Halaman

01 November 2011

PUTB agih dividen 2 sen seunit kepada pemegang Asdi


Muhatar menunjukkan angka 2 ketika mengumumkan agihan dividen 2 sen seunit bagi pemegang saham ASDI.

Oleh; Esah Abdullah


PTB Unit Trust Berhad (PUTB) akan mengagihkan pendapatan kepada 24,000 pemegang unit Amanah Saham Darul Iman (Asdi) berjumlah 2 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2011.

Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Dato' Haji Muhatar Abdullah berkata, jumlah ini membabitkan perbelanjaan RM8.16 juta atau 4.51 peratus dan keuntungan ini akan diagihkan dalam bentuk bonus unit.




“Pengagihan bonus unit akan mula dibayar pada Disember ini dan ia boleh ditunaikan oleh setiap pemegang unit Asdi,” katanya dalam sidang media di Pejabat Maidam Terengganu hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif PTB Unit Trust Berhad, Encik Md Som Mangy.

Dato’ Haji Muhatar menambah, jumlah pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2011 adalah RM12.56 juta berbanding tahun lepas RM20.11 juta.

Menurutnya, setelah ditolak perbelanjaan dan cukai RM3.35 juta, Asdi mengalami kerugian bersih selepas cukai iaitu RM3.74 juta.

“Seiring dengan prestasi pasaran, nilai aset bersih (NAB) Asdi telah merosot sebanyak RM3.63 juta atau 2.01 peratus dari RM180.58 juta kepada RM176.96 juta,” katanya.

Dato’ Haji Muhatar kemudiannya menyerahkan zakat perniagaan PUTB bagi tahun kewangan 2010 berjumlah RM188,193.85 kepada Haji Wan Harujan yang mewakili Maidam.






‘Ayam bertelur dalam pasu’ juara bot berhias

Oleh FAUZI MOHD

Hasil sentuhan penduduk Teluk Pasu dan Sekati yang menghias bot dengan tema asal usul kedua-dua kampung terbabit, ayam dan pasu telah memberi tuah kepada pasukan Peti Undi Teluk Pasu untuk bergelar johan dalam Perarakan Bot Berhias di Sungai Nerus, malam tadi.

Dengan kerjasama jabatan angkat, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Petanian Malaysia (Mardi), kreativiti limpahan lampu warna warni yang melingkari replika ayam betina yang bertenggek atas pasu besar menarik perhatian juri.

Kesungguhan itu berbalas apabila pasukan itu berjaya mengetepikan sembilan pasukan lain dan membawa pulang wang tunai RM5,000 yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Tempat kedua dimenangi Peti Undi Kebor Besar dan Jabatan Perikanan dengan hadiah wang tunai RM4,000, Peti Undi Jeram dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di tempat ketiga (RM3,000) dan keempat Peti Undi Bukit Petiti dan Pusat Giat Mara (RM2,000).

Dalam Majlis Perasmian Sukan Mega Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu itu, Menteri Besar turut menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi tujuh acara sukan rakyat termasuklah tarik tali, anyam ketupat, baling telur, rakit darat dan sepak raga bulat.

Selain pertunjukkan bunga api dan persembahan band Suktra, pengunjung turut menyaksikan perakan perahu panjang berlampu dari belia DUN Teluk Pasu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan Negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd. Said; Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd. Nasir Ibrahim Fikri; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdangan dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Toh Chin yaw.

Memberi saingan dalam perarakan bot berkenaan, Peti Undi Kebor Air, Peti Undi Kesom, Peti Undi Petai Bubus, Peti Undi Tanjung Bunut dan Peti Undi Banggol Peradong.


JPNT sasar 40 tadika berdaftar bagi tahun ini

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) melalui Sektor Pendidikan Khas mensasarkan sebanyak 40 tadika milik pensendirian atau swasta berdaftar di bawah jabatan itu akan dibuka bagi tahun ini.

Timbalan Pengarah JPNT, Encik Hashim Mohd Zin berkata, sasaran tersebut diletakkan di bawah Indek Prestasi Utama (KPI) bertujuan kemudahan dan perkembangan pendidikan prasekolah bagaimanapun hanya mencapai 27 buah tadika setakat ini.

“Sehingga kini hanya Besut dan Kemaman mencapai sasaran masing-masing iaitu sebanyak lima buah.

“JPNT komited untuk mendaftarkan lebih banyak tadika swasta sebagai institusi pendidikan kanak-kanak bermutu tinggi di Terengganu,” katanya dalam sebuah majlis yang dianjurkan jabatan itu,baru-baru ini.

