Halaman

21 November 2011

Kincir air jadi tarikan terbaru di TTI

Oleh: Suriati Ali



Pembinaan kincir air yang berukuran diameter sembilan meter di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu bukan saja mampu menjadi tarikan terbaru malah dapat mengubah data kedatangan pelancong tempatan dan luar negara ke destinasi itu.

Pengarah Urusan TTI, Engku Md Azmi Engku Abd Rahman, kincir air yang bernilai RM6.9 juta itu adalah sumbangan kerajaan negeri yang ingin melihat TTI terus menerima kunjungan ratusan ribu pelancong pada setiap tahun.

Katanya, pembinaan teknologi itu merujuk kepada kincir air umat Islam lampau di Syria yang menggunakan Teori Al-Jazari.

“Di bahagian tapaknya mempunyai empat elemen utama iaitu tempat menunggu, galeri, kincir dan jejambat.

“Apa yang menariknya kincir ini mempunyai takungan yang boleh mencedok air daripada bahagian saluran bawah dan semasa kedudukan paling atas sebelum airnya dialirkan ke jejambat,” katanya.

Engku Azmi berkata, sebelum ini pihak pengurusan TTI dapat menyiapkan monumen ke-22 iaitu Masjid Sultan, Singapura.

“Pembinaan monumen berkenaan termasuk dalam pembangunan fasa kedua dengan peruntukan keseluruhan kira-kira RM6 juta.

“Ia dibina bagi menghargai permintaan ramai pengunjung dari Singapura yang mahu supaya ada mercu tanda daripada negara mereka turut diabadikan sebagai antara monumen di pusat pelancongan terkenal itu.

Katanya, Masjid Sultan yang dibina pada skala 1:7 berbanding rekabentuk asal bangunan itu sebagai menghargai sokongan warga Singapura yang mencatat pengunjung paling ramai ke TTI di kalangan negara Asean.

Katanya, selain Masjid Sultan, monumen Masjidil Haram turut menjalani kerja pengubasuaian yang mana teater sedia ada bakal dinaik taraf kepada 3D yang dikenali sebagai virtual Hajj.

“Apabila siapnya teater baru itu, orang ramai pastinya akan dapat merasai suasana dan pengalaman jemaah haji dengan lebih menarik dan terperinci,” katanya.

Engku Azmi berkata, dengan siapnya kesemua pembangunan itu kelak, pihaknya mengharapkan supaya mampu menarik jumlah pengunjung lebih ramai ke TTI bagi menyaksikan monumen dan seni bina Islam di dalam satu taman yang diselenggara dengan baik oleh pihak pengurusan TTI.



Umno Terengganu sudah bersedia hadapi PRU Ke-13

Oleh: Suriati Ali

Umno Terengganu sedang bergerak dalam satu pasukan untuk berhadapan dengan pihak musuh bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan diumumkan bila-bila masa.

Ketua Penerangan Umno Terengganu, YB Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya sedang membuat persiapan ke arah pilihan raya dengan pergerakan melalui satu pasukan yang dianggap sebagai ‘aliran yang lebih lancar’.

Menurutnya, walaupun sebelum ini Umno Terengganu dikaitkan dengan krisis dalaman, namun tidak mustahil kepada semua peringkat untuk bergerak di bawah satu kepimpinan di peringkat negeri melalui Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

“Umno Terengganu sudah bergerak dalam satu pasukan yang dinakhodakan oleh Datuk Seri Ahmad Said dan saya nampak masalah sebelum ini sudah selesai. Kita juga ke arah persediaan untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta kepemimpinan semua peringkat Barisan Nasional (BN) mengukuhkan semangat bekerja sebagai satu pasukan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bekerja sebagai satu pasukan terutama pada peringkat bahagian menjadi teras kelangsungan parti dan kerajaan BN pada peringkat pusat dan negeri, selain membolehkan kerajaan mendapat mandat jitu daripada rakyat untuk membentuk semula kerajaan.

YB Ahmad Razif yang juga Adun Seberang Takir bersetuju dengan pandangan itu mengakui bahawa semua pihak perlu bersatu padu untuk memastikan agenda BN dan kerajaan tercapai.

“Yang mustahak adalah bersatu dan bekerjasama tanpa apa-apa prasangka dan halangan lain. Apa yang dikatakan oleh TPM itu adalah tepat dan betul,” katanya.




