Halaman

15 January 2012

MB lega keputusan FAM lanjut daftar pemain import

Oleh FAUZI MOHD

"Terima kasih kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia). Ini maknanya FAM dengar kehendak kita".

Itu reaksi Dato' Seri Ahmad Said terhadap keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM yang memberi kelonggaran kepada persatuan negeri dan kelab melanjutkan pendaftaran pemain import sebelum 13 Februari ini.

Menurut Menteri Besar, tegurannya terhadap FAM mengenai perkara itu tempoh hari sebenarnya bertujuan untuk sama-sama melihat sukan bola sepak tempatan negara maju serta membangun.

"Saya bersyukur dan terima kasih kepada FAM yang buat keputusan untuk buka semula pendaftaran pemain import. Tujuan ambil pemain ini (import) untuk meningkatkan pencapaian bola sepak tempatan dan jumlah penonton ke stadium.

"Saya bukan bercakap sebagai seorang Menteri Besar, tapi saya bercakap bagi pihak peminat bola sepak di peringkat akar umbi, saya juga peminat bola. Jadi, saya tahu kehendak peminat," katanya.

Kata Dato' Seri Ahmad selepas merasmikan Konvensyen NGO's Negeri Terengganu 2012 di Hotel Primula, Kuala Terengganu semalam.


NGO Terengganu terima RM2 juta

Oleh FAUZI MOHD

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said mengumumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta bagi memenuhi keperluan badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh Terengganu.

Jelas beliau, peruntukan itu antara lain bagi membantu dari segi keperluan pentadbiran NGO-NGO berkenaan.

"Peruntukkan ini bagi memastikan tiada NGO di Terengganu yang tidak boleh bergerak kerana masalah kewengan dan diharapkan lebih banyak program dan aktiviti bermanafaat untuk pelbagai golongan dianjurkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Konvensyen NGO Negeri Terengganu 2012 di Hotel Primula, Kuala Terengganu semalam.

Konvensyen sehari yang dianjurkan oleh Biro Pengundi Luar dan NGO Badan Perhubungan UMNO Terengganu itu dihadiri kira-kira 2,000 orang yang mewakili lebih 165 NGO di negeri ini.

Konvesyen berkenaan merupakan pertama kali diadakan di negeri ini diadakan supaya anggota NGO memahami isu semasa yang sedang berlaku di sekitar mereka untuk ditangani.

Konvensyen anjuran Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu itu akan diikuti dengan forum khas bertajuk 'BN dan NGO Juara Rakyat' yang ahli panelnya terdiri daripada wakil Umno, MIC dan MCA.

14 January 2012

Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan 50 unit rumah untuk mangsa ombak di Pengkalan Atap,Kuala Besut

Oleh: Mohammad Ishak





Ingauan ketakutan terhadap pukulan ombak besar setiap kali musim tengkujuh yang dialami penduduk di Penempatan Projek Rumah Termiskin (PPRT) Kampung Pengkalan Atap,Kuala Besut sejak sepuluh tahun lalu dijangka berakhir apabila Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan kediaman baru kepada mereka.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, ketiga mengumumkan perkara itu berkata 50 unit rumah untuk mangsa ombak dan air pasang besar di kampung itu akan dibina serta merta sebaik semua proses mendapatkan tanah di Kampung Bangsal Lembu selesai.

Katanya, pembinaan rumah bersatus flet setinggi empat tingkat itu diharap dapat menyelesaikan masalah yang kerap dihadapi penduduk di penempatan PPRT yang terletak di tepi pantai Kuala Besut.

Menurutnya,kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap masalah perumahan bukan sahaja mangsa bencana ombak dan air pasang di Kuala Besut, malah perhatian juga diberikan di kawasan lain termasuk bandar dan pekan.

Beliau berkata, sehingga ini kerajaan sudah membina 6,757 unit rumah membabitkan kos RM7 juta untuk kemudahan golongan miskin di seluruh negeri ini.

“Jika Barisan Nasional BN terus kekal berkuasa di Terengganu kerajaan merancang untuk membina 10,000 unit lagi yang akan diagihkan kepada rakyat negeri ini,” katanya ketika menyampaikan bantuan kepada mangsa ombak besar di Kampung Pengkalan Atap,Kuala Besut pagi tadi.

Hadis sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri,Dr A Rahman Mokhtar yang juga ADUN Kuala Besut, Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri, ADUN Hulu Besut,Nawi Mohamad,ADUN Jabi Ramlan Ali dan Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.