Katanya, melalui beberapa pendekatan yang dilaksanakan, terdapat 130 tadika berjaya didaftarkan selepas memenuhi syarat tertentu.

“Setiap tadika swasta yang baru ditubuhkan dan berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia, layak menerima geran RM10,000 bagi setiap tadika.

“Geran yang diagihkan itu bagi tujuan pengajaran, pembelajaran, peralatan, kekemasan dan beberapa kemudahan lain.

“JPNT turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin peringkat kampung bagi memastikan sasaran 40 tadika berdaftar dapat dilaksanakan” katanya.


Mat Zan kembali terajui Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Orang yang pernah membawa Terengganu merangkul Piala Malaysia buat kali pertama pada2001, Mat Zan Mat Aris kembali semula menerajui skuad Penyu berikutan peletakan jawatan secara mengejut jurulatihnya, Irfan Bakti.

Pertukaran itu disahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Dato’ Che Mat Jusoh selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemain dan pegawai pasukan di pejabatnya, petang semalam.

Dato’ Che Mat bagaimanapun berkata, Mat Zan yang ketika ini membimbing Pos Malaysia masih belum menandatangani perjanjian secara rasmi untuk menggantikan Irfan, sebaliknya hanya menyatakan persetujuan secara lisan ketika dihubungi sebelum ini.

"Kita telah berhubung dengan Mat Zan mengenai perkara tersebut dan beliau telah bersetuju untuk bersama Terengganu walaupun bukan secara hitam putih buat masa ini," katanya.

Mengenai keputusan Irfan meletak jawatan secara mengejut, Dato’ Che Mat berkata, itu adalah perkara biasa dan pihaknya memang tidak berhasrat untuk menyingkirkan jurulatih yang banyak membawa kegemilangan kepada skuad Penyu sepanjang berkhidmat selama dua tahun.

"Pertukaran jurulatih adalah perkara biasa dan saya mengakui perkhidmatan yang diberikan Irfan selama ini amat membanggakan sehingga kita mampu muncul juara FA, naib juara Liga Super dan tempat kedua Piala Malaysia.

"Bagaimanapun, keputusan itu adalah hak beliau dan kita menerimanya dengan hati terbuka," ujar beliau.

Mengulas mengenai pemilihan Mat Zan pula, Dato’ Che Mat memberitahu, pihaknya yakin rekod yang dimiliki jurulatih berpengalaman itu mampu membawa kejayaan yang gemilang buat pasukan Terengganu.

Ketika ditanya mengenai barisan kemungkinan skuad Penyu musim depan pula, beliau menjelaskan, perkara itu akan dimuktamadkan dalam tempoh sekurang-kurangnya dua minggu lagi.

"Setakat ini, majoriti pemain dijangka kekal dalam skuad kerana kebanyakan mereka masih mempunyai baki kontrak untuk tempoh sekurang-kurangnya tahun depan," katanya.


Pemberian ikhlas untuk rakyat


Oleh: Nurul Aziella Saberi

Penduduk setempat menerima bantuan cermin mata, kerusi roda, pampers dan beras pada majlis ramah mesra bersama Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek di Dewan Orang Ramai Padang Kubu, baru-baru ini.

Pada majlis itu juga orang ramai berpeluang untuk bertemu mata dengan YB Dato’ Seri Ahmad Shabery bagi mengadu dan menceritakan masalah mereka kepada pemimpin tersebut.

Dalam ucapannya, beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman, berkata rakyat Terengganu, terutama di daerah Kemaman, amat bertuah berbanding dengan negeri-negeri lain di negara ini.

Katanya, hal ini disebabkan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, merupakan orang Kemaman dan penduduk di daerah itu boleh mengadu secara terus kepada beliau bagi memperolehi bantuan mahupun pertolongan dalam semua aspek.

“Lihat sahaja masjid besar Padang Kubu yang tersergam indah telah siap dibina untuk penduduk setempat beribadah dengan lebih selesa. Pembinaan masjid ini menggunakan sepenuhnya peruntukan daripada kerajaan negeri.

“Saya percaya sokongan dan semangat penduduk di sini kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) semakin kuat dengan adanya jentera-jentera UMNO yang tidak pernah kenal erti penat dan lelah dalam berjuang menyelesaikan masalah rakyat.

