Halaman

01 December 2011

Irfan Bakti rangkul Anugerah Jurulatih Terbaik


Oleh FAUZI MOHD

Bekas jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim merangkul Anugerah Jurulatih Terbaik selepas berjaya membimbing Skuad Penyu menjuarai Piala FA serta naib juara Piala Malaysia dan Liga Super tahun ini.

Irfan diumumkan sebagai pemenang pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan di Shah Alam, semalam.

Sementara itu bukan rezeki penjaga gol kebangsaan dan Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat untuk memenangi Anugerah Supermokh untuk Pemain Paling Bernilai walaupun mempamerkan persembahan hebat tahun ini.

Kecundang kepada Norshahrul Idlan Talaha, yang juga rakan sepasukannya, Khairul Fahmi atau Apek tetap tidak pulang dengan tangan kosong apabila Anugerah Penjaga Gol Terbaik menjadi penawar dukanya selepas menewaskan Farizal Marlias dan Sharbinee Allawee.

“Saya tetap gembira meraih anugerah ini (Penjaga Gol Terbaik) yang saya sifatkan sebagai satu pengiktirafan kepada pencapaian saya sepanjang musim lalu.

“Walaupun tidak memenangi Anugerah Pemain Paling Bernilai, itu bukan satu masalah kerana Norshahrul adalah rakan sepasukan saya dan saya juga tumpang gembira dengan kemenangannya, ” katanya.

Safiq Rahim, yang sedang menjalani latihan di Cardiff City menepati ramalan apabila muncul pemenang Pemain Tengah Terbaik, sementara Norhafiz Zamani Misbah merangkul Pertahanan Terbaik walaupun tidak banyak beraksi pada musim lalu kerana kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).

Bagi lain-lain anugerah, Pemain Harapan Terbaik dirangkul pemain Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Noor, Persatuan Bola Sepak Selangor dianugerahkan Persatuan Bola Sepak Terbaik manakala PKNS dinobat Kelab Bola Sepak Terbaik.

Wan Zack Haikal yang mengetepikan Mohd. Fadhli Shas dan Mohd. Irfan Fazail mengakui anugerah itu tidak langsung dapat mengubati duka yang gagal memberikan persembahan baik pada dua pertemuan kelayakan pusingan akhir Olimpik baru-baru ini.

“Memang saya baru pulih daripada kecederaan tetapi saya tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan atas persembahan saya.

“Saya masih sedih kerana gagal membantu negara mencapai sebarang kemenangan dalam dua terdahulu terutama semasa kita kalah 2-3 kepada Bahrain, ” katanya.

Jabatan Kehakiman Syariah sedia khidmat terbaik

Oleh; Esah Abdullah

Bermula Januari tahun depan, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) akan melaksanakan beberapa penambahbaikan dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat yang berurusan dengan jabatan itu.

Ketua Hakim Syarie JKST, Dato’ Haji Ismail Yahya berkata, penambahabaikan itu termasuk mengukuhkan pengunaan sistem inquisitorial semasa prosiding perbicaraan.

“Perubahan kepada proses sulh dan kaedah sulh yang dilaksanakan melalui mediasi bagi kes sebelum prosiding perbicaraan juga diberi perhatian serius,” katanya.

Selain itu katanya, usaha mempertingkatkan pemakaian pengambilan nota keterangan secara langsung dan telus serta menyediakan kaedah memperolehi alasan penghakiman yang bermutu secara bertulis dan bersegera.

Tambahnya, JKST turut memperkenalkan kaedah pemakaian fail kes dalam talian yang disimpan dalam sistem e-syariah di samping menambah inovasi seperti memastikan keberhasilan dapat dikira dalam e-syariah.

Sehingga ini katanya, pelbagai penambahabaikan telah dilaksanakan termasuk memasang tv intraktif di 11 lokasi di jabatan berkenaan untuk memudahkan pelanggan membuat semakan kes.

“JKST telah membuat ketetapan setiap kes akan disebut dalam masa 21 hari dari tarikh didaftar bagi mengatasi rungutan orang ramai penyelesaian sesuatu kes dapat dipersepatkan,” katanya.

Katanya, pihaknya juga berjaya menyiapkan nota bicara dalam tempoh satu jam sebaik habis prosiding berbanding enam minggu sebelum ini.





300 peserta, 30 negara sertai cabaran 4X4 Rainforest Challenge International Terengganu Sabtu ini.

Oleh FAUZI MOHD

Cabaran kembara sukan lasak kenderaan 4X4 Rainforest Challenge International Terengganu 2011 (RFC 2011) mencatatkan penyertaan paling ramai 300 peserta dari 30 buah negara bermula Sabtu ini.

Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan) Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil berkata, kejohanan 10 hari kali ke-14 itu membabitkan penyertaan luar negara seperti Australia, Rusia, Filipina, Venezuela, Amerika Syarikat, Austria, China dan Itali.

