Halaman

03 February 2012

PM ajak rakyat imbau kenangan pahit Pas perintah Terengganu

Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak ketika merucap mengingatkan rakyat Terengganu terutama penduduk Dun Batu Buruk supaya tidak lagi mengalami peristiwa pahit pada tahun 1999 apabila Pas memerintah Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Esah Abdullah

Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, mengajak rakyat Terengganu supaya mengimbau kembali kenangan pahit yang mereka alami sewaktu pemerintahan Pas pada tahun 1999, apabila parti itu memerintah negeri ini.

Malah, beliau memberi amaran mereka akan menerima nasib serupa – di mana kebajikan mereka terabai dan tidak ada sebarang pembangunan dilakukan bagi membela nasib rakyat sepanjang pemerintahan parti itu – jika mereka memilih calon Pas pada Pilihan Raya Umum akan datang.


“Masihkah Kau Ingat apa yang berlaku pada tahun 1999 hingga 2004 apabila Pas memerintah Terengganu?,” katanya ketika berucap pada majlis YAB Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman, petang ini.

Hadir sama, Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Norliza Mahmud; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ketua-ketua UMNO bahagian seluruh negeri.

Berdasarkan perkembangan politik semasa Perdana Menteri yakin rakyat Terengganu, khususnya penduduk di DUN Batu Buruk tidak mahu mengulangi kesilapan mereka memilih Pas untuk menerajui pemerintahan negeri Terengganu.

Sehubungan itu, beliau meminta pengundi di DUN Batu Buruk dan semua DUN di negeri ini memilih calon BN pada pilihan raya umum akan datang agar mereka terus mengecapi nikmat pembangunan dan pemberian pelbagai subsidi untuk kesejahteraan mereka dan keluarga.

Beliau meminta rakyat usah tertipu dengan slogan yang dimainkan oleh pemimpin Pas – Membangun Bersama Islam – kerana ia hanya indah pada nama saja.

“Pas tidak mampu mentadbir negeri dan negara ini kerana mereka hanya pandai mencipta slogan tetapi tidak melakukan apa-apa untuk meningkatkan syiar Islam,” ujar beliau.

Sebaliknya, kata beliau, BN mempunyai banyak lagi agenda untuk membangunkan negara pada masa depan, termasuk meningkatkan syiar Islam, walaupun mereka tidak mencanangkan usaha-usaha ke arah itu.





TERKINI: Program Perdana Menteri Bersama Rakyat dan penyampaian BR1M di Dun Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Perdana Menteri sebaik tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman, Kuala Terengganu untuk Program Perdana Menteri Bersama Rakyat dan penyampaian BR1M di Dun Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini (3 februari 2012 - 3.15 ptg) - Gambar oleh Zulkipli Putra.






PM hadir jamuan rakyat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah

Oleh FAUZI MOHD

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak menghadiri majlis jamuan makan tengah hari bersama rakyat, sejurus selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu, sebentar tadi.



Beliau yang tiba di perkarangan masjid pada kira-kira pukul 1.15 tengah hari terus memasuki barisan hadapan ruang solat, selepas bersalaman dengan ramai para jemaah yang menyambut ketibaannya.

Turut hadir Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Farid Wan Salleh dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh serta pemimpin negeri yang lain.



Khutbah Jumaat yang bertajuk “Hayatilah Sunnah Rasulullah SAW” disampaikan Imam Besar negeri, Aizi Saidi Abdul Aziz.



Selesai solat, Perdana Menteri menyertai lebih 2,000 jemaah ke khemah bersebelahan masjid untuk majlis jamuan makan tengah hari bersama rakyat.



Beliau kemudiannya meninggalkan majlis untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman di DUN Batu Buruk bagi program berikutnya.







BR1M manfaat buat 80 peratus isi rumah seluruh negara

Perdana Menteri menyampaikan BR1M kepada penduduk Dun Rhu Rendang, Marang. - Gambar oleh Zulkipli Putra.


Oleh: Aida Abd Rahman
Kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan dasar dan program yang terbukti mampu membela kebajikan rakyat termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memberi manfaat kepada 80 peratus isi rumah di seluruh negara, di mana ia tidak dilaksanakan mana-mana kerajaan lain di seluruh dunia.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, berkata bantuan itu diberikan kepada seluruh rakyat negara ini yang layak tanpa `memilih bulu’ dan parti.

“Kita tidak memilih bulu..bak kata Dato’ Yahya (Khatib Mohamad) dalam ungkapan pantunnya tadi, orang yang tidak sokong kita pun dapat juga. Walaupun mukanya barangkali tebal agaknya. Yang duk kutuk, duk maki hamun kita, apabila nampak duit (BR1M) lima keping, dia yang pertama sekali berbaris.

