Oleh: Suriati AliPembinaan kincir air yang berukuran diameter sembilan meter di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu bukan saja mampu menjadi tarikan terbaru malah dapat mengubah data kedatangan pelancong tempatan dan luar negara ke destinasi itu.
Pengarah Urusan TTI, Engku Md Azmi Engku Abd Rahman, kincir air yang bernilai RM6.9 juta itu adalah sumbangan kerajaan negeri yang ingin melihat TTI terus menerima kunjungan ratusan ribu pelancong pada setiap tahun.
Katanya, pembinaan teknologi itu merujuk kepada kincir air umat Islam lampau di Syria yang menggunakan Teori Al-Jazari.
“Di bahagian tapaknya mempunyai empat elemen utama iaitu tempat menunggu, galeri, kincir dan jejambat.
“Apa yang menariknya kincir ini mempunyai takungan yang boleh mencedok air daripada bahagian saluran bawah dan semasa kedudukan paling atas sebelum airnya dialirkan ke jejambat,” katanya.
Engku Azmi berkata, sebelum ini pihak pengurusan TTI dapat menyiapkan monumen ke-22 iaitu Masjid Sultan, Singapura.
“Pembinaan monumen berkenaan termasuk dalam pembangunan fasa kedua dengan peruntukan keseluruhan kira-kira RM6 juta.
“Ia dibina bagi menghargai permintaan ramai pengunjung dari Singapura yang mahu supaya ada mercu tanda daripada negara mereka turut diabadikan sebagai antara monumen di pusat pelancongan terkenal itu.
Katanya, Masjid Sultan yang dibina pada skala 1:7 berbanding rekabentuk asal bangunan itu sebagai menghargai sokongan warga Singapura yang mencatat pengunjung paling ramai ke TTI di kalangan negara Asean.
Katanya, selain Masjid Sultan, monumen Masjidil Haram turut menjalani kerja pengubasuaian yang mana teater sedia ada bakal dinaik taraf kepada 3D yang dikenali sebagai virtual Hajj.
“Apabila siapnya teater baru itu, orang ramai pastinya akan dapat merasai suasana dan pengalaman jemaah haji dengan lebih menarik dan terperinci,” katanya.
Engku Azmi berkata, dengan siapnya kesemua pembangunan itu kelak, pihaknya mengharapkan supaya mampu menarik jumlah pengunjung lebih ramai ke TTI bagi menyaksikan monumen dan seni bina Islam di dalam satu taman yang diselenggara dengan baik oleh pihak pengurusan TTI.