Naik bot ke Zoo Bukit Takal, Sungai Yak Yah

Oleh FAUZI MOHD

Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) bakal memiliki bot sendiri sekali gus membolehkan pengunjung dari luar daerah ini untuk datang ke Kemaman dengan menaiki bot seterusnya bakal menampilkan kelainan dan keunikan tersendiri.


“Pengunjung juga boleh buat pilihan sama ada untuk pulang semula dengan menaiki bas, bot atau sebagainya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Inovasi MPK 2011 yang diadakan di Dewan Berlian Utama, MPK, dekat sini, semalam yang turut dihadiri Yang Dipertua MPK, Mustafar Khalid.


Dalam majlis itu, Dato' Seri Ahmad turut menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang Bulanan dan Anugerah Khidmat Cemerlang Tahunan kepada pekerja yang menunjukkan prestasi membanggakan.


Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, sebanyak dua buah bot untuk MPK telahpun ditempah yang mana setiap satu dijangka boleh memuatkan sehingga 44 orang penumpang.


“Dengan adanya bot nanti pengunjung boleh menaikinya dari Kuala Kemaman terus ke Zoo di Bukit Takal dan ke Sungai Yak Yah untuk melihat kelip-kelip.

Beliau turut memakaikan pangkat kepada anggota penguatkuasa sementara sijil penghargaan dan saguhati berupa sijil simpanan premium Bank Simpanan Nasional (BSN) bernilai RM200 kepada pesara yang besara tahun ini turut disampaikan.

Rakyat diminta berjaga-jaga -SUK

Oleh; Esah Abdullah

Rakyat di negeri ini diminta bersiap sedia dan berjaga-jaga mengenai ancaman banjir yang dijangka berlaku esok (selasa) berikutan hujan lebat sudah mula turun sejak malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri Terengganu (JPBBNT), Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, semua masyarakat terutama yang tinggal di kawasan berisiko tinggi perlu mendapatkan berita terkini dan segera berpindah jika diarahkan berbuat demikian.

“Paling penting, awasi anak masing-masing dan jangan biarkan mereka bermain air dalam keadaan sekarang,” katanya kepada Teganukita ketika dihubungi melalui telefon hari ini.

Setiausaha Kerajaan itu berada di Kuala Lumpur di atas urusan rasmi kerajaan dan dijangka pulang ke Terengganu malam esok dan mengakui telah mendapat maklumat melalui khidmat pesanan ringkas (sms) mengenai hujan lebat mula turun sejak semalam.

Katanya, sebahagian besar berlaku insiden kehilangan nyawa ketika musim tengkujuh bukan kerana kemalangan semata-mata tetapi akibat kelalaian seperti sengaja bermain air , mandi dan menjala ikan.

Dato’ Haji Mazlan turut menggesa semua pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan, Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO), pemimpin komuniti setempat (JKKK) perlu memperkemaskan jentera pengurusan bencana masing-masing supaya lebih proaktif dan responsif pada setiap masa.

“Kita telah bersiap sedia sepenuhnya dari segi bekalan makanan, keperluan harian, kelengkapan logistik, kenderaan serta kekuatan anggota dibarisan hadapan,” katanya.
Terdapat 347 buah pusat pemindahan seluruh negeri bagi menghadapi sebarang kemungkinan di 196 kawasan yang sering dilanda banjir dan boleh menampung 51,745 orang mangsa.

Dalam masa yang sama Jabatan Kebajikan Masyarakat mengenalpasti 112 buah pangkalan hadapan bagi menempatkan bekalan supaya tidak terputus bekalan di samping dapat dihantar dengan cepat ketempat kejadian bencana.




Pengarah Pelajaran bersara wajib hujung bulan ini

Oleh; Esah Abdullah

Semua warga pendidik di negeri ini diminta terus mempertahankan rekod kecemerlangan yang dipegang serta bersama merialisasikan hasrat kerajaan menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu.

Harapan terakhir Itu disuarakan Pengarah Pelajaran Terengganu Encik Razali Daud, 58, yang akan bersara wajib pada 28 November ini.

Katanya, walaupun sudah bergelar pesara, beliau akan terus memberi khidmat dan sokongan padu dengan cara tersendiri dalam bidang pendidikan.

“Saya akan menyumbang apa yang termampu termasuk tenaga dan buah fikiran untuk kebaikan sistem pendidikan di negeri ini,” katanya dalam sidang media ketika mengumumkan keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di pejabatnya.