“Hak puak-puak kita dalam panas, dalam hujan berjuang untuk menegakkan kerajaan. Tetapi saya kita tidak mengapa, jika kita tidak mendapat undi, di akhirat nanti insya-Allah kita akan menerima ganjaran daripada Allah s.wt,” katanya ketika berucap dalam Program Perdana Menteri Bersama Rakyat Dun Rhu Rendang, di Padang Astaka Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, Marang, hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.

Hadir sama, Ketua Bahagian Marang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad serta Pegawai Penyelaras Dun Rhu Rendang, Encik Nik Dir Nik Wan Ku.

Dalam tempoh tiga tahun peralihan kuasa di tangan beliau, pelbagai bantuan sudah dilaksanakan kerajaan BN dan jika diberi masa lima tahun lagi pastinya lebih banyak yang boleh dilakukan demi kepentingan rakyat.

Selain itu, beliau juga mengingatkan rakyat supaya dapat menilai secara bijak kepimpinan Pas yang mendakwa memperjuangkan Islam, tetapi sanggup memecat ahlinya dan pemimpin sendiri semata-mata bagi menjaga kepentingan pakatan dengan DAP.

“Pas tidak boleh pakai, kerana banyak `lebong’. Sebab itulah Haji Hadi (Dato’ Seri Abdul Hadi Awang) sudah condong..bunyi-bunyi tidak mahu bertanding. Tidak tahulah kalau dia `pelawok’ (menipu).

“Pas juga berkecamuk. Orang yang baik, imannya kuat, orang yang memperjuangkan Islam, orang yang nak pertahankan akidah, nak menegakkan akhlak, orang ini yang dipecat oleh Pas. Di mana perjuangan untuk Islam? Kalau orang yang menegakkan Islam dan akhlak dibuang oleh Pas,” katanya.




Kehadiran 10,000 penduduk tanda terima kasih

Lebih 10,000 penduduk menyambut kehadiran Perdana Menteri ke Marang, Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Suriati Ali

Kehadiran lebih 10,000 penduduk setempat menyambut kedatangan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak bersama Isteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor pada Program Lawatan Perdana Menteri Bersama Rakyat di Padang Astaka Majlis Daerah Marang (MDM) hari ini, menandakan rakyat boleh menerima angin perubahan yang dilaksanakan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Rata-rata mereka mula sedar apa yang dilaksanakan kerajaan selama ini seperti bantuan kepada rakyat, subsidi pelbagai barangan keperluan dan makanan serta bantuan tabung pendidikan adalah untuk kebaikan bersama walaupun berlainan parti.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Bukit Payong, berkata Dato’ Dr Abdul Latif Awang, kedatangan mereka adalah sebagai tanda terima kasih dengan apa yang diperoleh daripada kerajaan.

“Saya juga terharu kerana tidak menduga program yang dilaksana ini mendapat sambutan begitu menggalakkan walaupun berada di kawasan kubu kuat Pas.

“Kedatangan mereka mampu menguatkan lagi semangat dan iltizam barisnan kepimpinan BN untuk terus berbakti kepada rakyat terutama berkaitan kebajikan dan pendidikan,” katanya

Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT), Encik Roshali Taha,
berkata kehadiran begitu ramai penduduk Marang yang sudi menyambut
pemimpin utama BN bagaikan sudah memberi isyarat, bahawa DUN Rhu Rendang bakal menjadi milik BN.

Katanya, rata-rata mereka sudah menerima apa yang dilaksanakan kerajaan, termasuk yang terbaru iaitu Bantuan Rakyat 1 Malaysia kepada isirumah berpendapatan RM3,000 ke bawah.

“Mereka mula sedar apa yang dilaksanakan kerajaan bukan hanya cakap atau tabur janji semata-mata malah bertindak dengan apa yang sudah dijanjikan itu walaupun lambat,” katanya.







Penduduk teruja jumpa PM

Oleh: Suriati Ali

Rata-rata penduduk tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib dan Datin Paduka Seri Rosmah sebaik beliau tiba di lokasi program dengan menaiki bas khas milik Majlis Perbandaran Kemaman.

Turut bersama-sama menaiki bas, Menteri Belia dan Sukan, YB Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Besar, Dato, Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To' Puan Seri Norliza Mahmud; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; semua barisan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan wakil-wakil rakyat BN.

Sebelum itu, kira-kira 1,000 ahli Kelab Bermotosikal Pemuda Umno bahagian Marang berkonvoi mengiringi bas yang dinaiki barisan pimpinan BN itu sambil melaungkan perkataan `Biru Nelang’.

Seorang peserta, Muhammad Faris Sulaiman 21, berkata dia teruja kerana dapat bersama-sama rakan lain menyertai konvoi bagi menyambut kedatangan Perdana Menteri di kawasan Parlimen Marang.

