Halaman

21 October 2011

Bandaraya ‘tambak laut’ tarik pelaburan RM5 bilion


Dato' Seri Haji Ahmad Said bersama Dato' Haji Mazlan Ngah dan Dato’ Jebasingam Issace John melihat pelan pembangunan KTCC selepas majlis pecah tanah di Muara Selatan, Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.



Oleh FAUZI MOHD

PROJEK Kuala Terengganu City Centre (KTCC) yang dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bakal menjadi pemangkin kepada transformasi pembangunan negeri ini dengan nilai pelaburan RM5 bilion.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, projek yang merangkumi tiga pemangkin utama iaitu pusat gaya bersepadu, pusat komersial dan hab pendidikan itu mewujudkan lebih 82,000 peluang pekerjaan kepada penduduk Terengganu menjelang 2020.

Menurutnya, pembangunan seluas kira-kira 7 kimometer radius itu dijangka membantu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sehingga 7.5 peratus menjelang tahun yang sama berbanding 5.5 peratus ketika ini.




“Projek KTCC akan menjadi penanda aras baru kepada pembangunan hartanah di Terengganu pada masa depan dan meletakkan negeri ini sebagai pusat pelancongan moden bertaraf dunia.

“Kerajaan Negeri menyasarkan peningkatan kunjungan pelancong sebanyak 3.5 juta orang setahun menjelang 2013 berbanding lebih 2.5 juta pada masa sekarang,” katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pecah tanah dan pelancaran projek KTCC di Muara Selatan, Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Jebasingam Issace John.

Pada majlis itu, Dato’ Seri Ahmad turut menyaksikan dua memorandum persefahaman (MOU) ditandatangi iaitu antara ECERDC yang diwakili Dato’ Jebasingam, Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (TAWNT) diwakili Dato’ Mazlan dan KTCC Mall Sdn. Bhd. Diwakili Tan Sri Tang Yeam Soon.

Sebuah lagi MOU melibatkan ECERDC, TAWNT dan syarikat Austin Heights Sdn. Bhd. Yang diwakili Dato’ Ir. Steve Chong Yoon On.

ECERDC merupakan antara koridor pembangunan terbesar negara yang sebahagian besarnya dibangunkan di tanah tambakan di Muara Sungai Terengganu yang merangkumi pembangunan lima bidang utama iaitu Muara Utara, Muara Selatan, Pulau Warisan, Kampung Ladang dan Tanjung serta Tebing Pesisir Air.



Antara komponen lain yang akan dibangunkan melalui penglibatan pelabur dalam dan luar negara ialah pusat perniagaan komersial, pusat konvensyen antarabangsa dan kediaman moden yang akan dilengkapi dengan pusat beli-belah, percutian, perubatan dan pendidikan.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, bagi melengkapkan pembangunan KTCC, Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Kedua disiapkan menjelang 2013 dan bakal mengurangkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur kepada empat jam.

"KTCC akan menjadi faktor penarik untuk menggalakkan lebih ramai belia kembali bekerja di negeri ini apabila melihat perubahan bandar raya ini yang bakal menjadi hab kehidupan, bekerja dan aktiviti-aktiviti rekreasi," jelasnya.



Bagi mempromosikan imej negeri itu sebagai Gerbang Pelancongan di ECER katanya, sebuah mercu tanda baru negeri iaitu jambatan angkat (draw breach) bernilai hampir RM40 juta bakal dibina menghubungkan Muara Selatan dan Muara Utara.

Antara projek yang bakal menjadi langskap pembangunan di KTCC katanya, sebuah apartment 30 tingkat bernilai RM150 juta yang mengandungi 292 unit rumah dan 90 unit ruang komersil dibangunkan melalui peruntukan TAWNT.



Selain itu kata Dato’ Seri Ahmad, menara 30 tingkat milik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bakal dibina dan sebuah lagi menara dengan ketinggian sama dibangunkan untuk menempatkan pejabat semua yayasan-yayasan milik Kerajaan Negeri.

“Selain itu, sebuah menara hotel dengan kapasiti 400 bilik turut menjadi ikon pelancongan menarik dengan kemudahan pusat boling 36 lorong bertaraf antarabangsa bakal dibangunkan,” katanya.