Katanya, ini majlis terakhir beliau bersama wartawan dan berharap pihak media terus main peranan dalam memertabatkan agenda pendidikan negeri.

Sehubungan itu, Encik Razali telah diraikan dalam majlis perpisahan yang diadakan di pejabatnya semalam dan timbalannya Encik Hashim Mat Zin akan memangku tugas pengarah sebelum perlantikan pengarah baru dibuat.

Beliau yang telah berkhidmat selama 34 tahun dalam sektor pendidikan itu telah mula bercuti sebelum bersara wajib hujung bulan ini.




20 November 2011

Amaran angin kencang, ombak 3.5 meter di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan melaporkan, hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka melanda negari-negeri Timur dan Utara semenanjung termasuk Terengganu bermula Isnin hingga Khamis ini.

Menurutnya, penduduk di kawasan rendah diminta berwaspada kerana hujan tersebut boleh menyebabkan banjir.

Sementara itu, angin kencang Timur Laut selaju 40 hingga 50 kilometer per jam dan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Pantai Timur, termasuk Terengganu.

Angin kencang dan laut bergelora adalah berbahaya kepada bot-bot kecil dan aktiviti laut.


Maidam terima zakat RM267,377 daripada dua anak syarikat Risda

Oleh FAUZI MOHD

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menerima zakat perniagaan berjumlah RM267,377.52 daripada dua anak syarikat Risda, Espek Sdn. Bhd. dan Espek Livestock Sdn. Bhd. hari ini.

Pengurus Besar Espek, Datuk Kamaruddin Mohamed Shah berkata, daripada jumlah itu, RM206,234.81 zakat dikeluarkan daripada hasil keuntungan bagi tahun kewangan 2008 dan 2009 yang dijana syarikat itu.

Katanya, bakinya RM61,142.71 adalah zakat hasil daripada keuntungan Espek Livestock.

Beliau mengumumkan perkara itu selepas menyampaikan wang zakat berkenaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Maidan, Wan Harujan Sulaiman di Hulu Terengganu.

Tambah Datuk Kamaruddin, Espek menguruskan ladang-ladang Risda seluas 47,000 hektar di Semenanjung dan daripada jumlah itu 17,000 hektar di Terengganu.

Katanya, zakat Espek Livestock pula adalah hasil keuntungan daripada kira-kira 9,000 ekor lembu yang diternak di ladang-ladang di Terengganu.

Terengganu bakal 'banjir besar' bermula Selasa ini

Oleh FAUZI MOHD

Terengganu bakal dibanjiri ribuan pengunjung bagi menyaksikan kejohanan lumba kapal layar bertaraf dunia, Piala Monsun 2011 yang dijadual berlangsung selama enam hari bermula 22 November ini di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa di Pulau Duyong, di sini.

Sempena acara tahunan itu, pelbagai acara menarik akan disediakan oleh pihak penganjur selain acara sampingan bertempat di sekitar Pulau Duyong bagi memeriahkan kejohanan sebagai penutup tirai Siri Jelajah Dunia Match Racing 2011 kali ini.

Antara acara yang bakal disediakan adalah pertandingan tarik tali, gusti lengan, pertandingan kayak kebangsaan, pertandingan perahu panjang kebangsaan serta pertandingan perahu tradisional.

Selain itu, acara sukan air seperti pelayaran mencari juara dan demonstrasi serta pertandingan mendayung turut disediakan.

Tidak ketinggalan Kejohanan Terbuka Terengganu Muay Thai yang diikuti Idol Final Piala Monsun 2011 dalam usaha mencari suara terbaik di Piala Monsun.

Begitu juga acara Sasuke Malaysia, NTV7 @ Monsoon Cup dan Media Explorace di samping kempen kesedaran 'Drive Derma Darah' turut diadakan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai pentingnya menderma darah.

Dalam pada itu, bagi memastikan para penonton tidak terlepas acara-acara yang diadakan, kerajaan Terengganu akan menyediakan kemudahan pengangkutan percuma ke Pulau Duyong di sepanjang Piala Monsun berlangsung.

Bagi tujuan itu, dua buah bas dan enam bot penambang disediakan untuk keperluan penonton berulang-alik ke Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa di Pulau Duyong.

