Sebuah syarikat sekuriti baru akan dilantik untuk mengawal keselamatan Stadium Sultan Mizan Gong Badak bagi menggantikan syarikat sebelum ini yang telah tamat tempoh kontrak pada akhir tahun lalu.
>
“Tender baru telah dibuka pada November lalu dan kita sedang meneliti pelbagai aspek sebelum membuat pelantikan baru,” katanya, kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman hari ini.
Berhubung kecurian peralatan pendawaian elektrik di stadium yang dianggarkan kerugian RM50 juta, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata nilai sebenar kerugian adalah lebih rendah daripada apa yang dilaporkan itu.
Katanya, sehingga kini polis sudah menahan tujuh lelaki berusia 20 hingga 40 tahun yang terbabit dalam kes kecurian dan pencerobohan di stadium berkenaan serta sudah didakwa di mahkamah.
“Sepatutnya perkara berkenaan tidak berlaku kerana stadium berkenaan ada pengawal keselamatan sepanjang masa, tidak tahulah jika `harapkan pagar, pagar makan padi’ atau pegawal bertugas tidak buat rondaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Menteri Besar memaklumkan tender baru akan dikeluarkan untuk kerja-kerja memecat bumbung stadium bersebelahan bumbung yang runtuh untuk diganti baru.
“Kalau boleh kita mahu percepatkan kerja-kerja membaikpulih stadium berkenaan tetapi ia bergantung kepada keputusan jawatankuasa dalam memilih kontraktor yang layak, setakat ini ia belum selesai lagi,” katanya.