Penyaluran dana Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah agenda nasional bagi menghargai sokongan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
BR1M membantu golongan berpendapatan rendah memperoleh wang tunai bagi tujuan perbelanjaan harian serta simpanan persekolahan anak-anak.
Namun, gelagat murahan sebahagian pemimpin parti pembangkang yang dilihat begitu gelisah dan cemburu dengan kerajaan BN membuatkan rakyat muak.
Bagi petani, Mamat Ismail, 76, yang menerima BR1M, pemimpin pembangkang akan 'sibuk dan bising' apabila ada program kerajaan membuatkan rakyat senang dan gembira.
Katanya, rakyat menjadi hairan dan pelik tatkala pihak kerajaan begitu rancak mengagihkan BR1M, pemimpin pembangkang pula tidak senang duduk dengan menuduh kerajaan zalim dan menipu rakyat.
“Dulu mereka (pemimpin pembangkang) pernah tuduh kerajaan tidak ada duit untuk bagi RM500 seorang, lepas itu jaja cerita bantuan ini untuk ahli dan penyokong Barisan Nasional sahaja.
“Tapi sekarang, bila rakyat dapat duit termasuk penyokong PAS sendiri, mereka tidak senang duduk dan mula naikkan bulan purnama (Bendera PAS) di merata tempat, ceramah siang malam,” katanya kepada Teganukita di sini hari ini.
Mamat merupakan salah seorang penerima BR1M daripada 780 orang yang disampaikan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said di Dewan Sivik Kampung Kijal Darat, Kemaman sebentar tadi.
Hadir sama, isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Norliza Mahmud.
Sementara itu, pesara tentera, Junaidi Mokhtar Sarip, 63, memberitahu, kemakmuran negara yang dikecapi rakyat menjadi satu beban yang sangat menyusahkan kepada parti pembangkang.
“Rakyat dapat senang, pembangkang pula yang susah. Jika rakyat suka kepada kerajaan peluang untuk mereka (pemimpin pembangkang) menjadi wakil rakyat mungkin terjejas.
“Kalau sebelah siang kerajaan buat majlis agih bantuan, malam esok atau lusa pembangkang buat ceramah untuk tutup kebaikan kerajaan dengan pembohongan yang tiada kena mengena dengan rakyat di sini,” ujarnya.
Video Rakyat Gembira Terima BR1M