan Orang Asli sama ada di Kemaman, Hulu Terengganu atau Hulu Besut.

"Kita akan pilih sekolah menengah yang sesuai untuk ditempatkan sebuah asrama khusus kepada pelajar atau murid Orang Asli.

"Buat masa ini, ada tiga buah sekolah yang menempatkan Orang Asli di Terengganu iaitu di Sungai Berua di Hulu Terengganu, Sungai Pergam (Kemaman) dan Kuala Sayap (Hulu Besut)," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas program Pengarah Pelajaran Terengganu Bersama Warga Orang Asli Negeri Terengganu di pekarangan JPNT baru-baru ini.

Seramai 450 penduduk serta pelajar Orang Asli dari Sungai Berua, Sungai Pergam dan Kuala Sayap menyertai program tersebut bagi memberi pendedahan kepada komuniti itu agar tidak terpinggir daripada arus pembangunan.

Rakyat Terengganu 'derita' kali kedua jika pilih PAS

Oleh FAUZI MOHD

RAKYAT Terengganu bakal 'menderita' sekali lagi jika mereka memilih PAS sebagai parti pemerintah negeri tersebut.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, ini kerana manifesto yang dilancarkan parti itu baru-baru ini hanya bersifat populis, yang tidak mengambil kira kesan selepas pelaksanaannya.

"Terbukti apa yang dijanjikan parti itu tidak dapat dilaksanakan seperti janji kerajaan PAS di Kedah menurunkan cukai tanah, tetapi sekarang mereka sebenarnya merana akibat tindakan itu kerana cukai merupakan pendapatan kepada kerajaan negeri.

"Bagi menutup kepincangan itu, mereka mengenakan cukai yang tinggi pula kepada UUM.

"Maka, sebab itu kita menjangkakan mereka tidak melakukan kajian secara terperinci ketika menyenaraikan janji-janji tersebut kerana ia sekadar memancing undi," katanya.

PAS Terengganu baru-baru ini mengumumkan sebahagian manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 yang antara lain menjanjikan kakitangan awam wanita kematian suami bakal diberi cuti bergaji selama 30 hari sebagai tempoh berkabung.

Langkah pengumuman secara berperingkat itu kononnya bagi memastikan manifesto yang dibuat tidak ditiru oleh Barisan Nasional (BN).

Pensyarah Kanan Bahagian Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan pula berkata, penghapusan cukai pintu dan penyelesaian isu tanah merupakan pengulangan janji oleh PAS selepas mereka diberi mandat memerintah Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-11 pada tahun 1999.

Katanya, PAS bagaimanapun menghadapi masalah kewangan kerana mereka hanya mengharapkan wang royalti minyak daripada Kerajaan Persekutuan.

"Sekiranya janji yang sama dibuat oleh PAS, saya mengandaikan mereka akan menghadapi masalah kewangan yang sama.

"Penghapusan cukai bukan tindakan bijak kerana ia merupakan sumber utama kerajaan negeri. Banyak lagi cara lain yang boleh meringankan beban rakyat," katanya.

Akta Kualiti Alam Sekeliling bakal mantapkan pengurusan EIA



Oleh FAUZI MOHD

AKTA Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan dipinda bagi membolehkan Juruperunding Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sahaja dibenarkan menjalankan kajian dan menyediakan laporan EIA.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Sri Douglas Uggah Embas berkata, ia merupakan syor ke atas Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2011 untuk kelulusan Jemaah Menteri bagi memastikan laporan EIA yang disediakan berkualiti.

Menerusi perubahan itu kelak, laporan EIA dijalankan oleh individu yang berkelayakan dan bertanggungjawab di atas kajian dan syor-syor yang dikemukakan di dalam laporannya.




“Laporan yang dikemukakan kepada JAS sebelum ini kebanyakkannya tidak berkualiti dan kerap kali disediakan oleh jururunding EIA yang kurang kepakaran dan pengalaman.

“Dalam pindaan seksyen yang sama, cadangan projek hendaklah selaras dengan Rancangan Fizikal Negara, Rancangan Struktur dan Rancangan Tempatan yang telah diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perlancaran Sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) peringkat kebangsaan 2011 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu semalam.



Turut hadir dalam majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Toh Chin Yaw, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Zoal Azha Yusof dan Ketua Pengarah Alam Sekitar, Dato’ Rosnani Ibrahim.

