Halaman

28 November 2011

UMT juara badminton Piala Isteri MB

Oleh; Esah Abdullah


Pasukan badminton Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) muncul juara mengalahkan 11 pasukan yang bertanding dalam Kejohanan Badminton Wanita Piala Isteri Menteri Besar Terengganu.



Tempat pertama menerima piala pusingan, wang tunai RM1,000 dan medal, manakala naib pasukan Universiti Sultan Mizan Zainail Abidim (UniSZA) (kedua) menerima wang tunai RM750 dan medal.



Pasukan UMT Ko-Kurikulum (ketiga) bersama Institut Latihan Perindustrian Petronas (Instep) (keempat) masing-masing menerima wang tunai RM500 dan medal.

Kejohanan anjuran Pusat Sukan dan Rekreaksi UMT yang pertama kali diadakan ini menerima penyertaan daripada sembilan Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta (IPTA/IPTS) di negeri ini dalam usaha meningkatkan kemahiran insaniah kepada pelajar khasnya dalam acara sukan.



Antara IPT yang menghantar penyertaan ialah UMT sendiri selaku tuan rumah, UniSZA, Akademi Laut Malaysia (Alam) , Kolej Komuniti dan Institut Latihan Perindustrian Petronas (Instep).

To’ Puan Seri Norliza hadir merasmikan kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail UMT Mengabang Telipot, Kuala Terengganu.




Dr Ramzi dijatuhi hukuman penjara kes SMS Ugut

Bekas Setiausaha Politik Dato’ Seri Idris Jusoh, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir (gambar kiri) didapati bersalah terhadap semua pertuduhan yang dihadapinya, termasuk menghantar Sistem Pesanan Ringkas (SMS) ugutan bunuh kepada tiga wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Hakim Mahkamah Seksyen, M Bakri Abd Majid, setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak termasuk tertuduh yang memilih memberi keterangan bela diri secara bersumpah, memutuskan Dr Ahmad Ramzi bersalah terhadap semua pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman masing-masing tiga bulan penjara untuk kesalahan mengugut Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka YB Mohd Ariffin Abdullah, ADUN Permaisuri YB Abd Halim Jusoh dan ADUN Ajil Dato’ Rosol Wahid di E726, Kampung Kubang Parit antara 11.21 malam dan 11.25 malam, pada 13 April 2009.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 manakala untuk kesalahan memfitnah bekas Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Terengganu Dato’ Wan Ahamad Wan Muda, yang kini Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, dengan menghantar SMS ugutan melalui nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Dato’ Wan Ahamad, dibawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, tertuduh dikenakan hukuman penjara tiga bulan.

Hakim M Bakri memerintahkan hukuman itu dijalankan secara berasingan.

Ketika membacakan keputusannya, hakim berkata mahkamah perlu mengikuti perkembangan semasa sejajar dengan perkembangan dunia tanpa sempadan, yang menyaksikan perbuatan jenayah juga berubah termasuk menggunakan medium baru seperti internet.

"Kecederaan reputasi atau harga diri, tidak kurang pedihnya dengan kecederaan fizikal. Sehubungan itu, hukuman perlu dijatuhkan seiring dengan perkembangan ini," katanya.

Sebelum itu, M Bakri berkata setelah membandingkan dengan teliti bukti-bukti, pihak pembelaan didapati gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan dihadapinya.

Dr Ahmad Ramzi merupakan bekas Setiausaha Politik Dato’ Seri Idris Jusoh, bekas Menteri Besar Terengganu.


Tertuduh diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor
Mahmood dan Rosli Abd Rahman manakala pendakwaan hari ini
dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Timbalan Pendakwa Raya,
Mohd Jazamuddin Ahmad Nawawi, Ooi Chooi Gaik and Nur Azimul
Azami.

Ketika merayu hukuman diringankan, pihak pembelaan berkata kesalahan ini merupakan yang pertama dilakukan tertuduh dan ia juga tidak melibatkan keganasan serta tidak memberi kesan kecederaan kepada mana-mana pihak.

Tertuduh perlu menangung isteri dan tiga orang anak yang masih kecil.

Dr Ahmad Ramzi juga memberi kerjasama yang baik kepada
pihak pendakwaan sepanjang kes berlangsung.

Pihak pembelaan juga meminta mahkamah hanya mengenakan
denda yang setimpal terhadap setiap kesalahan tertuduh.

Pihak pendakwaan pula meminta mahkamah menjatuhkan
hukuman setimpal terhadap tertuduh dan hukuman diminta
dijalankan berasingan terhadap setiap pertuduhan.