Perkasa Alam sumbang peralatan sukan

Oleh; Esah Abdullah


Persatuan Perkasa Alam telah menyumbangkan jersey dan peralatan sukan kepada pasukan bola sepak pantai yang akan mewakili negeri ini ke Kejohanan Bola Sepak Pantai Felda-FAM di Pantai Teluk Cempedak Kuantan, Pahang bermula esok.

Dalam majlis yang sama Primula Beach Resort turut menyediakan tempat latihan termasuk minuman di kawasan berhampiran Primula selama dua minggu kepada pasukan berkenaan.

Pengerusi Biro Sukan dan Kebajikannya, Encik Shamsudin Awang berkata, sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) sumbangan ini merupakan dorongan dan galakan kepada mereka supaya lakukan yang terbaik bagi mengharumkan nama negeri.


Katanya, pasukan ini muncul juara dalam pertandingan edisi pertama yang diadakan dua tahun lalu (2009) dan bertekad untuk mempertahankan kejuaraan pada edisi kedua ini.

Terdapat 34 pasukan terdiri dari 17 pasukan lelaki dan 17 pasukan wanita dari seluruh negara akan memulakan cabaran selama tiga hari yang berakhir Ahad depan.





Pendaratan ikan dipantau

Oleh; Esah Abdullah

Terengganu antara negeri penyumbang terbesar dalam sektor perikanan negara iaitu antara enam hingga tujuh peratus setahun dan jumlah berkenaan dijangka meningkat pada masa akan datang.

Pengarahnya, Encik Zakaria Ismail berkata, terdapat 110 buah bot laut dalam termasuk bot pukat tunda dan pukat jerut sedang beroperasi di negeri ini.

Katanya, bagi memastikan pengeluaran ikan tidak terjejas pihaknya telah mengetatkan pemeriksaan terhadap bot laut dalam bagi memastikan hasil tangkapan menepati buku laporan operasi.

“Kita dapat mengesan berlakunya ketirisan ketika pendaratan hasil tangkapan berdasarkan catatan dalam buku laporan yang tidak sama dengan hasil sebenar,” katanya.

Sehubungan itu katanya, beberapa pegawai diarah membuat pemantauan dan memeriksa setiap kali bot berlabuh untuk mendaratkan ikan di pangkalan.

“Kita tidak akan teragak-agak untuk membatalkan subsidi diesel jika bot berkenaan melanggar syarat yang ditetapkan itu pendaratan tahunan kurang daripada 350 tan metrik (mt) bagi bot pukat tunda dan 250 mt untuk pukat jerut,” katanya.

Walau bagaimanapun pendaratan ikan segar sedikit menurun dalam temph enam bulan pertama tahun ini iaitu 32.751 mt berbanding 72.921 mt tahun lepas namun suasana ini akan berubah bila tiba musim tengkujuh.





Umno Terengganu Tidak perlu dedah strategi

Oleh: Suriati Ali

Pengerakan Pemuda Umno Terengganu tidak akan sesekali mendedahkan strategi parti dan menghebohkan mana-mana kawasan yang berpotensi dimenangi Barisan Nasional (BN) atau sebaliknya dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Ketuanya, Encik Saiful Bahri Baharuddin berkata, pihaknya tidak akan terikut-ikut dengan Dewan Pemuda PAS Terengganu (DPPNT) dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang yakin dengan program yang dijalankan serta turut meramalkan kawasan tertentu yang akan dimenangi mereka.

Katanya, pihaknya tidak mahu mana-mana kawasan yang berpotensi didedah kerana yakin potensi BN Terengganu dalam menarik golongan belia.

“Sokongan rakyat adalah subjektif dan bergantung kepada cara mana kita tawan hati tetapi apa yang kita lihat, pengundi muda cenderung kepada BN dan berminat terhadap apa yang kita lakukan,” katanya.

Encik Saiful berkata, minat rakyat juga sudah kembali kepada kerajaan berdasarkan beberapa tranformasi yang telah dilaksanakan dan berlaku dalam negara, termasuk dari sudut politik apabila kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA).

“Pihak kami mempunyai tanggungjawab besar memandangkan pegundi muda melebihi 50 peratus di negeri ini. Bagaimanapun, tidak menolak keadaan menjadi lebih mudah sekiranya hati mereka dapat ditawan,” katanya.