Turut memberi saingan peserta dari India, Sri Lanka, Perancis, Vietnam, Thailand, United Kingdom, Singapura, Indonesia serta Malaysia.

"Cubaan mengatasi cuaca, hutan hujan tropika dan bentuk muka bumi di kala Monsun Timur Laut melanda merupakan pengalaman yang amat mencabar kepada peserta RFC tahun ini," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada kejohanan RFC 2007 dan 2008 peserta menghadapi cabaran getir apabila terkandas di dalam hutan dalam cuaca yang tidak menentu di mana peserta terpaksa diselamatkan oleh komando tentera.

Che Wan Mohd Zulkifli berkata, acara tahun ini yang meliputi laluan Sungai Loh dan laluan Terminator di Hulu Dungun, laluan berbukit, laluan Predator di Hulu Terengganu dan laluan terakhir di kem tiga bakal memberi cabaran paling sengit kepada peserta di Hulu Kemaman.

Katanya, hujan yang tidak menentu bakal memberi impak kepada peserta di mana daripada maklumat yang diterima, bakal terdapat peningkatan purata hujan di negeri itu.

"Pengurusan teknikal telah mengambil langkah berhati-hati dalam memastikan laluan yang selamat daripada bencana banjir dan tanah runtuh, termasuk laluan kecemasan sekiranya berlaku bencana.

"Namun seperti biasa, di dalam mana-mana pengembaraan, tiada apa yang boleh memberi jaminan sehinggalah hari kejohanan memandangkan cuaca yang amat tidak menentu," katanya.

Beliau berkata, kejohanan RFC itu yang merupakan salah satu sukan lasak di dunia akan dirasmikan Setiausaha Kerajaan negeri Terengganu Datuk Mazlan Ngah bertempat di Pulau Warisan, Kuala Terengganu.

“Sejurus selepas perasmian, konvoi peserta turut ke perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak untuk pertunjukkan aksi lasak berhalangan,” katanya.

Terengganu wujud hubungan baik dengan Arab Saudi

Kerajaan Terengganu berjaya mengadakan hubungan baik dengan kerajaan Arab Saudi menerusi penghantaran hakim mahkamah syariah negeri ini menghadiri kursus kehakiman di negara Teluk itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata bermula tahun lalu kerajaan negeri telah menghantar seramai 20 hakim mahkamah syariah mengikuti kursus selama sebulan di Riyadh.

"Segala biaya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Arab Saudi," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Inovasi peringkat Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, kelmarin.

Beliau berkata, dalam masa yang sama kerajaan negeri meluluskan sejumlah peruntukan membolehkan ketua hakim dan hakim-hakim mahkamah berkenaan menghadiri kursus Mediasi Lanjutan di Australia tahun ini.

Beliau berharap pegawai-pegawai yang telah berjaya mengikuti kursus tersebut mempraktik dan melaksanakan apa yang diperolehi dalam penghakiman setiap hari.

"Semoga hakim dapat menyelesaikan segera kes-kes yang tertunggak sebelum ini," katanya.

Dato’ Haji Mazlan berkata, yang lebih penting lagi pihak-pihak yang bertelagah tidak merasakan diri mereka dianiayai dan mengelak masyarakat daripada membuat tuduhan yang tidak baik.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Ismail Yahya berkata mahkamah syariah seluruh Terengganu berjaya menyelesaikan kira-kira 340 kes setiap bulan atau lebih 15,000 kes setahun.

Menurut beliau, kebanyakan kes itu ialah mengenai perceraian dan tuntutan nafkah dan kini nota bicara kes di mahkamah dapat diselesaikan dalam masa satu jam selepas perbicaraan berbanding tiga atau enam bulan sebelum ini.



Kerajaan usaha atasi banjir di Setiu



Satu projek khusus dan menyeluruh untuk mengatasi masalah banjir di daerah Setiu sedang dirangka Kerajaan Terengganu dengan melibatkan perbelanjaan yang besar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, YB Haji Asha'ari Idris berkata pihaknya telah memohon peruntukan Kerajaan Pusat di bawah projek mengatasi masalah banjir di Lembah Setiu sejak tahun lepas, tetapi ia belum diluluskan lagi.



"Kita memang ada projek khusus untuk mengatasi masalah banjir di sini. Cadangan kita untuk mendalamkan muka kuala agar dapat mengalirkan air terus ke laut.

"Projek yang menelan belanja ratusan juta itu belum bermula kerana ia masih dalam pertimbangan kerajaan pusat," katanya.
YB Asha'ari berkata apabila projek itu menjadi kenyataan kelak, ia boleh mengatasi atau mengurangkan masalah banjir yang berlaku setiap tahun di daerah itu.

Bagaimanapun, katanya projek tahunan mendalamkan sungai Setiu yang dilaksanakan kerajaan Terengganu memang ada, tetapi ia tidak memadai.

"Ia kena ada projek khusus yang boleh mengatasi masalah banjir secara keseluruhan atau sekurang-kurangnya mengurangkan masalah itu.



"Jika menjadi kenyataan, ia bukan setakat menyelamatkan penduduk, tetapi juga boleh mengatasi masalah petani yang tanaman mereka sering ditenggelami air," katanya.

Banjir yang melanda Terengganu minggu lepas menyaksikan daerah Setiu paling teruk ditimpa bencana alam itu.

Selain itu, kira-kira 60 petani di Kampung Tasik dan Kampung Buluh di daerah itu kerugian hampir setengah juta ringgit apabila tanaman padi rosak akibat ditenggelami air.



30 November 2011

Sukan bina kekuatan fizikal dan mental

Oleh; Esah Abdullah

Aktiviti bersukan merupakan satu elemen penting dalam kehidupan individu, kerana kekuatan dan keupayaan fizikal yang menguasai kemahiran dan strategi itu bergabung dalam aktiviti berkenaan.

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud berkata, individu bergiat cergas dalam sukan mampu memberi memberi kesan langsung terhadap fizikal, mental dan juga psikologi.

“Kecemerlangan dan ketrampilan dalam aspek pembangunan intelek turut dilengkapi dengan kekuatan jasmani dan kemahiran insaniah sejajar dengan aspirasi kerajaan melahirkan modal insan berkualiti,”.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Kejohanan Badminton Wanita Piala Isteri Menteri Besar di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Prof. Dr Yahya Ibrahim; Pensyarah Jabatan Perakaunan dan Kewangan, Prof. Madya Dr. Norsiah Ahmad dan Ketua Pusat Sukan dan Rekreasi, Haji Mohamad Rafee Jusoh.

To’ Puan Seri Norliza kemudiannya mengalu-alukan usaha pihak UMT menyuburkan aktiviti riadah ini serta peka dengan tuntutan semasa dengan mengadakan kejohanan berasingan antara pelajar lelaki dan wanita untuk memberi keselesaan keduanya.

“Sukan wanita bukan sahaja dapat melahirkan atlet berpotensi tetapi turut menggalakkan golongan itu untuk jadi juara di peringkat antarabangsa,” katanya.



Beliau juga berharap kejohanan ini dijadikan acara tahunan kerana penglibatan pelajar dalam bidang sukan memang terbukti mampu membentuk sifat individu yang dinamik dan berketerampilan.

Sementara itu, Prof. Dr Yahaya Ibrahim dalam ucapannya berkata, universiti mahu melihat atlet menjadi contoh atau role model kepada pelajar lain.

Katanya, dalam sukan pelbagai perkara boleh dipelajari termasuk patuh kepada arahan jurulatih, membina kesepaduan pasukan menerusi kesabaran, ketetapan masa, bertolak ansur dan bekerjasama.




Delegasi Terengganu ke Sukan Sea timba pengalaman


Oleh FAUZI MOHD

Pelbagai perkara telah dipelajari oleh delegasi Terengganu yang berpeluang membuat lawatan tinjauan ke Sukan Sea Jakarta/ Palembang pada 13 hingga 20 November lalu.

Lawatan yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB. Rozi Mamat bertujuan untuk memberi sokongan moral kepada atlit Terengganu yang mewakili Malaysia ke kejohanan itu.


Aspek pengurusan penganjuran dan venue perlawanan antara yang dapat diperhatikan sebagai pembelajaran kepada delegasi untuk penganjuran pelbagai acara sukan di Terengganu.

Turut serta, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Zainal Abidin Hussin, wakil Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), pegawai Majlis Sukan Negeri serta wakil persatuan dan kelab sukan di Terengganu.


Pada kejohanan ini, seramai 55 atlit Terengganu mewakili Malaysia dalam 13 acara termasuk memanah, lumba basikal, bola sepak, judo, silat, kanu, olahraga, takraw dan sofbol.

Semua vanue perlawanan dilawati iaitu Spo Jakabaring Sepak Takraw, Jakabaring Chooting Range, Stadium Gelora Sriwajaya, Stadium Atlantik Jakabaring, Kompleks Wisma Atlet dan Dempo Dewan Gimnastik.


ADUN Tepoh Pemimpin Umno pertama melawat gerai UKOM

Laporan: Mohammad Ishak

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Yang Berhormat Muhammad Ramli Nuh menjadi pemimpin Umno pertama negeri ini yang berpeluang melakukan lawatan ke gerai pameran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) Kuala Lumpur.



Ketibaan Ramli yang tiba kira-kira jam 6 petang semalam disambut Timbalan Pengarah UKOM, Encik Ruslan Abd Rahman serta kakitangan unit berkenaan
UKOM adalah antara agensi kerajaan negeri terunggul menyediakan gerai khas sempena Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung sejak semalam dan berakhir 3 Disember ini.