“Insya Allah pilihan raya yang akan datang, kita akan menang dengan majoriti yang lebih ramai berbanding pilihan raya yang lepas,” katanya.



Pengerusi JKKK perlu berkhidmat seperti Wakil Rakyat

Oleh: Mohammad Ishak


IDRIS menyampaikan watikah perlantikan kepada pengerusi JKKK DUN Jertih


Semua Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diminta menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kerajaan sama seperti wakil rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerrtih, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ini kerana Pengerusi JKKK adalah pemimpin utama dalam sesebuah kampung dan mereka juga perlu mengetahui masalah penduduk dan merancang aktiviti untuk komuniti setempat.

Katanya, jika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertugas untuk kawasan yang diwakilinya adalah wajar Pengerusi JKKK juga perlu memikul tanggung jawab serupa untuk pembangunan penduduk setmpat.

Menurutnya, perananan JKKK kini semakin bertambah bagi membantu melaksanakan setiap perancangan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri dan Pusat dapat dilaksanakan dengan baik.

“Jawatankuasa JKKK juga perlu proaktif mencari idea baru untuk dikemukakan kepada kerajaan bagi melahirkan rakyat yang berkualiti,” katanya pada majlis penyampaian watikah perlantikan JKKK kawasan DUN Jertih, di Dewan Majlis Daerah Besut, semalam.

Pada majlis itu seramai 570 ahli jawatankuasa berkenaan menerima watikah perlantikan masing berkuatkuasa Jun tahun ini dan berakhir Disember 2012.

Idris yang juga Pengerusi MARA berkata,pemimpin organisisi berkenaan hendak faham dasar-dasar yang diperkenalkan kerajaan supaya mesej untuk disampaikan kepada penduduk peringkat akar umbi mencapai matlamat.

Beliau berharap, JKKK memfokuskan rancangan tranformasi kerajaan dengan memberi keutamaan kepada tugas untuk membela nasib rakyat dan jangan sekali-kali mementingkan diri dan keluarga apabila mengagihkan sebarang bentuk bantuan dari kerajaan untuk rakyat.



31 October 2011

YPKT bantu tingkat ekonomi keluarga


Oleh; Esah Abdullah

Seramai 13,523 orang mendapat faedah daripada pinjaman secara mudah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) melalui Program Jaya Diri (PJD) sejak diperkenalkan pada 1995.

Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, pihaknya telah mengeluarkan pinjaman sejumlah RM33.5 juta melibatkan pelbagai jenis projek dan perniagaan.

Katanya PJD yang diperkenalkan bertujuan melahirkan masyarakat berdikari di kalangan keluarga miskin dan sekaligus membantu meningkatkan ekonomi isi rumah yang berpendapatan rendah.

Menurut beliau, melalui program tersebut, peserta diberi pinjaman sehingga RM10,000 tanpa dikenakan faedah berdasarkan beberapa syarat yang ditetapkan dengan tempoh bayaran balik sehingga lima tahun.

Katanya, pada masa ini hanya 4,425 peserta masih mempunyai pinjaman melalui program tersebut yang sebahagian besarnya adalah peminjam baru berjumlah kira-kira RM12 juta.
"Setakat ini saya berpuashati dengan pembayaran balik pinjaman kerana 100 peratus yang memperolehi pinjaman membayar balik mengikut tempoh yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Modal (PJD) di YPKT hari ini.

Pada majlis itu seramai 72 peserta daripada seluruh negeri mendapat pinjaman tersebut yang bernilai RM386,000.

Katanya, mengikut penilaian yang dijalankan, peserta program mampu meningkatkan hasil pendapatan berdasarkan projek yang dilaksanakan antara RM500 hingga RM2000 sebulan.

Beliau menambah, 71 peratus peserta terbabit dalam perniagaan, manakala selebihnya dalam bidang pertanian, kraftangan, penternakan, perikanan, pertukangan dan kemahiran.

“Ekoran prestasi yang membanggakan mengenai pembayaran balik YPKT dijangka akan menambah peruntukan sekali ganda iaitu RM8 juta untuk PJD yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,500 peserta,” katanya.




Persembahan ‘Legasi Terengganu Kita’ juara Gamelan Melayu 2011

Oleh FAUZI MOHD

KUMPULAN 17 orang anak jati Terengganu, KONGA dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) diumumkan juara Pertandingan Gamelan Melayu peringkat kebangsaan 2011, malam tadi.

