Bengkel 'Ibu Kampung-Kemahiran Pendampingan Masyarakat' diwujudkan bagi mendedahkan lebih 20,000 isteri pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh Terengganu mengenai kaedah lebih berkesan bergaul dengan orang ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata bimbingan menerusi bengkel itu nanti mampu melatih peserta terlibat supaya mengetahui teknik berdamping lebih berkesan dengan anggota masyarakat.
Marang menjadi lokasi pertama bengkel itu sebelum diteruskan ke semua daerah di negeri ini.
“Melalui bengkel itu nanti peserta dapat membina keupayaan, keyakinan serta jati diri peserta bergandingan para suami sebagai pemimpin setempat selain mengiktiraf peranan wanita dalam masyarakat.
"JKKK menjadi pihak utama di sesebuah kampung dan isteri anggota jawatankuasa bertindak sebagai nadi menilai sejauh mana keberkesanan tanggungjawab yang dijalankan," katanya.
Beliau berkata, isteri JKKK hendaklah berganding bahu menentukan segala masalah yang dihadapi rakyat supaya dapat diselesai dan diatasi mengikut saluran yang telah disediakan kerajaan.
Menurut Dato’ Yahya, kos penganjuran bengkel yang akan diadakan di setiap kawasan Parlimen dianggarkan menelan belanja antara atu hingga dua juta ringgit menerusi pembiayaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK).
Dalam perkembangan lain, beliau berkata YPK akan membelanjakan RM23.5 juta untuk pelbagai program kemasyarakatan di negeri ini tahun ini.
Katanya antara program yang akan dilaksanakan YPK tahun ini termasuklah program Berbulan Madu, Jasamu Dikenang dan Keluarga Cemerlang.