Dua gol jaringan bekas pemain Perlis, Mohd Faiz Subri (gambar) serta jaringan terus dari sepakan sudut ketua pasukan, Zairo Anuar Zalani sudah cukup untuk memberikan permulaan bergaya pasukan T-Team dalam saingan Liga Super 2012.
Kemenangan 3-0 ke atas Kedah malam tadi meletakkan pasukan berstatus kelab itu berada di persada Liga Super berdasarkan jaringan gol yang besar.
Faiz yang membantu pasukan Singa Utara ke peringkat separuh akhir Piala Emas Raja-Raja pada Disember lalu membuka akaun jaringan bersama pasukan barunya pada minit ke 12 apabila beliau membawa bola dari sayap kiri sebelum melepaskan rembatan padu dari tepi kotak penalti.
Rembatan kencang Faiz sudah cukup untuk menewaskan penjaga gawang Kedah, Abdul Hadi untuk pasukan T-Team mendahului 1-0.
Kedah di bawah kendalian bekas pemain kebangsaan, Mohd Nidzam Adzha cuba bangkit dan berjaya membolosi pertahanan pasukan tuan rumah beberapa kali tetapi gagal melakukan penyudahan yang berkesan untuk menyamakan kedudukan.
Sebaliknya, mereka terus jauh ketinggalan menjelang setengah jam permainan apabila Faiz sekali lagi berjaya melepaskan diri dari kawalan pemain Kedah untuk membuat tandukan rendah yang sekali lagi berjaya menewaskan Abdul Hadi, hasil dari satu sepakan sudut oleh Zairo pada minit ke 28.
Empat minit kemudian Zairo yang dilantik menjadi ketua pasukan baru T-Team berjaya menjaringkan gol ketiga pasukannya terus dari sepakan sudut yang diambil olehnya.
Ianya satu jaringan yang cantik dan jelas ianya seperti menyentap semangat pemain-pemain pasukan Kedah.
Pengadil Ku Alauddin Ku Mohamad gagal memberikan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah apabila pemain pertahanan Kedah, Sabre Mat Abu membentes Zachariah Simukonda di dalam kotak penalti dengan hanya berhadapan dengan Abdul Hadi.
Faiz hampir berjaya melengkapkan hatriknya dalam perlawanan ini tetapi beliau gagal membuat penyudahan yang tepat dari satu sepakan sudut.
Namun jaringan-jaringan Faiz dan Zairo di separuh masa pertama sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh untuk anak-buah Yunus Alif yang akan bertandang ke Melaka untuk bertemu dengan pasukan Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat.