Oleh: Aida Abd Rahman
“Pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa seperti mana kita tahu. Asalkan tidak lewat daripada bulan April 2013. Pada masa sekarang saya sedang turun padang berjumpa dengan rakyat.
“Yang penting sekarang kita jalankan tugas dan tanggungjawab kita sebagai pemimpin. Ini melibatkan semua pemimpin supaya rakyat bertambah keyakinan kepada Barisan Nasional,” kata beliau ketika sidang akhbar sejurus Program Perdana Menteri Bersama Rakyat Dun Rhu Rendang, di Padang Astaka Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, Marang, hari ini.
Hadir sama, Ketua Bahagian Marang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad serta Pegawai Penyelaras Dun Rhu Rendang, Encik Nik Dir Nik Wan Ku.
Perdana Menteri dan isteri dalam rangka lawatan sehari ke Terengganu, tiba di tapak program kira-kira jam 10 pagi dengan menaiki bas dua tingkat.
Sejurus majlis itu, beliau dijadualkan menunaikan solat jumaat di Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu dan menghadiri jamuan rakyat di perkarangan masjid sebaik selesai solat Jumaat yang dijangka dihadiri lebih 3,000 orang.
Manakala malamnya, satu perjumpaan tertutup dengan pemimpin kanan parti BN serta Umno Perhubungan Terengganu yang melibatkan empat peringkat (Wanita, Pemuda, Puteri) dijadualkan di Hotel Primula Beach Resort.
