Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri menyasarkan untuk melakukan 5,000 suntikan permanian beradas bagi ternakan lembu di Terengganu sepanjang tahun ini.
Ketua Jabatan Kesihatan JPV negeri, Dr. Hamidah Helman berkata, ia bagi menambah bilangan ternakan berkenaan dengan baka kacukan terpilih yang dapat memberi pulangan lebih besar kepada penternak.
Katanya, program yang dimulakan lebih sedekad lalu digerakkan dengan pendekatan DIY apabila para penternak sendiri turut berperanan melakukan suntikan itu.
"Pada masa yang sama, kami juga berharap dapat menambah bilangan jurusuntik DIY yang dilatih JPV untuk mencapai sasaran tersebut.
"Setakat ini, kita baru memiliki 18 jurusuntik DIY yang berdaftar dengan jabatan untuk melakukan kerja-kerja itu di setiap daerah kecuali Kemaman," katanya selepas majlis Anugerah Jurusuntik DIY di pejabatnya semalam.
Menurut beliau, jurusuntik DIY yang berdaftar dapat membantu pihak jabatan apabila kakitangan menghadapi kekangan dari segi masa dan jarak tempat untuk melakukan kerja-kerja suntikan itu.
"Jurusuntik ini juga berpeluang untuk memperoleh pendapatan sampingan termasuk tuntutan perjalanan dan imbuhan bagi setiap ternakan yang bunting," ujarnya.
Menurut Hamidah, jurusuntik DIY yang dilatih akan dibekalkan dengan peralatan yang berkaitan semasa menjalankan kerja-kerja suntikan termasuk air mani lembu yang diimport dan tong nitrogen cecair.
Dalam pada itu, beliau mengakui penglibatan golongan muda dalam bidang ini sangat berkurangan berbanding golongan berusia.