Halaman

02 February 2012

Jangan guna orang tengah untuk ambil pemain import-MB

Oleh; Esah Abdullah

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengulangi peringatan yang dilontarkan suatu ketika dulu, bahawa cari mereka yang betul-betul berkebolehan untuk menyertai skuad bola sepak di negeri ini.

“Awal-awal lagi saya dah beritahu kepada pengurusan bola sepak Terengganu dan T-Team, jangan guna orang tengah untuk mendapatkan pemain dari luar negara atau sekadar melihat video saja,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman semalam.

Menteri Besar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemain import skuad T-Team Zacharia Simukonda dari Zambia yang bakal ditamatkan kontrak dalam masa terdekat kerana beraksi hambar dalam lima perlawanan yang berlangsung.

Zacharia juga dikatakan mengalami kecederaan tisu di pangkal pahanya koyak dan memerlukan masa yang lama untuk pulih.

T-Team akan menanggung kerugian sekiranya mahu menunggu Zacharia pulih daripada kecederaan. Jadi pihak pengurusan terpaksa mencari pemain import baru mengelak prestasi pasukan terjejas.

“Kita bawa masuk mereka untuk memperkuatkan pasukan dan ingin mencipta kemenangan bukannya untuk eksperimen,” katanya.

Tambahnya, untuk menempa kejayaan kita perlukan pemain terbaik yang boleh menjaringkan gol serta mempunyai persefahaman baik dengan pemain tempatan dan bila mereka tidak berjaya memenuhi kriteria yang digariskan, kontrak mereka perlu disemak semula.