Halaman

02 February 2012

BN sasar 29 kerusi DUN, sapu bersih lapan parlimen

Oleh FAUZI MOHD

Barisan Nasional (BN) Terengganu yakin akan memperoleh kemenangan lebih besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan menyasarkan 29 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said yakin kesemua lapan kerusi Parlimen dapat dikuasai BN bagi mengukuhkan kerajaan di peringkat Pusat.

Pengerusi BN negeri itu menegaskan, sasaran berkenaan bukan sekadar angka tetapi berasaskan perkembangan semasa yang cukup menyakinkan.

Beliau merujuk kepada perpaduan dalaman BN dan UMNO yang kian mantap, sikap yang ditunjukkan rakyat tanda sokongan dengan pelbagai peluang dan kemudahan untuk memajukan diri.

"Pembangkang juga tidak mempunyai banyak modal untuk memburuk-burukkan kerajaan dan pimpinan selain janji-janji mereka tidak berasas," katanya dalam pertemuan dengan wakil media di Wisma Darul Iman semalam.

UMNO dan BN kini menguasai 24 daripada 32 dan tujuh daripada lapan kerusi Parlimen manakala selebihnya dikuasai Pas.

Dato’ Seri Ahmad menegaskan, Pas kini cuba melakukan perang saraf dengan memberi gambaran kononnya perpaduan dalam UMNO cukup teruk.

"Tujuan mereka berbuat demikian untuk menaburkan kebimbangan dalam kalangan rakyat,' katanya.

Tambah beliau, program pemukiman parti itu yang diadakan baru-baru ini, menampakkan kesepakatan cukup jelas bagi memastikan UMNO kekal berkuasa dengan kedudukan cukup kuat.

"Kami sepakat untuk mempertahankan Terengganu dan kita cukup positif mampu merampas semula sekurang-kurangnya lima daripada lapan kerusi yang dimenangi Pas," ujarnya.

Malah, kata beliau, Pas sendiri yang awalnya menyasarkan untuk menguasai sekurang-kurangnya 19 kerusi, tiba-tiba muncul dengan kenyataan sekadar boleh menang 16 atau 17 kerusi sahaja.

Selari dengan transformasi politik yang digerakkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berkata, calon yang boleh diterima rakyat dan mampu memenangkan parti akan dikemukakan.

Katanya, sebarang ketentuan kedudukannya sebagai Menteri Besar kelak akan diterima dengan reda.

"Ia akan bergantung kepada laporan penilaian oleh pelbagai pihak. Namun, kita belum ada senarai nama lagi," katanya.