Seramai 48 mangsa ombak besar pada November tahun lalu menerima bantuan RM500 sekeluarga sumbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN).



Sediakan payong sebelum hujan MB

Oleh: Mohammad Ishak


Ahmad Said menunjukkan payong BN yang akan diedarkan kepada jentera parti

“Sediakan payong sebelum hujan” itulah pepatah paling tepat yang diingatkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu,Dato’ Seri Ahmad Said, kepada semua jentera parti terutama Wanita Umno yang menadi tonggak utama kepada parti Barisan Nasional (BN).

Serentak itu,beliau yang juga Menteri Besar Terengganu, mempraktikkan kata-kata itu dengan mengedarkan 2,000 payong berlambangkan BN kepada Wanita Umno Bahagian Besut yang menghadiri Program Jalinan Rakyat (JR) di Dewan Sekolah Menengah Seri Nering, Jertih, petang ini.

Simbolik itu bertujuan menyuntik semangat jentera wanita untuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU13) yang bakal diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Ketua, Nawi Mohamad, Naib Ketua,Muhamad Pehimi Yusof,Setiausaha Bahagian, Dr A Rahman Mokhtar,Bendahari,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin dan Ketua Wanita Bahagian, Engku Naimah Engku Taib.

Pergerakan Wanita Umno Bahagian Besut adalah yang pertama menerima agihan payong parti bertujuan memberi kemudahan kepada skuad Jalinan Rakyat (JR) menjalankan tugas memasuki kampung dan melawati pengundi.

Ahmad berkata, BN Terengganu sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya termasuk bekalan bendera, payong dan lain-lain keperluan yang kini sudah berada dalam simpanan parti.


Ahmad dan Idris menghadiri majlis JR Wanita Besut


Katanya, semua petugas JR kini lebih mudah menerangkan pelbagai isu untuk membalas serangan dakwan pembangkang kerana BN mempunyai banyak isu untuk diketengahkan kepada pengundi.

Beliau memberi keyakinan Terengganu akan kekal diperintah BN kerana pembangkang kini berpecah sesama sendiri manakala pemimpin parti negeri ini begitu bersemangat untuk mempertahankan kemenangan BN pada pilihan raya nanti.


JHEAT belanja RM856,720 elaun Hafiz al-Quran

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membelanjakan RM856,720 sebagai imbuhan bulanan kepada 156 orang yang berjaya menghafaz al-Quran kategori dewasa terbuka seluruh negeri tahun lalu.

Ketua Penolong Pesuruhjaya JHEAT, Hajah Shamsiah Awang berkata, jumlah tersebut merupakan peserta yang lulus dalam ujian penggal pertama (81) dan penggal kedua (78) yang diadakan di pejabat agama daerah seluruh negeri pada Mac dan September tahun lalu.

“Peserta yang berjaya hafaz 30 juzu’ menerima elauan bulanan sebanyak RM800 hingga RM1,000 seorang,” katanya.

Katanya, imbuhan bulanan juga diberikan kepada 45 orang Jurutasmi’e membabitkan peruntukan RM29,800.

Menurutnya, jabatan sentiasa mengalu-alukan masyarakat di negeri ini mendalami dan menghafaz al-Quran melalui kelas-kelas yang dikendalikan oleh guru-guru bertauliah JHEAT.

“Kelas al-Quran yang wujud di kampung-kampung itu terbuka kepada semua peringkat umur termasuk mereka yang mempunyai pekerjaaan tetap,” katanya.

Selain imbuhan bulanan katanya, ganjaran juga diberikan kepada hafiz yang meninggal dunia antara RM5,000 hingga RM10,000 berdasarkan jumlah juzu’ yang dihafaz.



Pemilik tanah perlu bayar cukai

Oleh: Suriati Ali

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) menyarankan pemilik tanah membuat pembayaran cukai tanah dengan segera bagi mengelak dikenakan denda dan tanah mereka diambil balik oleh kerajaan negeri.

Pengarah PTG Dato’ Haji Tuan Mamat Tuan Ngah, berkata cukai tanah yang tidak dibayar mulai 1 Jun akan menjadi tunggakan dan boleh dikenakan denda lewat bayar.

Katanya, pemilik tanah akan diberi surat peringatan untuk tempoh tertentu sekiranya mempunyai rekod lewat bayar dan tunggakan.

“Jika masih ingkar membayar, Pentadbir Tanah boleh menyampaikan Notis 6A dengan memberi tempoh selama tiga bulan untuk menjelaskan segala urusan.

