Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor akan mengadakan lawatan kerja sehari ke Terengganu esok.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pada lawatan itu, Perdana Menteri dijadual bertemu dan menyampaikan bantuan kepada fakir miskin serta bantuan bot kepada nelayan di daerah Marang bertempat di Padang Bola Sepak, Majlis Daerah Marang.
“Kita jangka lebih 10,000 rakyat akan menyambut kedatangan pemimpin nombor satu negara yang berkunjung ke daerah Marang,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman, semalam.
Menurutnya, Dato’ Seri Mohd Najib akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, di sini dan menghadiri jamuan rakyat di perkarangan masjid sebaik selesai solat Jumaat yang dijangka lebih 3,000 hadir.
Pada sebelah petang, Perdana Menteri akan bertemu lebih 5,000 masyarakat dalam Dun Batu Buruk bertempat di Sekolah Menengah Seri Budiman kemudian menyertai aktiviti berbasikal dari Hotel Grand Continental ke pasar minggu di Syahbandar bersama pemimpin parti dan pergerakan pemuda.
Manakala malamnya, satu perjumpaan tertutup dengan pemimpin kanan parti Barisan Nasional Perhubungan Terengganu empat peringkat (Wanita, Pemuda, Puteri) akan diadakan di Primula Beach Resort.
Perdana Menteri dan isteri dijangka bertolak balik ke Kuala Lumpur kira-kira jam 10.30 malam.