Penulis blog di negara ini diingatkan supaya menghindari budaya fitnah kerana ia bukan saja bertentangan dengan ajaran Islam, tetapi merugikan negara dan penduduk tempatan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata masyarakat tempatan memang mudah terpengaruh dengan berita-berita berunsur fitnah yang dimuatkan dalam pelbagai blog.
Sehubungan itu, beliau meminta penulis blog lebih bertanggungjawab dengan menyiasat terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita bagi menentukan kebenarannya, sebelum dimuatkan dalam blog mereka.
“Bagi pihak kerajaan, saya sedia bekerjasama dengan penulis blog dan memberi sumber-sumber dan fakta yang tepat mengenai pembangunan negeri Terengganu untuk bahan blog saudara-saudari,” katanya pada majlis perjumpaan Menteri Besar Terengganu dengan penulis blog di Kediaman Seri Iman, malam tadi.
Kira-kira 80 penulis blog dari negeri Terengganu dan luar negeri ini berkumpul atas jemputan khas Menteri Besar bagi bertukar-tukar pandangan dengan pemimpin kerajaan negeri ini.
Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Kazan Che Mat dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong.
Menteri Besar berkata, pemimpin politik sering menjadi mangsa fitnah dan kerajaan sesebuah negeri boleh jatuh kerana penyebaran berita yang tidak benar berkaitan kerajaan yang memerintah.
“Jika keadaan ini berlaku rakyat yang akan menanggung kerugian kerana apa yang ingin dilakukan oleh pemimpin kerajaan sekarang ini tidak dapat diteruskan di masa depan kerana mereka tidak lagi menjadi pemimpin,” katanya.
Sementara itu, dalam sesi dialog selepas majlis makan malam dengan penulis blog berkenaan, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri amat menghargai sumbangan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi membantu merancakkan pembangunan di Terengganu.
Katanya, terdapat hampir 1,000 NGO di negeri ini di mana lebih 300 pertubuhan amat aktif dan banyak membantu kerajaan, teramsuk menyebarkan maklumat mengenai pembangunan negeri ini kepada rakyat.
“Pada tahun ini kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM2 juta untuk diagihkan kepada semua NGO bagi membolehkan mereka menjalankan kegiatan masing-masing,” ujarnya.