Bot-bot penambang akan membawa penonton dari Jeti Shahbandar ke jeti di Ri-Yaz manakala pengunjung yang memandu sendiri ke lokasi itu berpeluang menggunakan tempat letak kereta di luar pintu masuk utama resort, di mana 20 buah beca disediakan untuk membawa masuk ke lokasi kejohanan.

Sementara itu, penganjur Piala Monsun turut menyediakan perkhidmatan bas shuttle percuma yang akan mengambil penumpang dari satu lokasi yang ditetapkan dan berhenti di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa.


Tiga produk tempatan ke pasaran antarabangsa


Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan berusaha mengangkat tiga produk keluaran usahawan tempatan berasaskan makanan, kosmetik dan farmaseutikal untuk melangkah ke pasaran antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamed Awang Tera berkata, setakat ini pasaran produk berkenaan sudah diterima baik di dalam negara.

“Untuk pasaran luar negara, produk-produk ini perlu diubahsuai mengikut cita rasa dan kehendak pengguna di luar negara,”katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Halal Malaysia di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Haji Azmi Razik; Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Dato’ Hafsah Hashim dan Pengarah Urusan Strategik, Jabatan Standard Malaysia, Encik Rafik Bakri Zakaria.

Katanya, kerajaan turut merancang mengeluarkan lima produk baru setiap tahun untuk meningkatkan pendapatan di kalangan rakyat seterusnya dapat menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih baik.

“Sehingga ini kita berjaya memberi latihan dalam bidang usahawan kepada lebih 5,000 orang dan lebih 3,000 mengikuti pelbagai kursus keusahawanan di negeri ini,” katanya.

Menurutnya daripada jumlah berkenaan hanya 10 peratus telah berjaya mengenengahkan produk masing-masing dan kerajaan akan sentiasa memberi dorongan dan bantuan dari segi insentif kewangan, bimbingan dan peluang pasaran kepada pengusaha dan pengeluar yang berminat.

Tambahnya, moga seminar yang julung kali diadakan ini dapat membantu membangunkan industri halal di negeri ini dan berharap produk makanan yang dikeluarkan oleh pengusaha tempatan dapat memenuhi standard dan piawaian halal diperingkat antarabangsa.

Dato’ Haji Mohamed kemudiannya menyaksikan penyerahan zakat perniagaan daripada QSR Brands (M) Berhad sebanyak RM46,389 dan KFC Holdings (Malaysia) Berhad berjumlah RM39,962 kepada Pegawai Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Ustaz Nazli Ngah.





PHM dedah kepentingan pengguna dan pengusaha

Oleh; Esah Abdullah

Sebanyak sembilan kertas kerja mengisi slot Program Halal Malaysia (PHM) yang berlangsung di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) selama dua hari bermula hari ini.

Program bertujuan mendedahkan kepentingan dan keperluan halal serta memaksimunkan standard halal pihak pengguna, pengeluar, usahawan dan masyarakat dianjurkan oleh Jabatan Standard Malaysia (JSM) dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu.

Ketua Pengarah JSM, Puan Fadilah Baharin, menyatakan program ini merupakan salah
satu inisiatif pembaharuan strategik di bawah program tranformasi ekonomi bagi memastikan perniagaan mematuhi standard antarabangsa dalam memudahkan hubungan ke rantaian penawaran dunia.

“Ia memberi manfaat kepada semua pihak bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkenaan aplikasi standard halal sedia ada dan akan datang di samping meningkatkan integriti produk halal di persada antarabangsa.

Antaranya kertas kerja ‘Perbankan Islam Solusi Kewangan Industri Halal’ oleh Pengurus Besar Am Islamic Bank, Datuk Zainal Abidin Mohamed dan ‘Keberkatan Bisnes Dengan Berzakat Dan Berwakaf’ oleh Penolong Pengarah Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Ustaz Mustapayyudin Abdul Halim.

Pengarah Urusan QSR Brand Berhad/KFC Holding, Haji Jamaludin Md. Ali turut memberi tips mengenai peluang bisnes bersama KFC/ Ayamas dan Pensijilan Halal; Prosedur dan Isu Terkini oleh Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ustaz Kamarul Nizal Idris.

Seramai 150 peserta dari kalangan pengguna, pengusaha, usahawan dan wakil jabatan kerajaan, badan berkanun dan swasta menyertai program yang julung kali diadakan di negeri ini.