Dalam hujahnya, Mohd Jazamuddin berkata walaupun
perbuatan tertuduh tidak mendatangkan kecederaan fizikal, ia telah menjatuhkan reputasi Dato’ Wan Ahamad, sekaligus menjejaskan reputasi kerajaan pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Pihak pembelaan memohon mahkamah menangguhkan hukuman sementara pihaknya memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi sebelum 1 Disember ini.

Hakim membenarkan permohonan itu dan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan dua orang penjamin.



Anuar Manan beralih arah, TSG tidak terjejas

Oleh FAUZI MOHD

Pasukan lumba basikal profesional Terengganu, Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) akan kehilangan pelumba sensasi Anuar Manan musim 2012 ini.

Pengurus TSG, Ahmad Kamarul Idrus berkata, pelumba yang berasal dari Kuala Ibai, Kuala Terengganu itu akan menyertai pasukan divisyen dua, Champion System di Hong Kong.

Beliau berkata, Anuar akan meninggalkan TSG atau pasukan divisyen tiga untuk mengembangkan bakat dan juga mengharumkan nama negeri dan negara dalam sukan berbasikal.

"TSG mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Anuar kerana banyak membantu menaikkan nama Terengganu di peringkat Asia semasa bersama-sama pasukan itu," katanya.

Bagaimanapun, kata Ahmad Kamarul, kehilangan Anuar tidak banyak menjejaskan pasukan TSG yang akan menghadapi banyak kejohanan yang lebih mencabar pada masa akan datang.

Menurut Ahmad Kamarul, pasukan itu masih lagi mempunyai ramai pelumba setaraf dengan Anuar seperti pemenang dua pingat emas pada Sukan SEA XXVI Indonesia, Haris Salleh.

Beliau berkata, TSG tidak kecewa dengan pemergian Anuar, sebaliknya berbangga kerana beliaulah satu-satunya anak Terengganu yang akan menyertai perlumbaan di Eropah.

Katanya, pasukan yang diwujudkan kerajaan negeri itu kini mempunyai sembilan pelumba tempatan dan empat pelumba import masing-masing dua dari Korea Selatan dan Jepun


Sirkit Match Racing Malaysia Februari 2012

Oleh FAUZI MOHD

Buat julung kalinya, Persatuan Perlayaran Malaysia (MYA) bakal bekerjasama dengan Tbest Events Sdn. Bhd. (Tbest) bagi menganjurkan Sirkit Match Racing Malaysia dalam usaha melahirkan lebih ramai pelayar terbaik negara.

Kerjasama itu dimeterai melalui satu penjanjian menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang turut disaksikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di Pulau Duyong, petang semalam.

Sirkit yang bakal dianjurkan pada Februari tahun depan itu akan melibatkan empat lokasi iaitu perairan Lumut, Klang dan Langkawi manakala berakhir di Pulau Duyung.

Menurut Menteri Besar, ia merupakan satu penganjuran yang penting dalam sukan pelayaran negara apabila bakal memberi peluang kepada bakat-bakat muda untuk melatih kemampuan mereka.

Katanya, kerajaan negeri menyambut baik penganjuran berkenaan dan menyokong sepenuhnya jika lebih banyak acara seumpamanya diadakan pada masa akan datang.

"Kita mempunyai kemudahan bertaraf dunia di sini dan rugi jika tiada penganjuran seperti ini diadakan pada waktu lain.

Saya berharap penganjur di peringkat antarabangsa juga sudi menjadikan Pulau Duying sebagai salah satu lokasi sirkut mereka," katanya.

Dalam MoU itu, Tbest diwakili oleh Pengurus Operasi Senior, Shafique Iqbal manakala MYA diwakili oleh Lukman Abu Bakar.

Turut hadir, Pengerusi Tbest, Tan Sri Sabaruddin Chik dan Presiden MYA, Kamaruzzaman Abu Kassim.

27 November 2011

Kalahkan Berntsson Piala Monsun, Ian Williams muncul juara berganda


Aksi perlawanan akhir antara pasukan GAC Pindar dengan Berntsson Sailing Team bagi merebut trofi Monsun Cup di Pulau Duyung, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Harish Fadzillah dan Zulkipli Putra.

Oleh FAUZI MOHD

Ian Williams dari pasukan GAC Pindar meraih kemenangan berganda, juara Siri Akhir Jelajah Dunia (WMRT) 2011 dan juara Piala Monsun hari ini.

Perlawanan yang berlangsung di Pulau Duyong, Kuala Terengganu itu menyaksikan Williams mengalahkan saingannya dari Sweden, Johnie Berntsson dari pasukan Berntsson Sailing Team pada pusingan akhir.

