Halaman

31 January 2012

JPJ bersama komuniti

Oleh; Esah Abdullah

Program Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turun padang mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Maras, Batu Rakit, semalam.

Lebih 100 pemilik motosikal terdiri petani dan nelayan hadir untuk memperbaharui semula cukai jalan motosikal masing-masing yang tamat tempoh.

Usaha JPJ ini dilihat memberi banyak manfaat kepada penduduk tempatan selain tidak perlu turun ke bandar untuk menyambung cukai jalan juga mendapat maklumat mengenai perkhidmatan lain yang disediakan jabatan itu.

“Saya amat berpuas hati dengan program ini dan berharap ia diadakan setiap setahun bagi memudahkan kami yang tinggal di kampung untuk perbaharui cukai jalan,” kata Encik Dillah Ambak dari Kampung Tanjung, Batu Rakit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat turut meluangkan masa bersama orang ramai sambil bertanya khabar.

Beliau memuji jabatan yang sedia turun ke bawah untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat di samping dapat menyalurkan maklumat jabatan.

“Kepentingan rakyat menjadi agenda utama kerajaan dan golongan yang tidak mampu diberi bantuan dengan apa cara sekali pun, contohnya hari ini JPJ datang untuk memudahkan penduduk di sini berurusan dengan jabatan itu,” katanya.

Sementara itu, urusetia program Encik Nik Man Udin menyifatkan program julung kali diadakan di DUN Batu Rakit ini telah mencapai matlamat jabatan untuk memberi khidmat terbaik kepada masyarakat di luar bandar.

“Daripada maklum balas yang kami terima, ramai meminta perkhidmatan JPJ ini di teruskan pada masa akan datang,” katanya.