Oleh: Suriati Ali
Kehadiran lebih 10,000 penduduk setempat menyambut kedatangan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak bersama Isteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor pada Program Lawatan Perdana Menteri Bersama Rakyat di Padang Astaka Majlis Daerah Marang (MDM) hari ini, menandakan rakyat boleh menerima angin perubahan yang dilaksanakan pemimpin Barisan Nasional (BN).
Rata-rata mereka mula sedar apa yang dilaksanakan kerajaan selama ini seperti bantuan kepada rakyat, subsidi pelbagai barangan keperluan dan makanan serta bantuan tabung pendidikan adalah untuk kebaikan bersama walaupun berlainan parti.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Bukit Payong, berkata Dato’ Dr Abdul Latif Awang, kedatangan mereka adalah sebagai tanda terima kasih dengan apa yang diperoleh daripada kerajaan.
“Saya juga terharu kerana tidak menduga program yang dilaksana ini mendapat sambutan begitu menggalakkan walaupun berada di kawasan kubu kuat Pas.
“Kedatangan mereka mampu menguatkan lagi semangat dan iltizam barisnan kepimpinan BN untuk terus berbakti kepada rakyat terutama berkaitan kebajikan dan pendidikan,” katanya
Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT), Encik Roshali Taha,
berkata kehadiran begitu ramai penduduk Marang yang sudi menyambut
pemimpin utama BN bagaikan sudah memberi isyarat, bahawa DUN Rhu Rendang bakal menjadi milik BN.
Katanya, rata-rata mereka sudah menerima apa yang dilaksanakan kerajaan, termasuk yang terbaru iaitu Bantuan Rakyat 1 Malaysia kepada isirumah berpendapatan RM3,000 ke bawah.
“Mereka mula sedar apa yang dilaksanakan kerajaan bukan hanya cakap atau tabur janji semata-mata malah bertindak dengan apa yang sudah dijanjikan itu walaupun lambat,” katanya.