Kumpulan itu menjuarai kategori MelayuTtradisional dan Kontemporari/Kreatif dengan mempersembahkan kombinasi lagu-lagu rakyat Terengganu dinamakan ‘Legasi Terengganu Kita’.

Menurut ketua kumpulan itu, Sahar Sa'di Hashim, 43, inisiatif untuk memperdengarkan lagu-lagu rakyat Terengganu itu timbul kerana melihatkan muzik Terengganu boleh diangkat dan dimartabatkan di mana sahaja.

"Saya memang tidak menjagkakan kemenangan ini, tambahan pula kumpulan ini baru sahaja ditubuhkan dua minggu lepas," katanya.

Kategori gamelan Melayu Tradisional pula menyaksikan Kumpulan Gamelan Asuhan Seni 1, Istana Budaya, Kuala Lumpur dinobatkan sebagai juara.

Gamelan Asuhan Seni 1 yang diwakili 10 orang anggota terdiri daripada pelajar Universiti Islam Antarabangsa memukau juri dengan lagu Timang Burung dan Tak Jangka Terang.

Pertandingan yang bermula 29 Oktober dan berakhir semalam menampilkan 17 kumpulan gamelan dari seluruh negara bersama 250 pemuzik.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said.

Juara bagi setiap kategori menerima wang tunai RM10,000 manakala RM5,000 adalah bagi anugerah khas juri dan RM1,000 bagi anugerah pemuzik terbaik di samping RM3,000 bagi hadiah saguhati kepada setiap kumpulan yang bertanding.

Alumni bantu tingkat perkembangan pelajar junior

Oleh; Esah Abdullah

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Yahya Ibrahim mengajak seluruh graduan untuk bergiat aktif sebagai alumni universiti.

Katanya, penglibatan berkenaan boleh membantu universiti meningkatkan kualiti pembangunan dan perkembangan mahasiswa pada masa hadapan.

“Segala usaha yang dihulurkan bukan sahaja dapat membantu pihak UMT malah turut mendorong rakan-rakan mahasiswa yang lebih junior untuk menjejaki kejayaan yang sama,” katanya.

Menurutnya, ciri-ciri kemahiran insaniah yang dipupuk dalam pelbagai program akademik dan aktiviti kemahasiswaan anjuran Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEPA) dan Alumni menjadi pelengkap dalam mengharungi cabaran di medan kerjaya yang diceburi.

“Penampilan sahsiah mulia adalah prasyarat kepada kesempurnaan usaha melahirkan modal insan cemerlang sejajar dengan matlamat UMT,” katanya.

Selain itu katanya, kelayakan akademik yang dicapai perlu diterjemahkan dengan penuh kebijaksanaan dalam pelbagai kerjaya pilihan bersandarkan segala ilmu dan pengalaman yang diperolehi semasa di menara gading.




Karnival Mesra 1Malaysia 2011 di Teluk Mak Nik

Oleh: Nurul Aziella Saberi

Dian Communication Sdn Bhd (DianCom) menganjurkan Pertandingan Joran Mesra sempena Karnival Mesra 1Malaysia Peringkat Negeri Terengganu di Pantai Teluk Mak Nik Kemaman baru-baru ini.

Hadiah lumayan berupa wang tunai RM 20,000 telah ditawarkan kepada orang ramai yang bergelar johan dalam pertandingan tersebut.

Menurut Pengerusi DianCom Nordin Md Nor, keseluruhan hadiah berjumlah RM 46,250 disediakan kepada peserta yang memenangi pertandingan.

Antara aktiviti dan pertandingan yang diadakan sepanjang tiga hari berkampung di Pantai Teluk Mak Nik, termasuk sukan rakyat, pertandingan gubahan kreatif, persembahan artis, dikir barat, pertandingan karaoke dan aktiviti yang dikendalikan bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), RTM serta Pejabat Daerah Kemaman.

“Program seperti ini adalah salah satu sumbangan kecil syarikat kami (DianCom) kepada warga Kemaman untuk menjalinkan perkongsian pintar dengan jabatan, agensi kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Dan sekaligus untuk membantu usaha kerajaan menjayakan konsep 1Malaysia agar suasana harmonis dalam masyarakat di negara kita dapat diwujudkan,” ujarnya.

Perasmian carnival itu disempurnakan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid yang mewakili Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Hadir sama, Ketua Pengarah JPNIN, Dato’ Azman Amin Hassan, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Mustafar Khalid dan Pengarah JPNIN Terengganu, Tukimin Sarlan.