Tambah beliau, pindaan itu juga bakal memperkukuhkan lagi penguatkuasaan terhadap masalah pencemaran di negara ini dengan mengenakan penalti jauh lebih berat kepada pesalah baik individu atau syarikat.

Di bawah cadangan pindaan itu, penalti terhadap pelanggaran Seksyen 2 akta tersebut akan dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM500,000.

Antara kesalahan di bawah seksyen tersebut ialah pelupusan sisa toksik, pencemaran air dan sungai, pembakaran terbuka, pengeluaran asap berlebihan, tumpahan minyak di laut dan pembukaan tanah secara haram.



“Pindaan itu akan dibentang ke Kabinet minggu depan sebelum dibawa ke Parlimen pada Mac 2012.

“Ia akan memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling untuk memberhentikan projek yang melanggar peraturan EIA,” ujarnya.

TSG buru kedudukan terbaik di China dan Jepun

Oleh FAUZI MOHD


TERENGGANU Pro-Asia Cycling Team (TSG) mempertaruhkan tujuh pelumba untuk mengalas misi memburu tempat pada kejohanan Tour of Hainan di China bermula esok.

Pengurus TSG, Ahmad Kamarul Idrus berkata, dalam kejohanan sembilan hari itu harapan diletakkan kepada empat pelumba tempatan, dua Korea Selatan dan seorang Jepun.

Menurutnya, pasukan itu terdiri daripada Anuar Manan, Haris Salleh, Amirul Fakharuddin, Mohd. Shahrul Mat Amin, Cha Jang Jae (Korea Selatan), Kim Do Hyoung (Korea Selatan) dan Motoi Nara (Jepun).

“Pasukan itu diketuai pelumba sensasi yang juga Raja Pecut Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi 2010, Anuar Manan,” katanya di sini hari ini.

Tambah Ahmad Kamarul, TSG bakal bersaing dengan 30 pasukan dari Eropah dan Asia dengan sasaran dapat menyarung jersi pecut menerusi Anuar Manan.

Katanya, Tour of Hainan merupakan kejohanan profesional yang ke-16 disertai pasukan yang ditubuhkan Kerajaan Negeri Terengganu tahun ini.

“Selepas ini TSG akan menyertai satu lagi kejohanan sebelum tirai 2011 dilabuhkan iaitu Tour of Okinawa di Jepun yang bermula dari 12 hingga 13 November ini.

“Lima pelumba disenaraikan untuk membawa cabaran itu iaitu Yusrizal Usop, Amirul Fakaruddin, Mohd. Sobri Abdullah serta Motoi Nara dan Shinichi Fukushima dari Jepun,” ujarnya.

Manis FM jadi radio rasmi kerajaan

Oleh; Esah Abdullah

Radio Manis FM menjadi radio rasmi kerajaan negeri apabila proses mengambilalih stesen berkenaan oleh Lembaga Tabung Amanah Terengganu sejak tiga bulan lalu.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sebagai langkah susulan kerajaan sedang mengubahsuai bangunan berhampiran Wisma Darul Iman untuk menempatkan stesen berkenaan menjalankan operasi.

“Kita jangka awal tahun depan stesen berkenaan boleh memulakan operasi di sini tetapi setakat ini radio berkenaan masih beroperasi di tempat asalnya iaitu Kelantan.,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Beliau berkata, kawasan liputan merangkumi negeri Kelantan, Pahang, Terengganu, Selatan Thailand dan boleh juga diikuti pendengar di kawasan tengah dan selatan tanah air.

Selain itu, katanya, stesen radio merupakan satu pelaburan yang strategik dan dapat menyalurkan maklumat kerajaan secara lebih luas dan menyeluruh.



Katanya, tidak banyak kerajaan negeri yang memiliki stesen radio sendiri dan kita mencuba kepada sesuatu yang boleh mendatangkan kebaikan kepada kerajaan negeri dan rakyat.

