Oleh FAUZI MOHD
Lebih 10,000 bunga Krathong dihayutkan di Sungai Ibai, Kuala Ibai, di sini sempena perayaan Pesta Loy Krathong 1Malaysia peringkat negeri, malam tadi.
Perayaan yang mauk tahun ke-12 itu disertai kira-kira 12,000 pengunjung pelbagai bangsa termasuk yang meraikannya, masyarakat Siam dari Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak, Perlis serta negara Thailand.
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Toh Chin Yaw yang hadir merasmikan program itu berkata, perayaan itu akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan Terengganu bermula tahun depan bagi tujuan promosi yang lebih agresif.
Katanya, ia bukan sahaja mempelbagaikan kebudayaan berbilang kaum di Malaysia, malah memupuk perpaduan lebih erat serta sikap prihatin melalui kempen membeli bunga Krathong sambil beramal.
"Bunga yang dihayutkan itu dibeli dengan harga RM10 setiap satu dan sebahagiannya hasil jualannya akan disumbangkan kepada Tabung Kebajikan Banjir Negara Thailand," katanya.
Perayaan anjuran Persatuan Loy Krathong Daerah Kuala Terengganu itu turut dihadiri Ahli Dewan Negara yang mewakili masyarakat Siam negara ini, YB. Senator Boon Som Inong.
Perayaan penganut Buddha keturunan Siam itu bagi menunjukkan rasa berterima kasih kepada Dewi Air dengan menghayutkan ribuan bekas berbentuk bunga teratai yang dihiasi bunga, lilin, colok dan duit syiling.
Keturunan itu percaya bahawa bunga Krathong mampu menghayutkan dosa, nasib malang dan penderitaan apabila dibebaskan ke laut bersama kuku atau rambut yang dipotong.
Tambah Dato' Chin Yaw, dengan adanya perayaan itu di sini, rakyat khususnya lebih 500 masyarakat Siam di Terengganu tidak perlu berbelanja besar untuk ke Thailand bagi meraikan perayaan itu setiap tahun.
"Kerajaan negeri turut bersetuju dan memberi sokongan bagi merealisasikan kewujudan Pusat Kebudayaan Siam yang menjadi platfom untuk menyemarakkan budaya dan kesenian masyarakat itu di sini," ujarnya.
Pada majlis itu, Dato' Chin Yaw turut menyampaikan sumbangan kepada Tabung Kebajikan Banjir Negara Thailand, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa Wakaf Tapai dan SJKC Chung Hua Wei Sing masing-masing berjumlah RM2,000.