Halaman

21 October 2011

LMNT anjur pertandingan tradisional

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) akan menganjurkan Pertandingan Permainan Tradisional peringkat negeri di perkarangan Muzium Negeri Terengganu, Losong, Kuala Terengganu pada 22 Oktober (esok).

Penolong Kurator-Perhubungan dan Pemasaran LMNT Mohd Saberi Muda berkata seramai 245 peserta di seluruh negeri ini dijangka menyertai pertandingan bola cetong, congkak, bola beracun, sepak raga ratus, permainan tapak gajah, terompoh gergasi, gelek rim basikal, kaki hantu dan kukur kelapa.

Katanya, peserta yang bakal menyertai pertandingan itu terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan rata-ratanya mereka cukup berminat serta teruja untuk menyertainya berikutan permainan tradisional itu kini jarang dipraktikkan.

“Pendekatan yang dilaksamanakan LMNT ini mampu menghidupkan kembali nostalgia pelbagai permainan tradisional yang diamalkan masyarakat terdahulu,” katanya


206 Anggota Penguatkuasa JPJ sertai Kursus Pemantapan

Oleh: Mohammad Ishak


Anggota JPJ Terengganu bergambar kenangan selepas tamat kursus di Besut


Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu memberi penekanan terhadap kakitangan jabatan itu terutama anggota penguatkuasa dengan menganjurkan Kursus Pemantapan dalam usaha membina keyakinan diri dalam kerjaya dan memperkayakan integriti anggota.

Kursus tiga hari yang disertai 206 anggota yang berlangsung di Demong Beach Resort dan berakhir semalam bertujuan melahirkan semangat yang padu dalam menjalankan tugas harian bagi memastikan bahagian penguatkuasa sentiasa cemerlang dan gemilang.

Pengarahnya, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, kursus berkenaan dirancang supaya anggota terbabit dapat menghayati sepenuhnya tugas dan tanggungjawab yang perlu dilakukan setiap hari.

Katanya, sepanjang mengikuti kursus itu peserta dapat mengikuti beberapa ceramah berkaitan tugas yang disampaikan oleh penceramah khas dari Suruhanjaya Pencehagan Rasuah Malaysia (SPRM),Akademik JPJ Malaysia dan pegawai kanan dari ibu pejabat JPJ.

Beliau berkata, anggota penguatkuasa jabatan itu yang sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko ketika menjalankan tugas terutama dalam operasi sekatan jalan raya perlu diberi pendedahan mengenai tugasan mereka.

Menurutnya, pengguna jalan raya sekarang sudah berani melakukan sesuatu dan melanggar sekatan jalan raya dan ini memerlukan kebijaksanaan anggota untuk menghadapi keadaan sedemikian.

“Beberapa kes membabitkan pemandu kenderaan melanggar sekatan jalan raya amat membimbangkan kerana ia mungkin mengancam keselamatan petugas,” katanya.

Abdul Rahman berkata, menerusi kursus jangka pendek itu diharap anggota terbabit dapat mempraktikkannya selain menolak unsur rasuah yang cuba dilakukan oleh orang awam.




20 October 2011

1,100 pelajar sertai program A Moment In English

Oleh: Mohammad Ishak


Pelajar membuat persembahan

Seramai 1,000 pelajar mewakili 48 sekolah rendah dan menengah seluruh Terengganu menyertai program A Moment In English yang berlangsung di Taman Budaya Kuala Ibai, Kuala Terengganu semalam.

Program anjuran Jabatan pendidikan Negeri Terengganu dan ditaja oleh Exxon Mobil adalah acara tahunan yang dimulakan sejak 2001 diadakan untuk meguji tahap penguasan bahasa Inggeris dikalangan pelajar negeri ini.

Sempena program itu peserta membuat pelbagai persembcahan termasuk drama,choral speaking, public speaking, actiuon song, choir, choralsical, story telling,sajak, shor play dan nyanyian solo.

Syarikat Exxon Mobil yang turut serta membantu kerajaan dalam meningkatkan pembelajaran Bahasa Inggeris turut menyumbangkan RM100,00 kepada pihak menganjur mangadakan program berkenaan.

Selain meguji tahap penguasaan bahasa Inggeris menerusi aktiviti seumpama itu juga pelajar dapat menunjukkan bakat dalam bidang masing-masing.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu,Hashim Mohd Zin merasmikan program berkenaan.

SMK Lembah Bidong juara masak

Oleh; Esah Abdullah

Sukar memilih yang terbaik kerana kesemua 16 buah sekolah yang menyertai pertandingan memasak peringkat kebangsaan memenuhi syarat yang ditetapkan pihak penganjur iaitu Kementerian Pelajaran Malaysia.

