Halaman

01 February 2012

Pertandingan Peti Undi di 343 PDM bermula

Oleh FAUZI MOHD

Badan Perhubungan UMNO negeri mula mengatur langkah proaktif bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan menganjurkan pertandingan peti undi di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh negeri.

Timbalan Pengerusinya, Dato' Yahya Khatib Mohamad berkata, pertandingan itu akan berlangsung secara berterusan sehingga menjelang pilihan raya umum nanti yang membabitkan kesemua 343 PDM di Terengganu.

Beliau berkata, pertandingan itu juga dibuat selaras pelancaran program Pemukiman Negeri Terengganu yang diadakan di Janda Baik, Pahang, baru-baru ini.

Menurutnya, bagi tujuan itu sebuah jawatankuasa penilai dibentuk bagi memastikan kelancaran pertandingan berkenaan.

Dato' Yahya Khatib menjelaskan, ia diadakan antara lain bertujuan memulakan gerak kerja Badan Perhubungan UMNO Terengganu bagi menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi.

"Sebaik saja pertandingan peti undi ini bermula esok, semua PDM akan dipenuhi kibaran bendera BN (Barisan Nasional) sebagai tanda BN sudah bersedia menghadapi pilihan raya," katanya selepas merasmikan Bengkel 'Ibu Kampung'-Kemahiran Pendampingan Masyarakat Kepada Isteri JKKK Parlimen Marang, semalam.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Marang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan berkata, di setiap PDM akan diwujudkan 13 jawatankuasa kecil yang berperanan menggerakkan tugasan bagi menghadapi pilihan raya umum.

Dalam pada itu, lebih 70 isteri pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam Parlimen Marang menghadiri bengkel tersebut yang dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu.

Turut hadir Pengarah YPK, Mohd. Safaruddin Mustaffa.