Mengenai pengambilan kakitangan baru bagi melengkapkan stesen berkenaan, Dato’ Seri Haji Ahmad akan membuat kajian teperinci mengenai keupayaan tenaga yang ada dan akan diisi jika perlu berbuat demikian.





form>

Penjawat awam perlu jaga kesihatan

Oleh: Suriati Ali


Penjawat awam di negeri ini diminta menjaga kesihatan diri dengan mengamalkan pemakanan sihat bagi mengelakkan daripada menghidap pelbagai penyakit serius, termasuk gejala `nyanyuk’, sebelum mencapai umur pesaraan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata mereka perlu berbuat demikian kerana usia persaraan bagi penjawat awam kini dinaikkan daripada 58 tahun kepada 60 tahun.

Beliau berkata, Belanjawan 2012 yang diumumkan Perdana Menteri pada Oktober lalu menyediakan banyak insentif yang menggembirakan semua lapisan rakyat, termasuk penjawat awam.

Katanya , penjawat awam menerima berita baik kerana selain diberi kenaikan gaji dan bonus, umur persaraan mereka dilanjutkan.

“Sehubungan itu, saya cukup berharap kita bersama-sama menjaga kesihatan diri sepanjang hayat supaya kelihatan cerdas dan ceria ketika bertugas.

“Apabila langkah seumpamanya diamalkan, secara tidak langsung pelbagai penyakit serius, termasuk nyanyuk dapat dielak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Sijil 5S dan Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan bagi Julai hingga September di Wisma Darul Iman, KualaTerengganu, hari ini.

Seramai 15 kakitangan WDI menerima anugerah itu, antaranya Puan Azizah Ali dari Pejabat Perbendaharaan Negeri; Haji Muhammad Nor (Pejabat Setiusaha Kerajaan Negeri (SUK), Khidmat Pengurusan); Puan Maimunah Che Muda (Unit Audit Dalam) dan Encik Ahmad Asrul Mohd Ghani dari Pejabat SUK (Khidmat Pengurusan Sumber Manusia).

Penerima lain, Cik Esah Abdullah dari Unit Komunikasi Negeri; Y.M Sharifah Rohizan Syed A.Kadir (Pejabat SUK,Khidmat Pengurusan Sumber Manusia); Encik Mejenun @ Mazuki Abdullah (Unit Pengurusan Maklumat Negeri) dan Encik Jusoh Ali (Pejabat SUK Khidmat Pengurusan).

Dato’ Haji Mazlan berkata kerajaan negeri menyambut baik keseluruhan Bajet 2012 kerana ia mencerminkan inisiatif kerajaan untuk mencapai keseimbangan dalam menguruskan isu berkaitan rakyat.

“Kerajaan jelas peka dan mengambil berat mengenai kebimbangan yang disuarakan rakyat terhadap isu sara hidup dengan menyediakan banyak manfaat kepada semua golongan,” katanya.


UMNO Terengganu selar sikap pembangkang

Oleh: Suriati Ali

UMNO Terengganu menyelar sikap parti pembangkang yang bersikap kurang senang terhadap Belanjawan 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri pada 7 Oktober lalu.

Ketua Penerangan UMNO Terengganu, YB Ahmad Razif Abd Rahman, berkata jika belanjawan 2012 yang berpijak kepada realiti ekonomi tidak diyakini pembangkang, sudah tentu mereka juga tidak yakin dengan Belajawan Pakatan Rakyat yang diumumkan lebih awal daripada kerajaan.

Katanya, Belanjawan PR yang disifatkan luar biasa dan dirancang sendiri PR sendiri sudah tentu tidak boleh dipercayai.

“Apa yang dirancang PR memperlihatkan keluarbiasaan dan kalau tidak percaya kepada Belanjawan 2012, itu bermakna dia juga retorik dan bersikap ketidakpercayaan kepada belajawan sendiri.

“Apa yang dilakukan kerajaan adalah belanjawan yang diyakini dan bertanggungjawab,” katanya.

Menurutnya, beliau yakin pucuk pimpinan akan melaksanakan apa yang dijanjikan dan melaksanakan kebajikan.

“Perkembangan ekonomi semasa menunjukkan beberapa transformasi yang dilakukan kerajaan juga telah menunjukkan konsep rakyat didahulukan.

“Kerajaan Barisan Nasional sememangnya cekap dalam mempertahankan ekonomi negara apabila krisis ekonomi dan inflasi yang berlaku sekitar penghujung 1997 telah diselamatkan di bawah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahatdir Mohamad sehingga kita tidak perlu bergantung kepada pihak lain,” katanya.