“Hanya sedikit kecuaian yang memisahkan antara mereka iaitu terlebih memasukkan garam ke dalam masakan,” demikian komen salah seorang juri pertandingan Hajah Muni Abdul Kadir.

Dalam pertandingan berkenaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong, Setiu muncul juara Pertandingan Memasak Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan yang berakhir semalam di Primula Beach Resort.

SMK Lembah Bidong yang diwakili Nur Hazwani Mohd Rashid dan Nur Aisyah Nadzirah Ahmad Ramzan serta peserta tunggal lelaki Atraz Omar telah menewaskan 15 sekolah lain dari seluruh negara.

Hidangan nasi harmoni, siakap kukus dua jiwa, kerabu mangga cinta abadi dan puding milo yang disediakan oleh tiga sahabat karib itu menepati tema ‘masakan pengantin’ pihak penganjur.

“Saya tidak sangka masakan kami mendapat penghargaan sekaligus memenangi tempat pertama,” kata Atraz seorang pemain ragbi di sekolahnya serta gemar memasak.

Pertandingan memasak anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan acara tahunan dan tahun ini Terengganu menjadi tuan rumah bagi edisi ke 14.

SMK Datuk Abdul Samad, Negeri Sembilan memenangi tempat kedua manakala SMK Dato’ Onn, Johor tempat ketiga.

Johan pertandingan menerima wang tunai RM3,000 termasuk untuk pelajar (RM2,000) dan tabung ERT sekolah (RM1,000) beserta hamper, sijil penghargaan dan trofi.






Pas dendang lagu lama

Oleh: Pencari keadilan


















Kenangan pahit: Kanak-kanak tadika Kemas ini terpaksa belajar di pondok usang angkara tidak dibenarkan berada di premis kerajaan negeri sewaktu Pas berkuasa...mungkin kanak-kanak ini sudah menjadi remaja sekarang (belasan tahun).

Mungkin kerana sudah kehabisan modal, kini pemimpin Pas mula mendendangkan lagu lama bagi menyedapkan halwa telinga rakyat Terengganu, apabila mereka melancarkan Manifesto Pas Terengganu yang bertemakan ‘Terengganu Maju, Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan’.

Kononnya pelancaran manifesto itu merupakan strategi parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang makin banyak diperkatakan kebelakangan ini dan sesetengahnya sudah pun meletakkan tarikh pilihan raya.

Sebenarnya, manifesto tersebut tidak lebih daripada sekadar usaha Pas untuk memancing undi bagi meraih sokongan rakyat kerana mereka sedar kepercayaan rakyat kepada Pas kian pudar.

Dengan pelbagai isu melanda parti itu, termasuk ketelanjuran pemimpinnya mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati rakyat, mereka perlu mencari jalan supaya rakyat kembali percaya kepada Pas.

Ingatan rakyat Terengganu pasti masih segar dengan pelbagai kezaliman yang dilakukan pemimpin Pas sewaktu mereka berkuasa di negeri ini, kira-kira 10 tahun lalu.

Terengganu mengalami zaman gelap ketika negeri ini diperintah Pas bermula dari tahun 1999 hingga mereka tersungkur kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 2004.

Mengulas manifesto pilihan raya Pas itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Yahya Khatib Mohamad berkata rakyat negeri tidak akan lupa bagaimana pentadbiran Pas yang diterajui Presidennya, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang hanya bercakap dan berceramah sepanjang masa dan bukannya melaksanakan apa yang termaktub dalam manifesto yang dijanjikan.

“Justeru manifesto yang dikeluarkan Pas itu tidak lebih hanya sekadar untuk mengulangi skrip lama dan mereka perlu ingat rakyat Terengganu sudah matang dan tidak akan terpengaruh dengan segala janji yang hanya manis di bibir sahaja.

“Penghapusan cukai kediaman dan sebagainya adalah gula-gula untuk memastikan pengaruh mereka terus berkembang namun pada masa yang sama mereka tidak sedar tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan pada satu ketika dahulu disia-siakan.

“Jika mereka melaksanakan amanah dan melunaskan segala janji, takkankan rakyat khususnya pengundi menukar kerajaan negeri dalam sekelip mata sahaja dan mereka hanya memerintah sepenggal sahaja,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Pas Terengganu melancarkan manifesto Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) dengan tema ‘Terengganu Maju, Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan’.

Lima perkara dari kandungan manifesto yang dilancarkan Abdul Hadi di Pantai Pandak Chendering, Kuala Terengganu ialah melaksanakan pengecualian cukai kediaman, menyelesaikan isu tanah rakyat yang dirampas oleh BN, cuti 30 hari bergaji bagi kakitangan kerajaan kematian suami, menyediakan 17,000 peluang kerja dalam tempoh 3 tahun dan merakyatkan ekonomi dan menyediakan skim khas rakyat miskin.