LMNT anjur pertandingan tradisional

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) akan menganjurkan Pertandingan Permainan Tradisional peringkat negeri di perkarangan Muzium Negeri Terengganu, Losong, Kuala Terengganu pada 22 Oktober (esok).

Penolong Kurator-Perhubungan dan Pemasaran LMNT Mohd Saberi Muda berkata seramai 245 peserta di seluruh negeri ini dijangka menyertai pertandingan bola cetong, congkak, bola beracun, sepak raga ratus, permainan tapak gajah, terompoh gergasi, gelek rim basikal, kaki hantu dan kukur kelapa.

Katanya, peserta yang bakal menyertai pertandingan itu terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan rata-ratanya mereka cukup berminat serta teruja untuk menyertainya berikutan permainan tradisional itu kini jarang dipraktikkan.

“Pendekatan yang dilaksamanakan LMNT ini mampu menghidupkan kembali nostalgia pelbagai permainan tradisional yang diamalkan masyarakat terdahulu,” katanya


206 Anggota Penguatkuasa JPJ sertai Kursus Pemantapan

Oleh: Mohammad Ishak


Anggota JPJ Terengganu bergambar kenangan selepas tamat kursus di Besut


Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu memberi penekanan terhadap kakitangan jabatan itu terutama anggota penguatkuasa dengan menganjurkan Kursus Pemantapan dalam usaha membina keyakinan diri dalam kerjaya dan memperkayakan integriti anggota.

Kursus tiga hari yang disertai 206 anggota yang berlangsung di Demong Beach Resort dan berakhir semalam bertujuan melahirkan semangat yang padu dalam menjalankan tugas harian bagi memastikan bahagian penguatkuasa sentiasa cemerlang dan gemilang.

Pengarahnya, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, kursus berkenaan dirancang supaya anggota terbabit dapat menghayati sepenuhnya tugas dan tanggungjawab yang perlu dilakukan setiap hari.

Katanya, sepanjang mengikuti kursus itu peserta dapat mengikuti beberapa ceramah berkaitan tugas yang disampaikan oleh penceramah khas dari Suruhanjaya Pencehagan Rasuah Malaysia (SPRM),Akademik JPJ Malaysia dan pegawai kanan dari ibu pejabat JPJ.

Beliau berkata, anggota penguatkuasa jabatan itu yang sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko ketika menjalankan tugas terutama dalam operasi sekatan jalan raya perlu diberi pendedahan mengenai tugasan mereka.

Menurutnya, pengguna jalan raya sekarang sudah berani melakukan sesuatu dan melanggar sekatan jalan raya dan ini memerlukan kebijaksanaan anggota untuk menghadapi keadaan sedemikian.

“Beberapa kes membabitkan pemandu kenderaan melanggar sekatan jalan raya amat membimbangkan kerana ia mungkin mengancam keselamatan petugas,” katanya.

Abdul Rahman berkata, menerusi kursus jangka pendek itu diharap anggota terbabit dapat mempraktikkannya selain menolak unsur rasuah yang cuba dilakukan oleh orang awam.




20 October 2011

1,100 pelajar sertai program A Moment In English

Oleh: Mohammad Ishak


Pelajar membuat persembahan

Seramai 1,000 pelajar mewakili 48 sekolah rendah dan menengah seluruh Terengganu menyertai program A Moment In English yang berlangsung di Taman Budaya Kuala Ibai, Kuala Terengganu semalam.

Program anjuran Jabatan pendidikan Negeri Terengganu dan ditaja oleh Exxon Mobil adalah acara tahunan yang dimulakan sejak 2001 diadakan untuk meguji tahap penguasan bahasa Inggeris dikalangan pelajar negeri ini.

Sempena program itu peserta membuat pelbagai persembcahan termasuk drama,choral speaking, public speaking, actiuon song, choir, choralsical, story telling,sajak, shor play dan nyanyian solo.

Syarikat Exxon Mobil yang turut serta membantu kerajaan dalam meningkatkan pembelajaran Bahasa Inggeris turut menyumbangkan RM100,00 kepada pihak menganjur mangadakan program berkenaan.

Selain meguji tahap penguasaan bahasa Inggeris menerusi aktiviti seumpama itu juga pelajar dapat menunjukkan bakat dalam bidang masing-masing.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu,Hashim Mohd Zin merasmikan program berkenaan.