“Sekiranya tetap gagal berbuat demikian, tanah berkenaan boleh dirampas dan menjadi hak milik mutlak kerajaan negeri,” katanya.

Katanya, membayar cukai tanah adalah menjadi tanggungjawab setiap pemilik di mana ia perlu membayarnya mulai 1 Januari sehingga 31 Mei setiap tahun.

“Penentuan kadar cukai yang perlu dibayar dikira berdasarkan keluasan dan kategori penggunaan tanah atau berpandukan Peraturan Tanah Terengganu.

“Setiap pembayaran boleh dibuat secara tunai, bank draf, wang pos dan kiriman wang berpalang atas nama Pentadbir Tanah yang berkenaan atau Pengarah Tanah dan Galian Terengganu,” katanya.

Selain itu bayaran juga boleh dibuat melalui laman sesawang http://www.maybank2u.com.my/. Segala urusan pembayaran cukai tanah bagi tahun ini, boleh dibuat di semua pejabat PTG Daerah dan Negeri selewat-lewatnya 31 Mei.

Waktu urusan boleh dibuat pada hari bekerja bermula jam 8 pagi sehingga 4.30 petang dan pada Khamis bermula jam 8 pagi sehingg 3.30 petang.

Pemilik tanah yang membuat pembayaran di laman web, kriman pos atau sebagainya iaitu tanpa urusan di kaunter, PTG tetap menghantar bil pembayaran sebagai peringatan dan bukti.

Jika tidak menerima bil itu dalam tempoh tertentu, mereka boleh mendapatkannya sendiri di Bahagian Hasil Pejabat Tanah berkaitan atau membuat semakan di laman web http://cukaiptg.terengganu.gov.my/isolar10/ dengan mengemukakan maklumat seperti nombor bil, hak milik, lot atau PT dan mukim atau Bandar.



AUT dorong tingkat ekonomi- tokoh usahawan

Oleh: Aida Abd Rahman

“Saya rasa gembira dan bangga dengan anugerah tokoh usahawan yang julung kali saya terima ini. Dengan pengiktirafan ini menaikkan semangat untuk terus rajin dan berusaha memajukan perniagaan ini bagi meningkatkan ekonomi di Terengganu.

“Apabila berniaga kita kena berusaha bersungguh-sungguh dan jangan mudah putus asa apabila ditimpa masalah termasuk ketika berdepan dengan ekonomi yang meleset ,” kata penerima Anugerah Tokoh Usahawan, Chong Fah Ming di majlis Malam Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (11 Januari).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyampaikan hadiah kepada semua pemenang bagi sembilan kategori AUT yang menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah RM54,000 beserta piala, sijil penghargaan dan cenderahati sumbangan Nuriz Kosmetik.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik.

Perasaan gembira dan bangga dengan pengiktirafan itu turut dikongsi pengerusi MSET Engineering Corporation Sdn Bhd, Haji Hasnan Dato’ Abdullah, yang menerima anugerah bagi kategori perkilangan dan pembuatan.

“Saya bersyukur dengan anugerah ini. Ia menjadi perangsang dan pembakar semangat untuk terus bertindak sebagai peneraju yang mampu mengubah lanskap dan dimensi syarikat dengan lebih cemerlang,” katanya.

Sementara itu, Azizah Omar pengusaha Zie Florist, di Jalan Air Putih, Kemaman, yang berjaya meraih anugerah peniaga dan penjaja kecil pula menyifatkan kemenangan itu sebagai satu suntikan semangat untuk terus melebarkan perniagaannya.

“Sebagai peniaga wanita dan Bumiputera saya sentiasa bersedia berdepan dengan persaingan dan jatuh bangun dalam perniagaan kerana itu semua menjadi rencah dan suatu pengalaman yang mampu mematangkan kita demi memajukan profesion kita,” katanya.






13 January 2012

Pelajar jantung berlubang selamat dibedah

Laporan 0leh: Kamarudin Mat Akib

Pelajar tingkatan lima, Mohd Nazwan, dari Kemaman yang menderita sakit jantung berlubang sejak 10 tahun lalu, selamat menjalani pembedahan di Pusat Rawatan i-Heal Kuala Lumpur, hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mentok itu menjalani pembedahan jantung di pusat rawatan milik anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, dibedah dengan kos rawatan dibiayai sepenuhnhya oleh kerajaan negeri.

Mohd Nazwan yang ditemani kedua-dua ibu bapanya dimasukkan ke pusat rawatan itu semalam dan menjalani pembedahan kira-kira jam 9 pagi tadi.