Dato’ Yahya yang juga Adun Pengkalan Berangan meminta Pas supaya mencermin diri terlebih dahulu dan bukannya secara semberono mengumumkan manifesto berkenaan.
“Manifesto mereka seolah-olah kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) hari ini tidak peka dan tidak bertanggungjawab terhadap rakyat sedangkan kita telah melaksanakan apa yang terbaik untuk rakyat Terengganu.

“Usah cakap banyaklah….Tengok dan selidik dulu apa jasa dan “track record” ketika rakyat memberi amanah sebelum ini. Seperti yang saya katakan di atas, jika mereka benar-benar bertanggungjawab, takkanlah rakyat berpaling tadah dengan memberikan mandat kembali kepada BN.

“Kita bukannya nak bercakap sombong atau bongkak sebaliknya bercakap atas dasar hakikat yang sebenarnya. Kita percaya rakyat negeri ini lebih selesa dengan apa yang kita telah laksanakan dan segala perancangan yang telah diatur dan sama sekali tidak akan mengulangi kesilapan sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu, rakyat Terengganu perlu berfikir sejenak dan mengimbas kembali kezaliman yang dilakukan Pas sewaktu mereka memerintah Terengganu seperti menghalau kanak-kanak dari Tadika, menghentikan elaun bayaran kepada guru-guru agama dan penghafal al-Quran, merampas balai raya dari Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan menafikan hak rakyat memiliki tapak rumah.

Terlalu banyak kekejaman yang dilakukan mereka kepada rakyat bukan penyokong parti itu semasa mereka memerintah Terengganu.

Selepas itu, barulah rakyat boleh membuat keputusan sama ada mahu mempercayai manifesto Pas itu dan mereka ‘ditipu’ sekali lagi atau menolak manifesto berkenaan yang hanya bertujuan mengaburi mata rakyat.

Tepuk dada, tanya selesa. Usah biarkan kita ditipu Pas sepanjang masa.


E-Kasih bantu penduduk

Oleh: Suriati Ali

Seramai 7,722 penduduk termasuk 6,924 ibu tunggal dan selebihnya bapa tunggal di Terengganu dipantau Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) melalui program e-Kasih yang diwujudkan dua tahun lepas.

Pengarah YPKT, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa berkata, berkata beberapa proses tertentu dilaksanakan sebelum seseorang itu layak disenarai di bawah e-Kasih.

Antaranya termasuk seseorang individu itu perlu mengisi borang secara manual atau `on line’.

“Melalui borang itu, beberapa pihak berkaitan akan tampil membuat bancian bagi mengetahui sama ada pemohon benar-benar layak atau sebaliknya,” katanya

Katanya, YPK mewujudkan pelbagai program, bantuan dan sokongan bagi meringankan beban golongan itu, terutama ibu tunggal agar dapat meneruskan kehidupan dengan lebih terjamin.

“Langkah itu bertujuan memastikan golongan berkenaan, khususnya mereka yang mempunyai anak masih bersekolah mampu menjalani kehidupan lebih berkualiti dan tidak tercicir daripada pelajaran.

“Di samping bantuan berbentuk kewangan, barangan, kursus kemahiran juga ditawarkan bagi membantu golongan berkenaan membuka perniagaan kecil-kecilan serta kemahiran menjahit pakaian dan sebagainya,” katanya



Terengganu perkasa Bahasa Melayu


Gimik pelancaran Bulan Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 peringkat negeri Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Kerajaan negeri akan terus memberi fokus kepada usaha memperkasakan Bahasa Melayu bagi menjadikannya bahasa ilmu dan asas perpaduan.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menggesa rakyat daripada pelbagai kaum supaya memperbaharui iltizam dan azam, memantapkan kualiti sahsiah dan mengenali jati diri mereka sebagai rakyat Malaysia.



“Tema Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini iaitu 1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara, bertepatan dengan gagasan 1Malaysia yang dicita-citakan.

“Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, gagasan 1Malaysia adalah berasaskan prinsip-prinsip yang telah dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Sebagai bangsa Malaysia, kita wajib mempertahankan dan menghormati bahasa

kebangsaan kita sebagai lambang jati diri dan bahasa perpaduan negara kita,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 peringkat negeri Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu, hari ini.

Hadir sama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Dato’ Haji Mohamed Awang Tera dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato’ Haji Termuzi Abd Aziz.