SMK Lembah Bidong juara masak

Oleh; Esah Abdullah

Sukar memilih yang terbaik kerana kesemua 16 buah sekolah yang menyertai pertandingan memasak peringkat kebangsaan memenuhi syarat yang ditetapkan pihak penganjur iaitu Kementerian Pelajaran Malaysia.

“Hanya sedikit kecuaian yang memisahkan antara mereka iaitu terlebih memasukkan garam ke dalam masakan,” demikian komen salah seorang juri pertandingan Hajah Muni Abdul Kadir.

Dalam pertandingan berkenaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong, Setiu muncul juara Pertandingan Memasak Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan yang berakhir semalam di Primula Beach Resort.

SMK Lembah Bidong yang diwakili Nur Hazwani Mohd Rashid dan Nur Aisyah Nadzirah Ahmad Ramzan serta peserta tunggal lelaki Atraz Omar telah menewaskan 15 sekolah lain dari seluruh negara.

Hidangan nasi harmoni, siakap kukus dua jiwa, kerabu mangga cinta abadi dan puding milo yang disediakan oleh tiga sahabat karib itu menepati tema ‘masakan pengantin’ pihak penganjur.

“Saya tidak sangka masakan kami mendapat penghargaan sekaligus memenangi tempat pertama,” kata Atraz seorang pemain ragbi di sekolahnya serta gemar memasak.

Pertandingan memasak anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan acara tahunan dan tahun ini Terengganu menjadi tuan rumah bagi edisi ke 14.

SMK Datuk Abdul Samad, Negeri Sembilan memenangi tempat kedua manakala SMK Dato’ Onn, Johor tempat ketiga.

Johan pertandingan menerima wang tunai RM3,000 termasuk untuk pelajar (RM2,000) dan tabung ERT sekolah (RM1,000) beserta hamper, sijil penghargaan dan trofi.






Pas dendang lagu lama

Oleh: Pencari keadilan


















Kenangan pahit: Kanak-kanak tadika Kemas ini terpaksa belajar di pondok usang angkara tidak dibenarkan berada di premis kerajaan negeri sewaktu Pas berkuasa...mungkin kanak-kanak ini sudah menjadi remaja sekarang (belasan tahun).

Mungkin kerana sudah kehabisan modal, kini pemimpin Pas mula mendendangkan lagu lama bagi menyedapkan halwa telinga rakyat Terengganu, apabila mereka melancarkan Manifesto Pas Terengganu yang bertemakan ‘Terengganu Maju, Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan’.

Kononnya pelancaran manifesto itu merupakan strategi parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang makin banyak diperkatakan kebelakangan ini dan sesetengahnya sudah pun meletakkan tarikh pilihan raya.

Sebenarnya, manifesto tersebut tidak lebih daripada sekadar usaha Pas untuk memancing undi bagi meraih sokongan rakyat kerana mereka sedar kepercayaan rakyat kepada Pas kian pudar.

Dengan pelbagai isu melanda parti itu, termasuk ketelanjuran pemimpinnya mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati rakyat, mereka perlu mencari jalan supaya rakyat kembali percaya kepada Pas.

Ingatan rakyat Terengganu pasti masih segar dengan pelbagai kezaliman yang dilakukan pemimpin Pas sewaktu mereka berkuasa di negeri ini, kira-kira 10 tahun lalu.

Terengganu mengalami zaman gelap ketika negeri ini diperintah Pas bermula dari tahun 1999 hingga mereka tersungkur kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 2004.

Mengulas manifesto pilihan raya Pas itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Yahya Khatib Mohamad berkata rakyat negeri tidak akan lupa bagaimana pentadbiran Pas yang diterajui Presidennya, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang hanya bercakap dan berceramah sepanjang masa dan bukannya melaksanakan apa yang termaktub dalam manifesto yang dijanjikan.

“Justeru manifesto yang dikeluarkan Pas itu tidak lebih hanya sekadar untuk mengulangi skrip lama dan mereka perlu ingat rakyat Terengganu sudah matang dan tidak akan terpengaruh dengan segala janji yang hanya manis di bibir sahaja.