Sementara itu, pengunjung memuji usaha yang dilakukan oleh UKOM yang mengambil bahagian dalam pameran berkenaan kerana ia berjaya mendedahkan mesej kerajaan negeri mempromosi negeri ini.

Menerusi pameran itu ia secara tidak langsung dapat memberi maklumat kepada pengunjung mengetahui landskap pelancongan negeri Terengganu yang sememangnya mempunyai banyak tempat menarik.

Seorang pengunjung Lisa Rusman, 21, dari Sabah berkata, beliau kagum dengan perkembangan pembangunan yang berlaku di Terengganu dan bercadang untuk melakukan lawatan ke negeri ini.

Katanya,menerusi pameran yang diadakan ia dapat membantu dia mengetahui pelbagai aspek kehidupan yang ada di negeri ini menerusi risalah yang disedaiakan.



Tandas bersih tingkat imej negeri

Oleh; Esah Abdullah

Masyarakat di negeri ini diminta sentiasa mementingkan kebersihan persekitaran bagi mengelak serangan penyakit berjangkit di samping menjaga imej negeri di mata umum.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Encik Ghani Idris berkata, orang ramai sering mengambil mudah serta menganggap menjaga kebersihan itu sesuatu perkara kecil dan remeh.

“ Contohnya isu kebersihan tandas awam yang perlu di pandang serius oleh semua golongan masyarakat kerana keadaan tandas di negeri ini berada pada tahap yang 'kurang memuaskan',” katanya.

Enci Ghani berkata demikian di Seminar Pengurusan dan
Pengauditan Tandas Awam anjuran MBKT, di Perbadanan Perpustakan Awam Terengganu (PPAT) semalam.

Seramai 150 peserta terdiri dari pengusaha kedai makan dan restoran, pengusaha tandas awam, pengusaha stesen minyak, wakil masjid-masjid dan agensi kerajaan menghadiri seminar sehari itu.

“Isu kebersihan tandas awam merupakan sesuatu yang serius dan seminar ini memberikan pendedahan kepada pengguna dan pengusaha mengenai kaedah penjagaan tandas awam yang betul,” katanya.

Menurutnya, isu kebersihan terutama tandas awam bukan perkara kecil kerana ia menjejas imej kerajaan di kalangan pelancong yang berkunjung ke negeri ini, sama ada pelancong tempatan mahupun luar negara.

Sehubungan itu katanya, dalam usaha memelihara kebersihan tandas awam, aspek budaya pengguna tandas awam merupakan faktor paling rumit untuk diubah dan ditangani.

Tambahnya, tandas yang baik, bukan hanya perlu bersih tetapi perlu di sediakan dengan peralatan yang lengkap dan tiada unsur vandalisme oleh mereka yang tidak bertanggungjawab..

Beliau menambah usaha berterusan juga akan dilakukan pihak berkuasa tempatan bagi mempertingkatkan tahap kebersihan tandas awam termasuk meletakkan kelas tertentu terhadap tandas awam sebagai dorongan menjadi lebih baik .







Naik taraf stadium untuk kejohanan Piala AFC


Oleh FAUZI MOHD

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, yang menjadi gelanggang utama bagi pertandingan bola sepak di Terengganu dinaik taraf oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sebagai persiapan Liga Malaysia musim 2012.

Pengarah Korporat Kemasyarakatan dan Kualiti MBKT Mohd Huzairi Nizam Ibrahim berkata, Kerajaan negeri memberi peruntukan RM600,000 untuk tujuan tersebut.

"Apabila siap dinaik taraf dan baik pulih nanti, stadium mampu memberi lebih banyak keselesaan kepada pemain dan juga penonton terutamanya dari segi keselamatan," katanya baru-baru ini.

Menurut Mohd Huzairi, pengubasaian stadium yang berusia hampir 30 tahun itu antaranya menambah baik pencahayaan lampu limpah, menaik taraf bilik persalinan pengadil, lorong keluar pemain dan bilik media.

Bagaimanpun katanya, tempat duduk penonton tidak diusik dan kekal sepertimana biasa dan kerja-kerja tersebut dijadual siap sebelum pra musim bermula tahun depan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata stadium itu akan digunakan bagi pertandingan bola sepak Piala AFC yang melibatkan pasukan Terengganu tahun depan.

Katanya untuk menjayakan pertandingan itu, stadium itu perlu diperbaiki bagi disesuaikan dengan kejohanan bertaraf antarabangsa itu termasuk kecahayaan lampu limpahnya.

"Ikut piawaian AFC, kecahayaan lampu limpah 1,400 lux sedangkan kecahayaan lampu limpah di stadium itu adalah 800 lux," katanya.