Pelayar Britain itu mengumpul tiga mata berbalas satu oleh Berntsson, sekali gus mengesahkan kemenangan milik Williams yang baru semalam dinobat Juara Dunia WMRT kali ketiga.



Sebagai juara Piala Monsun, Williams yang dibantu empat krew, Gerry Mitchell, Mal Parker, Bill Hardesty dan Matt Cassidy, membawa pulang hadiah wang tunai RM310,000 dengan piala pusingan manakala Berntsson meraih RM215,000.

Penyampaian hadiah disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said sejurus pusingan akhir tamat.

Turut serta pada majlis penyampaian hadiah itu mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Pegawai Eksekutif WMRT, Jim O'Toole.

Ia kejuaraan dunia kali ketiga dirangkul Williams yang pernah memenangi kejuaraan lumba kapal layar paling berprestij itu pada tahun 2007 dan 2008.


Dengan berakhirnya saingan hari ini, Williams mengumpul 144 mata, manakala naib juara WMRT dimenangi saingan terdekatnya, Francesco Bruni (Bruni Racing) dari Itali.

Bruni yang sebelum ini berhasrat menjadi pasukan pertama dari Itali merangkul kejuaraan WMRT ketinggalan dua mata di belakang Williams dengan 112 mata.

Sebagai juara WMRT, Williams membawa pulang US$100,000 (RM319,740) dan piala pusingan, Bruni US$80,000 (RM255,792) manakala tempat ketiga juara dunia WMRT dirangkul Berntsson dengan 106.2 mata yang membawa pulang US$70,000 (RM 223,818).

Sementara itu, tempat ketiga kejohanan Piala Monsun dimenangi pelayar Jesper Radich (Adrian Lee & Partners) yang mengalahkan Datuk Peter Gilmour (YANMAR Racing) pada saingan penentuan tempat ketiga dan keempat.



Radich, dari Denmark membawa pulang RM155,000 manakala Gilmour dari Australia, membawa pulang RM140,000 setelah menduduki tangga keempat.

Peserta tunggal negara, Jeremy Koo yang mengemudi pasukan Abdullah Chan/ KRT menduduki tempat terakhir, namun masih mampu tersenyum setelah berjaya membawa pulang RM50,000 hadiah tempat ke-12.

Piala Monsun, kejohanan terakhir dari sembilan perlumbaan dan penutup WMRT, menawarkan hadiah keseluruhan RM1.39 juta.


Teganukita 51




Kalau kita tidak buat orang lain akan ambil – Pak Lah


Tun Abdullah Ahmad Badawi diiringi DatuK Wan Hisham Wan Salleh ketika melawat Pusat media kejohanan Piala Monsun di Pulau Duyong, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh FAUZI MOHD

“Bagi saya, tiada pilihan lain selain ia (Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun) diteruskan di Pulau Duyong,” kata mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menurutnya, bukan sesuatu yang mudah untuk Terengganu mendapat peluang menganjurkan kejuaraan sukan bertaraf antarabangsa di mana juara dunia akan ditentukan di sini.

Katanya, acara yang mendapat liputan di lebih 120 buah negara seluruh dunia itu terbukti menguntungkan Terengganu dan ia telah banyak mempromosi negeri dan negara terutama dalam pelancongan.

“Saya sokong ia terus diadakan di Terengganu. Kalau kita tidak buat (anjurkan), orang lain akan ambil,” katanya.


Beliau berkata demikan kepada pemberita semasa melawat bilik media di Ri-Yaz Heritage, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, sebentar tadi.

Turut hadir, Naib Presiden I Persatuan Pelayaran Malaysia, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh.

Kejohanan sejak tahun 2005 itu kali ini menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah kira-kira RM1.39 juta dengan melibatkan 12 pasukan memburu kejuaraan Match Racing Malaysia (MMRC) 2011.

Bekas Ketua Wanita UMNO Seberang Jertih dapat kerusi roda

Oleh: Mohammad Ishak




Pengorbanan seorang pemimpin wanita Umno terhadap parti yang sebelum ini aktif memajukan golongan wanita di kampungnya akhirnya mendapat pembalasan selepas dia terlantar sakit akibat lumpuh anggota.

Maridah Awang,53, bekas Ketua Wanita Umno Seberang Jertih, tidak menyangka jasa dan baktinya terhadap masyarakat ketika memagang jawatan berkenaan rupanya mendapat simpati dan penghormatan daripada pemimpin parti itu.

Dia yang terlantar sakit di rumahnya terkejut apabila dikunjungi Timbalan Ketua Wanita Umno Bahagian Besut, Toh Puan Seri Wan Naimah Abd Latif, yang berkunjung ke rumahnya hari ini dan menghadiahkan kerusi roda kepadanya.