Katanya, melihat sambutan yang menggalakkan ini, dia dapat merasai penduduk terutama golongan belia di Rhu Rendang ingin perubahan.

“Semua pihak menyedari, selama dibawah takluk pimpinan Pas, tiada sebarang perubahan yang dilaksanakan melainkan hanya pandai menabur janji,” katanya ketika ditemui Teganukita selepas Program Lawatan Perdana Menteri Bersama Rakyat di Padang Astaka Majlis Daerah Marang (MDM) hari ini.

Nor Ainsha Ajid, 25 dari Paka, Dungun berkata, dia datang dari jauh semata-mata mahu melihat Perdana Menteri secara dekat di mana sebelum ini tidak pernah berpeluang berbuat demikian melainkan menatap wajahnya di kaca teleyisven.

Katanya, pada pandangannya, Dato’ Sri Mohd Najib cukup peramah, mudah mesra dan semestinya mempunyai ciri pemimpin berkaliber.

“Terima kasih di atas segala budi yang ditaburkan walaupun terdapat sesetengah pihak sering memburuk-burukkan apa yang dilaksanakan itu,” katanya.



TERKINI: PM menyampaikan Baucer BR1M Peringkat Dun Rhu Rendang, Marang.

Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak hadir pada majlis penyampaian Baucer BR1M peringkat Dun Rhu Rendang, Marang di Padang Bola Majlis Daerah Marang, Terengganu. - Gambar-gambar oleh Zulkipli Putra.








Jalankan tugas, tambahkan keyakinan rakyat kepada BN : Dato' Seri Najib

Aksi Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak selepas menerima cenderahati selepas majlis Program Perdana Menteri Bersama Rakyat Dun Rhu Rendang, di Padang Astaka Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, Marang, hari ini. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Aida Abd Rahman

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak meminta semua pihak terutama pemimpin dan wakil rakyat menjalankan tugas sebagai pemimpin dengan sebaik mungkin bagi menambah keyakinan rakyat terhadap parti Barisan Nasional (BN).

“Pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa seperti mana kita tahu. Asalkan tidak lewat daripada bulan April 2013. Pada masa sekarang saya sedang turun padang berjumpa dengan rakyat.

“Yang penting sekarang kita jalankan tugas dan tanggungjawab kita sebagai pemimpin. Ini melibatkan semua pemimpin supaya rakyat bertambah keyakinan kepada Barisan Nasional,” kata beliau ketika sidang akhbar sejurus Program Perdana Menteri Bersama Rakyat Dun Rhu Rendang, di Padang Astaka Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, Marang, hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.

Hadir sama, Ketua Bahagian Marang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad serta Pegawai Penyelaras Dun Rhu Rendang, Encik Nik Dir Nik Wan Ku.

Perdana Menteri berkata, pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum memutuskan masa yang sesuai untuk menjalankan Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Perdana Menteri dan isteri dalam rangka lawatan sehari ke Terengganu, tiba di tapak program kira-kira jam 10 pagi dengan menaiki bas dua tingkat.

Dalam program itu, beliau turut menyampaikan replika cek Bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada empat Dun dalam Parlimen Marang yang diwakili Adun serta PP Dun masing-masing, kerusi roda kepada 10 penerima, lima unit bot enjin sangkut dan bantuan kebajikan masyarakat.

Sejurus majlis itu, beliau dijadualkan menunaikan solat jumaat di Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu dan menghadiri jamuan rakyat di perkarangan masjid sebaik selesai solat Jumaat yang dijangka dihadiri lebih 3,000 orang.

Pada sebelah petang pula, Perdana Menteri bakal menemui lebih 5,000 masyarakat dalam Dun Batu Buruk di majlis yang bertempat di Sekolah Menengah Seri Budiman, disusuli aktiviti berbasikal dari Hotel Grand Continental ke pasar minggu di Taman Syahbandar bersama pemimpin parti dan Pemuda Umno.

Manakala malamnya, satu perjumpaan tertutup dengan pemimpin kanan parti BN serta Umno Perhubungan Terengganu yang melibatkan empat peringkat (Wanita, Pemuda, Puteri) dijadualkan di Hotel Primula Beach Resort.

TERKINI: PM dan isteri tiba di Terengganu


Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dan Datin Sri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud kira-kira jam 9:15 pagi ini (3 febuari 2012)


Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Hj Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud, kepimpinan negeri, para pegawai kerajaan dan rakyat setempat turut sama menyambut ketibaan Perdana Menteri yang disayangi.


Sejurus selepas itu beliau berangkat ke Marang menaiki bas dua tingkat bersama-sama pimpinan negeri untuk bertemu rakyat di parlimen berkenaan.