Kerajaan negeri berhasrat menggandakan jumlah pengambilan pembantu pengajar Bahasa Inggeris (ETA) dengan mengadakan jalinan kerjasama daripada negara Australia dan United Kingdom untuk tujuan itu bermula tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sejak program ETA ini dilaksanakan pada 2009 jumlah keseluruhan tenaga pengajar ETA berjumlah 89 orang termasuk 17 peserta untuk tahun ini.
Menurutnya, jika dilihat jumlah ini masih kecil dalamusaha memperkukuhkan Bahasa Inggeris , malah Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said sudah mengeluarkan arahan agar mengenal pasti lagi guru-guru ETA untuk dibawa ke negeri ini.
“Bagaimanapun kita akan berunding dulu dengan Jawatankuasa Kerjasama Pendidikan Malaysia-Amerika Syarikat (MACEE), sekiranya mereka dapat memenuhi permintaan kita untuk menambahkan bilangan tenaga pengajar.
“Namun perbincangan awal sudah dilakukan dengan pihak Australia dan akan memulakan rundingan bersama UK dalam masa terdekat untuk tujuan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Guru ETA kepada 17 pentadbir sekolah di Hotel Tanjung Vista, di sini kelmarin.
Hadir sama,Kaunselor Kedutaan Amerika Syarikat, Scoot Rauland.
Sementara itu, Ahmad Razif berkata, Kerajaan Negeri yakin program itu mampu memberi impak positif kepada warga sekolah berdasarkan apa yang dilaksanakan sejak 2006 lalu selain merealisasikan matlamat meningkatkan penguasaan dan juga penggunaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di negeri ini.
Menurutnya, program ETA dimulakan di Terengganu dan mulai tahun ini ia telah diambil alih oleh Kementerian Pelajaran untuk diperkembangan ke tiga negeri iaitu Terengganu seramai 17 orang, Pahang (16) dan Johor (17).
"Saya berasa bangga kerana program yang kita laksanakan diberi pengiktirafan sebegitu baik dan memberi keyakinan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjadikannya sebagai program tetap diseluruh negeri secara berperingkat.
"Malah kita juga amat bertuah kerana tahun ini segala perbelanjaan untuk menjalankan program itu ditanggung sepenuhnya Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pelajaran,” katanya.
Ahmad Razif berkata, jika sebelum ini Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM600,000 setahun untuk program itu, namun segala perbelanjaannya kini diuruskan Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri turut menyalurkan bantuan berjumlah RM51,000 kepada program itu yang mana setiap sekolah yang menerima guru ETA akan menerima peruntukan sebanyak RM3,000.