Rombongan Wanita Umno berkenaan yang mendapat maklumat mengenai penderitaan Maridah segera bertindak mmemberikan beliau kerusi roda itu untuk memudahkan Maridah bergerak di dalam rumahnya.

Wan Naimah berkata, skuad prihatian wanita bahagian bukan sahaja memberi perhatian terhadap ahli biasa malah jika ada bekas pemimpin peringkat cawangan dan bahagian mereka juga akan diberi bantuan sekadar mampu.

Katanya, pihaknya amat bersimpati terhadap Maridah yang sebelum ini banyak menggerakkan jentera parti khususnya wanita di kawasan Seberang Jertih.

“Kali ini tiba pula masanya pihak wanita bahagian membantunya dengan menyediakan kerusi roda kerana dia memerlukan kemudahan berkenaan untuk bergerak selepas diserang penyakit lumpuh sebulan lalu,” katanya.

MB ajak umat Islam memiliki sikap mulia


Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada anak Allahyarham Dato' Awang Jabar ketika sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Terengganu di Stadium Negeri. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar mengajak umat Islam di negeri ini menghentikan perangai buruk seperti gemar menabur fitnah, mendengar hasutan dan mengamalkan sikap berpuak-puak kepada amalan mulia sempena sambutan Maal Hijrah ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sudah tiba masanya mereka membuang tabiat buruk dan menggantikannya dengan amalan baik sesuai dengan tuntutan ajaran Islam.

Katanya, maksud hijrah itu juga perlu dikembangkan daripada hidup miskin kepada kehidupan lebih selesa, jika seseorag itu buta huruf kepada memiliki ilmu yang tinggi atau erti kata lain celik ilmu.

“Setiap insan atau umat Islam itu tidak perlu jemu menuntut ilmu yang nyata untuk kesejahteraan di dunia dan di akhirat, bak kata perpatah `tuntutlah ilmu sehingga ke liang lahad dan tuntutan ilmu sehinggalah ke negeri China’,” katanya ketika berucap di majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Terengganu, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, pagi ini.



Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.

Tetamu kehormat lain, Mufti Terengganu, Dato’ Dr Haji Alias Abdullah dan beberapa wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Dalam majlis itu, Allahyarham Dato’ Haji Awang Jabar diumumkan sebagai tokoh Maal Hijrah dan wakilnya berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000.



Manakala Masjid Kampung Rawai, Marang memenangi tempat pertama bagi anugerah masjid mukim terbaik; Haji Mohamed @ Razak Abdullah dari Kampung Gong Balai, Marang (Anugerah Imam Cemerlang) dan Haji Abu Bakar Said pula dinobatkan sebagai Anugerah Bilal Cemerlang.

Penerima lain iaitu Syarikat Ibrahim MN Industri (M) Sdn Bhd pula diumumkan sebagai Anugerah Kilang Produk Terbaik.


Dato’ Seri Ahmad menambah, hijrah memerlukan pengorbanan yang besar dalam melaksana perubahan bagi mencapai sesuatu yang lebih baik dan cemerlang.

“Oleh itu, di dalam konteks globalisasi hari ini, setiap dari kita dituntut menanam sikap ingin melaksana pembaharuan dan kemajuan dengan semangat dan azam yang tinggi berlandaskan prinsip dan syariat Islam,” katanya.


Banjir tidak jejas sambutan Maal Hijrah di Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Ketibaan musim tengkujuh dan banjir yang melanda lima daerah di negeri ini minggu lalu, tidak menjejaskan pelbagai persiapan dan aturcara yang disusun sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1433 Hijrah/2011 Masehi.



Maal Hijarh di Terengganu dimulakan dengan Sambutan Ambang Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Masjid At-Taqwa, Durian Burung, Kuala Terengganu, malam tadi.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiusaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri, hadir pada majlis berkenaan.



Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Tahun 1433 Hijrah/2011 Masehi adalah bertemakan "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah".



Majlis berkenaan dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun, solat Maghrib, bacaan doa akhir tahun, solat hajat dan bacaan Yasin.

Sebelum itu, bekas Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Dato’ Ismail Ali menyampaikan Bicara Khas Maal Hijrah yang turut disertai jemaah sekitar.

Pada pagi ini, Menteri Besar, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, ketua-ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan turut hadir pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Stadium Negeri, yang dimulakan kira-kira jam 9.30 pagi.

Dato’ Seri Haji Ahmad menyampaikan anugerah Tokoh Maah Hijrah Negeri Terengganu dan pelbagai anugerah sempena sambutan Maal Hijrah kepada para pemenang di majlis tersebut.