Halaman

31 January 2012

Tanggung kos tinggi selenggara sampah dalam sungai

Oleh: Aida Abd Rahman

Sikap segelintir penduduk dan peniaga di sekitar Kampung Cina serta Pasar Kedai Payang yang gemar membuang sampah sarap merata-rata tempat termasuk ke dalam sungai menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menanggung kos penyelenggaraan sampah sarap yang lebih tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw, berkata kerajaan negeri memasang kira-kira 19 perangkap sampah di sekitar Kampung Cina dan Pasar Besar Kedai Payang bagi tujuan memerangkap sampah yang dihanyutkan arus sungai.
Bagaimanapun, katanya sikap tidak bertamadun segelintir penduduk dan peniaga premis perniagaan sekitar kawasan berkenaan menyebabkan perangkap sampah yang mengandungi timbunan sampah-sarap terpaksa diselenggara lebih kerap berbanding sebelum ini sebulan sekali.

“Jika sebelum ini, pihak berkuasa perlu membuang sampah yang terperangkap sebulan sekali, kini keadaannya lebih kerap berikutan sampah lebih banyak terperangkap di dalam sungai. Sama ada dibuang ke dalam longkang atau di kawasan sekitar sebelum ia jatuh ke dalam sungai dan menyebabkan kawasan sekitar tercemar,” katanya.

Menurut Dato’ Toh, kerajaan negeri menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melantik kontraktor khas bagi tujuan menyelenggara dan membersih kawasan sungai untuk memastikan kawasan yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar Terengganu itu sentiasa terjamin dan bersih.

Malah, pada tahun lalu, sebanyak 30 perangkap sampah membabitkan kos RM1 juta dipasang di laluan utama air sepanjang Sungai Terengganu bagi memerangkap pelbagai jenis sampah yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab.

Antara lokasi terlibat, Alor Lorong Jamil, Alur Chabang Tiga, Alur Hiliran, Alur Manir, Alur Buloh, Alur Sekati, Parit Tok Adis, Alur Tok Molor, Alur Guruh Telok Pasu, Parit Sungai Pinang, Sungai Paloh, Alur Manir dan Alur Buluh Duri Bukit Tunggal.

Katanya, langkah itu juga mampu mencantikkan lagi keindahan sungai selain mengelak kejadian banjir terutama membabitkan kawasan rendah serta dapat membantu pihak pengurusan Taman Tamadun Islam (TTI) yang kini giat mempromosi Sungai Terengganu menggunakan perkhidmatan Bot Cruise.

Tiga jenis perangkap sampah yang dipasang itu dikenali sebagai `Grass Polutant Trap’ (GPT), `Modular Floating Rubish Trap’ (MFRT) dan `Anti Back Flow Rubish Trap’ (ART).