Menteri Besar berkata, penghayatan Bahasa Melayu perlu disegarkan semula dalam semua sektor dan langkah itu tidak akan tercapai tanpa penglibatan dan komitmen padu semua pihak, sama ada di sektor awam, swasta mahu pun Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Beliau meminta semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua urusan dan majlis rasmi sepanjang masa, khususnya sepanjang Bulan Bahasa Kebangsaan.



Dato’ Seri Haji Ahmad turut meminta Pihak Berkuasa Tempatan memastikan paparan dan peragaan seperti iklan, papan tanda, nama jalan dan lain-lain mengutamakan penggunaan bahasa Melayu serta persekitaran memaparkan latar dan panorama yang bercitrakan Malaysia.

“Perkara ini selaras dengan Undang-Undang Kecil dan Iklan dan Garis Panduan Iklan Premis Perniagaan seperti dalam Pekeliling Jabatan Kerajaan Tempatan bertarikh 11 Januari 2005,” ujar beliau.

Tahniah, tapi perlu waspada - MB

Oleh; Esah Abdullah

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said melahirkan rasa bangga dengan keupayaan barisan pemain bola sepak Terengganu yang mampu menundukkan Selangor 2-0 dalam perlawanan di tempat lawan Isnin lalu.

“Tahniah dan syabas kerana berjaya membawa bekal selesa untuk perlawanan timbal balik kedua di negeri ini Sabtu ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Wisma Darul Iman semalam.

Sehubungan itu Menteri Besar mengingatkan barisan pemain perlu berwaspada serta jangan leka dan rasa selesa dengan kedudukan itu kerana dalam bola sepak serba kemungkinan boleh berlaku.

Katanya, jika di tempat lawan kita mampu tunjukkan permainan cemerlang, di gelanggang sendiri lebih lagi dan elak daripada rasa terlalu selesa.

Ketika diminta mengulas kekalahan 4-2 pasukan T-Team kepada Negeri Sembilan, Dato’ Seri Haji Ahmad ternyata kecewa dengan kecuaian barisan pertahanan yang gagal mengekang kemaraan pasukan lawan.

“Saya minta pihak pengurusan T-Team lakukan sesuatu kerana masih belum terlambat jika semua pemain dapat ubah sikap dan elak bermain dalam keadaan tertekan,” katanya.

Perlawanan kedua Sabtu ini, Terengganu bertemu Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu manakala T-Team bertemu Negeri Sembilan di Stadium Paroi.

Peminat bola sepak yang tidak berpeluang berkunjung ke stadium boleh mengikuti siaran langsung perlawanan berkenaan melalui Astro (Terengganu vs Selangor) dan TV1 (T-Team vs Negeri Sembilan).




MBKT jemput orang ramai sertai program pembersihan

Oleh: Suriati Ali

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menjemput orang ramai terutama peniaga dan penduduk setempat supaya hadir menyertai program Pembersihan Medan Selera Tanjung, Kuala Terengganu dan persekitarannya pada pagi esok (21 Oktober).

Jabatan Korporat, Kemasyarakatan dan Kualiti MBKT, Mohd Huraizil Nizam Ibrahim, berkata program seumpama itu wajar mendapat kerjasama semua pihak berikutan lokasi program adalah kawasan yang sering dikunjungi orang awam.

“Kerjasama amat diperlukan kerana bukan sahaja mampu mengekalkan kebersihan malah dapat mengekalkan padangan positif dikalangan pelancong tentang keindahan Terengganu,” katanya.



Perayaan Loy Krathong di Sungai Kuala Ibai

Oleh: Suriati Ali



Lebih 10,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan pesta tahunan Perayaan Loy Krathong yang akan diadakan di perkarangan Sungai Kuala Ibai, Chendering, Kuala Terengganu.

Kerajaan Negeri dengan kerjasama Persatuan Tetap Loykrathong Kuala Terengganu menganjurkan pesta itu selama dua hari dan berakhir pada 5 November.

Pelbagai aktiviti sampingan diadakan sempena pesta itu, termasuk pertandingan gerai pameran, ratu Loy Krathong, kereta berhias dan acara melepaskan bunga loy krathong.
Pengerusi persatuan itu, Tuan Chan Tom, berkata pihaknya mengalu-alukan masyarakat pelbagai kaum datang memeriahkan pesta yang sememangnya popular di kalangan masyarakat Thailand.

Katanya, sambutan loy krathong membawa seribu makna terutama berkaitan persefahaman di kalangan masyarakat.

“ Sehubungan itu, unsur kebudayaan sesuatu kaum ini sewajarnya diwarisi daripada genarasi lama kepada genarasi baru,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar di Riyaz-Heritage Resort & Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, malam tadi (19 November).


Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dijangka merasmikan pesta itu dengan melepaskan bunga loy krathong yang reka khas ke Sungai Kuala Ibai.