“Penghapusan cukai kediaman dan sebagainya adalah gula-gula untuk memastikan pengaruh mereka terus berkembang namun pada masa yang sama mereka tidak sedar tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan pada satu ketika dahulu disia-siakan.

“Jika mereka melaksanakan amanah dan melunaskan segala janji, takkankan rakyat khususnya pengundi menukar kerajaan negeri dalam sekelip mata sahaja dan mereka hanya memerintah sepenggal sahaja,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Pas Terengganu melancarkan manifesto Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) dengan tema ‘Terengganu Maju, Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan’.

Lima perkara dari kandungan manifesto yang dilancarkan Abdul Hadi di Pantai Pandak Chendering, Kuala Terengganu ialah melaksanakan pengecualian cukai kediaman, menyelesaikan isu tanah rakyat yang dirampas oleh BN, cuti 30 hari bergaji bagi kakitangan kerajaan kematian suami, menyediakan 17,000 peluang kerja dalam tempoh 3 tahun dan merakyatkan ekonomi dan menyediakan skim khas rakyat miskin.

Dato’ Yahya yang juga Adun Pengkalan Berangan meminta Pas supaya mencermin diri terlebih dahulu dan bukannya secara semberono mengumumkan manifesto berkenaan.
“Manifesto mereka seolah-olah kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) hari ini tidak peka dan tidak bertanggungjawab terhadap rakyat sedangkan kita telah melaksanakan apa yang terbaik untuk rakyat Terengganu.

“Usah cakap banyaklah….Tengok dan selidik dulu apa jasa dan “track record” ketika rakyat memberi amanah sebelum ini. Seperti yang saya katakan di atas, jika mereka benar-benar bertanggungjawab, takkanlah rakyat berpaling tadah dengan memberikan mandat kembali kepada BN.

“Kita bukannya nak bercakap sombong atau bongkak sebaliknya bercakap atas dasar hakikat yang sebenarnya. Kita percaya rakyat negeri ini lebih selesa dengan apa yang kita telah laksanakan dan segala perancangan yang telah diatur dan sama sekali tidak akan mengulangi kesilapan sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu, rakyat Terengganu perlu berfikir sejenak dan mengimbas kembali kezaliman yang dilakukan Pas sewaktu mereka memerintah Terengganu seperti menghalau kanak-kanak dari Tadika, menghentikan elaun bayaran kepada guru-guru agama dan penghafal al-Quran, merampas balai raya dari Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan menafikan hak rakyat memiliki tapak rumah.

Terlalu banyak kekejaman yang dilakukan mereka kepada rakyat bukan penyokong parti itu semasa mereka memerintah Terengganu.

Selepas itu, barulah rakyat boleh membuat keputusan sama ada mahu mempercayai manifesto Pas itu dan mereka ‘ditipu’ sekali lagi atau menolak manifesto berkenaan yang hanya bertujuan mengaburi mata rakyat.

Tepuk dada, tanya selesa. Usah biarkan kita ditipu Pas sepanjang masa.


E-Kasih bantu penduduk

Oleh: Suriati Ali

Seramai 7,722 penduduk termasuk 6,924 ibu tunggal dan selebihnya bapa tunggal di Terengganu dipantau Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) melalui program e-Kasih yang diwujudkan dua tahun lepas.

Pengarah YPKT, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa berkata, berkata beberapa proses tertentu dilaksanakan sebelum seseorang itu layak disenarai di bawah e-Kasih.

Antaranya termasuk seseorang individu itu perlu mengisi borang secara manual atau `on line’.

“Melalui borang itu, beberapa pihak berkaitan akan tampil membuat bancian bagi mengetahui sama ada pemohon benar-benar layak atau sebaliknya,” katanya

Katanya, YPK mewujudkan pelbagai program, bantuan dan sokongan bagi meringankan beban golongan itu, terutama ibu tunggal agar dapat meneruskan kehidupan dengan lebih terjamin.

“Langkah itu bertujuan memastikan golongan berkenaan, khususnya mereka yang mempunyai anak masih bersekolah mampu menjalani kehidupan lebih berkualiti dan tidak tercicir daripada pelajaran.

“Di samping bantuan berbentuk kewangan, barangan, kursus kemahiran juga ditawarkan bagi membantu golongan berkenaan membuka perniagaan kecil-kecilan serta kemahiran menjahit pakaian dan sebagainya,” katanya