Pakar sakit jantung, Dr David Khoo Sin Keat, yang menjalankan pembedahan itu berkata, pesakit mengalami masalah jantung berlubang seluas kira-kira satu sentimeter dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) i-Heal dan masih dalam perhatian doktor pakar,” katanya ketika ditemui Teganukita selepas pembedahan tersebut yang mengambil masa kira-kira tiga jam.

Beliau berkata, Mohd Nazwan akan dirawat di hospital itu selama lima hari dan mungkin dibenarkan pulang ke Terengganu Jumaat ini.

Ibu pesakit, Khatijah Muda, 52, merakamkan penghargaan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan negeri, khususnya Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang sudi menanggung kos rawatan anak beliau.

“Mak cik harap Mohd Nazwan akan cepat sembuh dan mula belajar selepas ini bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.





















2 balai polis di Terengganu dipilih menyertai anugerah MCPF kebangsaan

Oleh: Mohammad Ishak



Pasukan penilai bergambar kenangan bersama anggota balai dan pemimpin masyarakat


SEMANGAT kerja berpasukan yang menjadi amalan kepada anggota polis negeri ini memberi peulangan kepada dua balai polis menyertai pertandingan akhir Anugerah MCPF Balai Polis Cemerlang peringkat kiebangsaan.

Dua balai polis yang terpilih ialah Balai Polis Pasir Akar,Hulu Besut mewakili kategori luar bandar dan Balai Polis Cabang Tiga, Kuala Terengganu bagi kategori bandar.

Serombongan panel penilai anugerah berkenaan diketuai Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Kebangsaan,Datuk Kamaruddin Md Ali bersama lima anggota lain mengadakan sesi penilian di kedua-dua balai polis terbabit semalam.

Kamaruddin berkata, penilian berasaskan kepada beberapa faktor termasuk kejayaan mengurangkan kadar jenayah, kerjasama dengan komuniti dan keadaan fizikal balai polis yang dinilai.

Katanya, sebanyak 27 balai polis dari seluruh negara dipilih menyertai anugerah anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Kebangsaan yang dilakukan sejak tujuh tahun lalu.

Menurutnya, pemenang anugerah itu dijangka diumumkan pada April ini selepas semua balai polis yang dipilih menyertai anugerah selesai dinilai oleh anggota panel yang turut dianggotai oleh beberapa jabatan termasuk Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Ketika mengunjungi balai Polis Pasir Akar semalam, rombongan turut disambut oleh pegawai kanan polis negeri dan daerah Besut serta pemimpin masyarakat sekitar Kawasan Hulu Besut.

“Pemenang anugerah itu akan mendapat sijil dan menghantar ketua balai ke Hong Kong selama dua minggu untuk mempelajari ilmu kepolisian negara itu yang dianggap terbaik di dunia,” katanya.





2,044 golongan miskin DUN Jertih terima agihan pakain sekolah

Oleh: Mohammad Ishak
Penerima bantuan pakaian sekolah menadatangani boucer penerimaan


“Beruntung jadi orang Terengganu maca-macam bantuan diberikan oleh kerajaan kepada rakyat,” begitulah luahan perasaan bangga seorang ibu,Bahiyah Hassan, 45, dari Perumahan Awam Seberang Jertih, Besut.

Bahiyah yang termasuk dalam penerima bantuan dana pakaian sekolah bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang terus membela nasib rakyat selari dengan slogan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Pengagihan bantuan pakaian sekolah kepada ibu bapa negeri ini disifatkan penduduk amat baik dan perlu diteruskan kerana ia dapat meringankan beban rakyat terutama golongan mssikin.

Bahiyah ditemui hari ini ketika menerima agihan dana berkenaan yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) Gong Kemuntong, Jertih ,yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi MARA.

Pada majlis itu, 2044 penerima dari DUN Jertih yang layak menerima bantuan berbentuk wang tunai antara RM100 dan RM200 seorang yang diadakan pada setiap tahun oleh Kerajaan Negeri.

Berucap pada majlis itu, Idris yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut berkata, pengagihan dana pakaian sekolah itu membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan tanggungjawab sosial secara berterusan kepada rakyat.


Idris menyaksikan petugas mengagihan bantuan pakaian sekolah


Katanya, BN sudah melaksanakan negara berkebajikan sejak sekian lama dan Pakatan Rakyat (PR) dipelopori PAS baru sekarang mencanagkan kepada rakyat cadangan pakatan jika meraka dapat memerintah negara ini.